Lelaki bertubuh sasa, tegap dan gagah perkasa yang telah ditelan usia itu melangkah longlai tenang menuju ke tiang gantung. Kedua-dua belah tangannya terbelenggu di belakang. Namun matanya masih tetap bersinar, menaruh keyakinan terhadap masa depan negara dan rakyat. Raut mukanya tidak menampakkan rasa gentar atau takut menghadapi suasana kematian. Ia begitu gagah walaupun maut sedang menantinya tidak beberapa saat lagi. Ia tersenyum mengimbau kembali peristiwa-peristiwa yang ia lalui sehingga ia ditangkap dan dihukum di tali gantung.
Pengorbanannya murni terhadap negaranya yang tercinta. Dia berpuas hati
apa yang telah dilakukannya selama ini. Dia reda dengan jalan yang
dipilihnya sendiri. Ketika dia dibenarkan bersolat Subuh, dia sujud
begitu lama sehingga darah yang menyelinap ke seluruh anggotanya terasa
kebas-kebas, mengadu dan berdoa ke hadrat Allah s.w.t agar Allah
mengampuni segala dosanya selama ini dan memohon kepada-Nya supaya
negara dan rakyat bebas daripada belenggu penjajahan. Dia telah bersedia
menemui Penciptanya bila-bila masa sahaja.
Suasana hening pada pagi yang dingin menikam kalbu, kedengaran tangis
sedu menyelubungi orang-orang yang berada di sekelilingnya. Mereka
menatap lelaki berusia 80 tahun itu dengan wajah muram. Air mata
masing-masing tidak dapat ditahan, luruh bagaikan mutiara berguguran.
Bagi mereka yang berada di sekitar kawasan penjara dan di tempat-tempat
lain, turut merasainya, semua mereka sedar bahawa sudah sampai ketika
dan waktunya lelaki itu akan menjalani hukuman gantung sampai mati pada
pagi itu. Beritanya tersebar ke seluruh pelosok negara. Masing-masing
mengangkat tangan menadah ke langit, memohon keampunan daripada Allah
Maha Besar dan agar memberi darjat yang tinggi kepada lelaki itu dan
ditempatkan bersama-sama dengan orang yang soleh.
Umar Mukhtar ketika ditangkap |
Beberapa saat kemudian, suasana pagi yang hening itu dipecahkan dengan
jerit pekik tangis bersahut-sahutan ketika mereka melihat lingkaran tali
tiang gantung menjerut leher pahlawan mereka, Umar Mukhtar. Singa
Padang Pasir itu telah kembali kepada Penciptanya pada 16 September 1931
di Kota Solouq. Selesai sudah perjuangannya melawan penjajahan Itali,
tetapi perjuangannya itu akan tetap diteruskan oleh anak watan.
Umar Mukhtar memang dipandang sebagai simbol kepahlawanan menentang
penjajahan Itali bagi rakyat Libya sejak Itali mulai mencengkam negara
tersebut pada Oktober 1911. Dia telah menjadi perintis bagi mencetuskan
semangat rakyat Libya menyalakan bara perjuangan rakyat menentang
penjajahan Itali.
Gelora perjuangannya juga menambat hati rakyat Libya lainnya dan berjaya
melahirkan ramai para mujahid seperti Ramadan As-Swaihli, Mohammad
Farhat Az-Zawi, Al-Fadeel Bo-Omar, Solaiman Al-Baroun, dan Silima
An-Nailiah.
Usaha Itali menguasai Libya dilakukan dengan menyerang dan menguasai
kota-kota di sebelah pantai seperti Tripoli, Benghazi, Misrata dan Derna
secara berturut-turut, satu demi satu jatuh ke tangan penjajah Itali.
Meskipun demikian, Umar kerap kali menjadi batu halangan kepada mereka.
Dia mampu menyemarakkan api perjuangan rakyat Libya menentang Itali
dengan semangat yang kental.
Perjuangan mereka telah menciptakan beberapa pertempuran yang hebat.
Misalnya, pertempuran yang terjadi di Al-Hani, Tripoli pada 23 Oktober
1911, Ar-Rmaila di Misrata, Al-Fwaihat di Benghazi pada Mac 1912 dan
Wadi Ash-Shwaer di Derna.
Perjuangan rakyat Libya menghasilkan kejayaan yang cemerlang dan
gemilang. Pejuang-pejuang pimpinan Umar pernah terlibat dalam
pertempuran besar di Al-Gherthabiya, Sirt pada April 1915. Itali
kehilangan ribuan tentera. Pertempuran-pertempuran seperti ini sering
berlaku, membuatkan penjajah Itali terpaksa membalas serangan yang
memakan masa yang panjang, tahun demi tahun untuk menguasai negara itu.
Meskipun begitu, pada akhirnya, wilayah-wilayah yang dipertahankan oleh
para mujahidin jatuh ke tangan penjajah. Jatuhnya wilayah demi wilayah
membuat para pejuang meninggalkan rumah dan menuju ke pegunungan. Mereka
tidak pernah berdiam diri, terus merancang pelbagai strategi menyerang
balas.
Pada tahun 1922, Umar telah membentuk satu kumpulan para mujahidin dan
menggegarkan kembali operasi perjuangan menentang penjajahan Itali ke
atas negaranya. Dia mengumpulkan kembali mujahidin di The Green Mountain
(Aj-Jabal Al-Akdar), bahagian tenggara Libya. Hal ini terjadi setelah
tamatnya Perang Dunia Pertama dan pada masa itu penjajah Itali terfikir
bahawa mereka mampu untuk membenamkan sepenuhnya perjuangan rakyat
Libya. Namun, jangkaan Itali ternyata silap.
Perjuangan yang tercetus kembali itu membuat pihak berkuasa Itali
merasakan mereka berada dalam suasana yang amat tertekan, bahaya
tiba-tiba datang, sering mengancam keselamatan. Mereka tidak mahu
membiarkan perjuangan menuntut kebebasan ini semakin merebak. Lalu
pemerintah pusat Itali, Badolio yang terkenal dengan kekejamannya yang
sering kehausan darah rakyat Libya untuk diratahnya, telah mengambil
tindakan ketenteraan untuk merendam bara perjuangan tersebut.
Badolio bukan sahaja ditugas untuk menumpaskan Umar Mukhtar dan
pasukannya. Bahkan dia juga diberikan keizinan untuk membunuh rakyat
Libya yang memberi sokongan dan membantu para mujahidin di mana jua
mereka berada.
Rodolfo Grasiani Anjing suruhan Musolini |
Grasiani bersetuju pergi ke Libya dengan syarat tidak ada peraturan yang
dapat menghalangnya daripada melakukan berbagai-bagai tindakan ke atas
Libya termasuk peraturan-peraturan antarabangsa. Dia boleh melakukannya
tanpa halangan dan sekatan mengikut kehendak hatinya bagi kepentingan
Itali. Sebelum ditugaskan ke Libya, dia pergi ke Morj, Switzerland untuk
merancang serangan terhadap Libya.
Rancangan Grasiani dipersetujui sepenuhnya oleh Musolini kerana dia berpegang kepada prinsip “jika tidak bersamaku, maka mereka adalah lawanku”. Dengan demikian, untuk menguasai Libya, pelbagai kaedah dan cara dihalalkan, tidak lagi mempedulikan sebanyak mana kos yang terlibat dan berapa banyak mangsa yang tidak berdosa terpaksa dikorbankan.
Kekejaman Grasiani di Libya
|
Dia juga membina kem berpusat yang dikawal rapi di mana ribuan rakyat
Libya mesti hidup dalam pengawasan tentera Itali. Dia membina banyak
kem-kem seumpama itu di Al-Aghaila, Al-Maghroun, Solouq, dan Al-Abiyar.
Keseluruhan rakyat Libya merasa tertekan dan tertindas akibat perbuatan
Grasiani ini. Mereka hidup seperti haiwan di kandang, tidak ada
kebebasan.
Pada akhir bulan November 1929, sebahagian besar rakyat Libya dipaksa
hidup di kem-kem di Al-Jabal Al-Akdar, Mortaf-Aat Al-Thahir dari Beneena
Utara sampai Ash-Shlaithemiya Selatan, dari Tawkera ke bahagian selatan
padang pasir Balt Abdel-Hafeeth.
Kehidupan rakyat Libya di kem-kem ini sangat mengerikan. Ribuan rakyat
Libya mati kelaparan, banyak juga yang mati kerana ditembak atau
digantung kerana disyaki membantu perjuangan para mujahidin pimpinan
Umar Mukhtar.
Pada tahun 1933, Ketua Jabatan Kesihatan Angkatan Tentera Darat Itali,
Dr Todesky menulis dalam bukunya bertajuk Cerinaica Today. Dalam bukunya
itu, dia menyebutkan bahawa dari bulan Mei hingga September 1930, lebih
daripada 80,000 rakyat Libya dipaksa meninggalkan tanah kelahiran
mereka dan hidup di kem-kem ini.
Rakyat Libya dipaksa meninggalkan tanah air dan hidup di kem-kem tahanan, |
Seorang sejarawan Libya, Mahmoud Ali At-Taeb, menyatakan bahawa pada
November 1930, paling tidak terdapat 17 acara pengebumian dalam sehari
terjadi di kem-kem tersebut akibat kelaparan, penyakit dan tekanan
mental yang maha hebat, yang tidak tertanggung oleh manusia normal.
Di luar kem-kem itu, mujahidin yang bertahan di daerah pergunungan terus berjuang menentang penjajahan Itali. Bagaimanapun, pada tahun 1931 mujahidin kehabisan bekalan makanan dan perubatan. Pemimpin mujahidin, Umar Mukhtar, jatuh sakit dan banyak para mujahidin memintanya untuk berhenti berjuang dan meninggalkan Libya dan berlindung di negara jiran yang bersimpati dengan perjuangan mereka buat sementara waktu sehingga kesihatannya pulih seperti sedia kala dan kembali menyusun perjuangan seterusnya. Bagaimanapun, dia menolak tawaran tersebut dan tetap meneruskan perjuangan menentang tentera Itali.
Atas kegigihan dan keberanian melawan penjajahan Itali, maka dia digelar
sebagai ´Singa Padang Pasir´ meskipun pada akhirnya, usia senja tidak
mampu membuatnya bertahan untuk memikul senjata meneruskan perjuangan.
Dia ditangkap dan dijatuhi hukuman gantung. Pendakwaan dan hukuman tetap
dilakukan tanpa mempedulikan Undang-undang Antarabangsa sepertimana
yang ditetapkan dalam `Perjanjian Geneva´ dalam soal mempertimbangkan
tahap kesihatan Umar Mukhtar dan usianya yang sudah lanjut, membolehkan
beliau dikecualikan daripada hukuman di tali gantung.
Perjuangan Umar Mukhtar diabadikan dalam filem "Lion of the Desert" |
Begitulah secara ringkas kisah Umar Mukhtar yang berjuang hingga ke
titisan darah terakhir. Kisahnya telah difilemkan.
Sejarah menuntut kemerdekaan ini sering bertukar, tidak pernah padam selagi ada bumi dan matahari. Hanya yang bertukar ialah penjajahan dalam bentuk baru, iaitu penjajahan dalam bentuk politik, ekonomi, pendidikan, sosial, kebudayaan dan sebagainya yang menjadikan pemimpin tempatan sebagai boneka kepada tuannya. Ini berlaku di Iraq, di Afghanistan, di Palestin, di Khasmir, di Chechnya dan lain-lain negara umat Islam yang terpaksa tunduk kepada negara ´kuffar´, iaitu Amerika Syarikat yang menjadi negara kuasa besar tunggal atau polis dunia tanpa saingan selepas kehancuran Soviet Union pada tahun 1980-an. Maka tamatlah perang dingin yang menjadi pengimbang di antara dua kuasa besar yang berjaya mempengaruhi politik dan ekonomi dunia ketika itu.
Sejarah menuntut kemerdekaan ini sering bertukar, tidak pernah padam selagi ada bumi dan matahari. Hanya yang bertukar ialah penjajahan dalam bentuk baru, iaitu penjajahan dalam bentuk politik, ekonomi, pendidikan, sosial, kebudayaan dan sebagainya yang menjadikan pemimpin tempatan sebagai boneka kepada tuannya. Ini berlaku di Iraq, di Afghanistan, di Palestin, di Khasmir, di Chechnya dan lain-lain negara umat Islam yang terpaksa tunduk kepada negara ´kuffar´, iaitu Amerika Syarikat yang menjadi negara kuasa besar tunggal atau polis dunia tanpa saingan selepas kehancuran Soviet Union pada tahun 1980-an. Maka tamatlah perang dingin yang menjadi pengimbang di antara dua kuasa besar yang berjaya mempengaruhi politik dan ekonomi dunia ketika itu.
Hanya suatu pertanyaan yang perlu kita jawab dari lubuk hati paling
dalam: “Ada lagikah kepahlawanan seperti yang ditunjukkan oleh Umar
Mukhtar di negara umat Islam sekarang ini?”