Salahuddin al-Ayubi dilahirkan pada 532 Hijrah bersamaan 1138 Masihi di
Kota Tikrit iaitu bahagian Tebing Barat Sungai Tigris, terletak di
antara Mosul dan Baghdad. Beliau adalah anak gabenor yang bernama
Najmuddin Ayub bin Shadhi adalah anak saudara kepada Sultan Nurudin
Zinki, berketurunan Kurdistan yang berasal dari Azerbaijan. Selain
sebagai panglima perang, beliau adalah pendakwah, mujahid dan tokoh
pemimpin Islam yang bukan daripada kalangan bangsa Arab.
Ketika hayatnya, beliau lebih banyak berada di khemah perang daripada
duduk di istana bersama keluarga. Siapa saja yang menggalakkannya
berjihad akan mendapat kepercayaannya. Apabila hendak memulakan jihad
melawan tentera salib, beliau akan menumpukan seluruh perhatiannya
kepada persiapan perang dan menaikkan semangat tentera. Di medan perang,
beliau bagaikan seorang ibu garang kehilangan anak tunggal. Beliau
bergerak dari satu hujung medan peperangan ke hujung yang lain untuk
mengingatkan tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan Allah.
Beliau juga akan pergi ke seluruh pelosok tanah air dengan mata yang
berlinangan mengajak manusia supaya bangkit membela Islam.
Ketika berusia 17 tahun, Salahuddin al-Ayubi mula berkhidmat dengan
Nuruddin di Damsyik. Beliau adalah panglima tentera, pemimpin dan
pentadbir negara yang sangat berbakat dan sangat popular ketika zaman
perang salib. Beliau membabitkan diri dalam peperangan salib di kawasan
Mesir, Palestin dan Syria. Beliau mula terkenal pada 559 Hijrah (1164
Masihi) apabila menyertai ekspedisi bersama-sama Assaduddin Shirkuh yang
dihantar oleh Nuruddin bagi menentang tentera Salib di Mesir. Beliau
berjaya mengusir Amaury dari Mesir pada 1 Rabiulakhir 564 Hijrah
(Januari 1169 Masihi). Selepas Assaduddin Shirkuh meninggal dunia,
tempatnya diganti oleh Salahuddin al-Ayubi. Pada masa sama, Nuruddin
melantik beliau sebagai panglima angkatan tentera Syria.
Peperangan Hittin dipimpin sendiri oleh Salahuddin al-Ayubi hingga membuka jalan mudah untuk menawan kembali Baitulmaqdis. |
Pada tahun 583 Hijrah (1187 Masihi) berlaku Perang Salib kedua, yang juga dikenali sebagai Perang Hittin. Peperangan ini dipimpin sendiri oleh Salahuddin al-Ayubi hingga membuka jalan mudah untuk menawan kembali Baitulmaqdis.Pada tahun 588 Hijrah (1192 Masihi) berlaku Perang Salib ketiga, hasil dendam dan kekecewaan golongan pembesar Kristian. Mereka berusaha merampas semula Baitulmaqdis daripada orang Islam. Walaupun perang Salib yang ketiga itu menggabungkan seluruh kekuatan negara Kristian, mereka tidak mampu menggugat kekuatan tentera Salahuddin al-Ayubi.
Pihak Kristian mengalami kekalahan dan ramai tentera terbunuh dan
tertawan. Baitulmaqdis yang dikuasai orang Kristian selama 88 tahun,
dapat ditakluki semula oleh Salahuddin al-Ayubi.
Lane-Poole |
Sifat penyayang dan belas kasihan Salahuddin ketika peperangan sangat
jauh berbeza daripada kekejaman tentera Kristian. Ahli sejarah Kristian
pun mengakui mengenai hal itu. Lane-Poole (penulis Barat) mengesahkan,
kebaikan hati Salahuddin mencegahnya daripada membalas dendam. Beliau
menulis bahawa Salahuddin menunjukkan ketinggian akhlaknya ketika orang
Kristian menyerah kalah. Tenteranya sangat bertanggungjawab, menjaga
peraturan di setiap jalan, mencegah segala bentuk kekerasan sehingga
tidak ada kedengaran orang Kristian dianiaya. Setiap orang lelaki
Kristian hendaklah menebuskan dirinya dengan 3 wang dinar, manakala kaum
perempuan 2 dinar dan kanak-kanak 1 dinar. Bagi yang tidak
berkemampuan, beliau sendiri akan membiayainya. Salahuddin menghantarkan
pasukan tentera bagi mengiringi orang-orang Kristian sehingga ke
Pelabuhan Beirut.
Selanjutnya Lane-Poole menuliskan mengenai tindak-tanduk tentera
Kristian ketika menawan Baitulmaqdis kali pertama pada 1099. Tercatat
dalam sejarah bahawa ketika Godfrey dan Tancred menunggang kuda di
jalan-jalan Jerusalem, jalan itu dipenuhi mayat, orang Islam yang tidak
bersenjata diseksa, dibakar dan dipanah dari jarak dekat di atas bumbung
dan menara rumah ibadat. Darah membasahi bumi yang mengalir daripada
pembunuhan orang Islam secara beramai-ramai, tanpa mengira orang biasa,
para ulama’, huffaz dan sebagainya. Ia juga mencemarkan kesucian gereja
yang sebelumnya mengajar sifat berkasih sayang. Orang Kristian sangat
bertuah apabila mereka dilayan dengan baik oleh Salahuddin.
Beliau meninggal dunia pada 27 Safar 589 Hijrah (1193 Masihi) pada usia 55 tahun di Damsyik, Syria slepas memerintah selama 25 tahun. Beliau sakit selama 14 hari sebelum menghembuskan nafas terakhir. Beliau meninggal dunia tanpa meninggalkan sebarang harta untuk diwariskan. Beliau dikatakan hanya memiliki 47 dirham wang perak dan 1 dinar wang emas. Sesetengah ahli sejarah mengisahkan beliau hanya meninggalkan wang sedinar, seekor kuda, sebilah pedang dan sebuah khemah dan meninggalnya dalam keadaan tidak wajib untuk mengeluarkan zakat kerana sedekahnya dan infaqnya menghabisi hartanya. Urusan penyelenggaraan jenazah ditanggung oleh keluarga beliau, manakala kain kafannya diberikan oleh menteri.
Inilah kisah seorang penakluk agung, penakluk yang mencontohi sikap dan
sifat penakluk yang mulia iaitu Nabi Muhammad SAW ketika Fathul Makkah.
Bacalah sirah baginda dan kitab-kitab sejarah umat Islam untuk mencari
kebenaran kisah tersebut.
Meskipun pernah dikeluarkan filem Kingdom of Heaven yang berdasarkan kisah tersebut, Barat dalam masa yang sama menggambarkan Salahuddin sebagai seorang yang angkuh, tentera Islam bersukaria di malam hari dan pelbagai perkara yang karut yang tidak menepati dalam buku sejarah umat Islam. Begitulah perancangan jahat pihak Barat untuk memburukkan Islam dan tokoh-tokoh ternamanya, walaupun mereka mengagumi Salahuddin mereka masih berusaha untuk merosakkan peribadinya secara senyap-senyap.
Meskipun pernah dikeluarkan filem Kingdom of Heaven yang berdasarkan kisah tersebut, Barat dalam masa yang sama menggambarkan Salahuddin sebagai seorang yang angkuh, tentera Islam bersukaria di malam hari dan pelbagai perkara yang karut yang tidak menepati dalam buku sejarah umat Islam. Begitulah perancangan jahat pihak Barat untuk memburukkan Islam dan tokoh-tokoh ternamanya, walaupun mereka mengagumi Salahuddin mereka masih berusaha untuk merosakkan peribadinya secara senyap-senyap.
Diolah kembali dari Sudut Agama, Berita Harian 11 hb Jun 2007.