Sifat manusia itu tidak terlepas daripada melakukan dosa, maka salah satu agenda yang perlu tercatitdalam diari kehidupan sehariannya ialah taubat. Agenda taubat itu pula perlu dilaksanakan setiap hari tanpa bertangguh-tangguh, kerana perkara taubat itu amat besar dan amat penting sekali dalam perjalanan kehidupan seharian manusia, lebih-lebih lagi kalau dosa itu melibatkan hak orang lain seperti melakukan rasuah, melakukan kezaliman dan sebagainya, selain ianya sebagai suatu syariat yang wajib dilaksanakan.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam selaku hamba Allah yang dimuliakan oleh Allah Ta‘ala dengan mengampunkan dosa Baginda yang terdahulu dan yang akan datang, Baginda sendiri bertaubat setiap hari seratus kali, sebagaimana tersebut di dalam hadis sahih, betapa kita hamba Allah yang biasa ini.
Taubat
itu merupakan proses pembersihan diri dari segala bentuk maksiat supaya
menuju kehidupan yang jernih tanpa dosa. Taubat itu merupakan daya
penggerak dalaman pada diri seseorang untuk melakukan sesuatu yang lebih
baik dan lebih bermakna.
Taubat
itu juga adalah jalan keluar bagi orang yang kehilangan arah,
tercari-cari jalan yang mana hendak dituju setelah tersesat kerana
bergelumang dengan dosa, jalan yang berisi harapan yang mengembalikan
kepercayaan kepada diri sendiri betapa kasih, rahmat dan ampunan Allah
kepada hambaNya amat luas dan tidak terbatas.
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Katakanlah
(Wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap
diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu
berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah
mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.”
(Surah Az-Zumar, ayat 53)
(Surah Az-Zumar, ayat 53)
Seseorang
yang telah melalui proses taubat dengan taubat nasuha, akan merasa
dirinya dan hatinya lebih tenang, dengan itu akan mendorongnya untuk
memperbaiki segala tingkah lakunya, gemar melakukan kebaikan dan benci
kepada kemungkaran.
Al-Imam An-Nawawi mengatakan bahawa taubat itu ialah berhenti daripada melakukan dosa.
Al-Imam Al-Ghazali pula menjelaskan bahawa taubat itu mengandungi pengertian yang tersusun daripada tiga unsur, iaitu: Ilmu, keadaan dan perbuatan.
Yang
dimaksudkan dengan ‘ilmu’ itu ialah mengetahui tentang besarnya bahaya
dosa yang mana dianggap sebagai pemisah di antara hamba dengan setiap
yang dicintai.
Yang
dimaksudkan dengan ‘keadaan’ itu pula ialah rasa pedih hati yang timbul
dari perbuatan yang menyebabkan terpisah dengan yang dicintai. Rasa
pedih itu dinamakan penyesalan.
Sementara
yang dimaksudkan dengan ‘perbuatan’ pula ialah meninggalkan dosa itu,
sama ada pada masa sekarang mahu pun pada masa akan datang, serta
memperbaiki apa yang telah terlanjur di masa lalu.
Sering
juga taubat itu diertikan sebagai satu penyesalan semata-mata. Dalam
hal ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Penyesalan itu adalah taubat.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah)
Dalil-Dalil Yang Menjelaskan Kewajipan Bertaubat
Terdapat
beberapa jumlah dalil yang menerangkan secara jelas dan merujuk
langsung kepada ketetapan hukum wajib melakukan taubat, antaranya:
1) Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Wahai
orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah (mintalah
dihapuskan dosa kamu) dengan “taubat nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu
akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam
syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.”
(Surah At-Tahrim,ayat 8.)
(Surah At-Tahrim,ayat 8.)
2) Firman Allah Ta’ala di dalam ayat yang lain:
Tafsirnya: “Bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
(Surah An-Nur, ayat 31)
(Surah An-Nur, ayat 31)
3) Di dalam sebuah hadis Qudsi, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Maksudnya: “Wahai
hambaKu! Sesungguhnya kamu berbuat dosa malam dan siang, dan Aku
mengampunkan semua dosa, maka kamu minta ampunlah kepadaKu nescaya Aku
mengampunkan kamu.”
(Hadis riwayat Muslim)
(Hadis riwayat Muslim)
4) Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Wahai manusia! Bertaubatlah kepada Allah, kerana sesungguhnya aku bertaubat kepadaNya dalam sehari seratus kali.”
(Hadis riwayat Muslim)
(Hadis riwayat Muslim)
5) Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Wahai
sekalian manusia! Bertaubatlah kamu kepada Allah sebelum kamu mati.
Bersegeralah berbuat amal salih sebelum masa kamu dipenuhi (sibuk) oleh
urusan dan kerja. Hubungkanlah pertalian di antara kamu dengan Tuhan
kamu dengan memperbanyak ingatan (berzikir) kepadaNya.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah)
(Hadis riwayat Ibnu Majah)
Syarat Sah Taubat
Taubat itu bukan hanya sekadar mengucapkan dengan lidah kalimat istighfar yakni “aku meminta ampun kepada Allah”, sedang hati tidak pernah menyesal, tidak mahu berjanji untuk menjauhkan diri dari maksiat.
Para
ulama telah menjelaskan bahawa terdapat beberapa syarat taubat yang
mesti dipenuhi. Sesuatu taubat itu tidak dianggap sempurna kecuali
dengan memenuhi syarat berikut:
1) Jika hak-hak yang bersangkutan antara hamba dan Tuhannya, hendaklah seseorang itu:
i) meninggalkan dosa dan maksiat dengan segera
ii) menyesali perbuatannya itu
iii) membulatkan azam untuk tidak akan kembali melakukannya lagi.
2) Andaikata
hak-hak itu bersangkut paut dengan hak anak Adam, maka hendaklah
memenuhi empat syarat. Tiga daripadanya sebagaimana tersebut di atas,
dan ditambah lagi satu syarat, iaitu hendaklah dia membersihkan dirinya
daripada hak orang itu. Umpamanya, jika dia mengambil harta benda orang
lain hendaklah dia mengembalikannya semula kepada tuannya. Jika dia
mencaci atau mengumpat orang maka hendaklah dia meminta maaf kepada
orang tersebut.
Para
ulama juga menjelaskan bahawa syarat taubat itu selain apa yang
disebutkan di atas ialah hendaklah dorongan bertaubat itu tidak ada
tujuan yang lain melainkan semata-mata kerana Allah Ta‘ala ataupun
semata-mata kerana kesedaran kita bahawa maksiat itu merupakan sesuatu
yang keji pada pandangan syara‘ ataupun semata-mata takut kepada azab
Allah di Hari Kiamat dan tamak kepada balasan syurga.
Contoh-Contoh Taubat Bukan Taubat
Jika
ada orang bertaubat kerana sesuatu dorongan yang lain selain yang yang
disebutkan di atas, umpamanya kerana takut kemudaratan yang akan menimpa
terhadap dirinya, kehormatannya atau hartanya jika dia tidak bertaubat,
maka yang demikian itu tidak dinamakan taubat. Sebagai contoh,
menyesali dan bertaubat daripada meminum minuman keras, merokok dan
sebagainya kerana takut membahayakan kesihatan tubuh badan, yang
demikian itu tidak dinamakan sebagai taubat.
Begitu
juga, menyesali dan bertaubat daripada memakan harta haram dengan cara
rasuah, menipu, mencuri, pecah amanah dan sebagainya kerana takut
kehilangan pekerjaan, kehilangan kedudukan pangkat, maka itu tidak
dinamakan sebagai taubat.
Sebagai
contoh lagi, menyesali dan bertaubat daripada melakukan zina kerana
takut malu kepada orang, tidak dinamakan yang demikian itu sebagai
taubat.
Oleh
yang demikian, taubat itu mestilah bertitik tolak daripada keinsafan
untuk kembali kepada Allah semata-mata, bukan kerana yang lain-lain.
Langkah-Langkah Menuju Taubat Nasuha
Dalam
menuju untuk mencapai taubat nasuha, pertama sekali sebagai asas,
perlunya ada inisiatif tertentu yang mesti dilakukan oleh seseorang
hamba Allah dalam mencari jalan yang dapat membantunya untuk
membersihkan dirinya daripada sebarang dosa.
Terdapat
beberapa langkah yang boleh dipraktikkan dalam membantu seseorang untuk
menjernihkan jiwanya daripada sebarang kotoran dosa, di mana langkah
yang dimaksudkan itu merupakan jalan cahaya yang telah ditunjukkan
Al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah Shallallahu ’alaihi wasallam. Antaranya
ialah:
1) Menghindari tempat maksiat
Hendaklah
meninggalkan tempat yang boleh mendorong seseorang melakukan maksiat,
kerana kehadiran seseorang itu di tempat yang boleh mendatangkan dosa
adalah amat bahaya kepada dirinya, di mana dalam situasi itu akan mudah
mempengaruhinya dan menjebaknya ke dalam perangkap dosa.
Al-Qur’an
telah memberi petunjuk kepada kita supaya segera menghindari, cepat
beredar dari tempat yang berlaku kemungkaran. Cuba kita perhatikan
firman Allah Ta‘ala di bawah ini:
Tafsirnya: “Dan
jika engkau dilupakan oleh syaitan (lalu engkau duduk bersama-sama
mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim
itu, sesudah engkau teringat (akan larangan itu).”
(Surah Al-An‘am, ayat 68)
(Surah Al-An‘am, ayat 68)
Sesungguhnya
antara hikmat mengapa Allah melarang kita duduk diam di tempat yang
berlaku kemungkaran itu kerana ianya boleh mendatangkan mudarat dan
bahaya yang besar. Oleh itu, menghindari tempat yang berlaku maksiat
bererti kita telah melangkah menghampiri pintu taubat.
2) Memilih kawan yang baik dan menghindari kawan yang tidak baik
Memang
tidak dinafikan, kawan mempunyai pengaruh yang kuat terhadap kawannya
yang lain. Hal ini adalah disebabkan kawan adalah di antara orang yang
paling rapat dengan seseorang dalam pergaulan sehariannya. Pengaruh yang
tidak baik adalah lebih mudah memberi kesan, lebih cepat memberi tindak
balas berbanding dengan pengaruh yang baik. Ini dapat dilihat daripada
apa yang sering berlaku di mana-mana. Berapa ramai orang terjerumus ke dalam kancah dosa dan maksiat kerana terpengaruh atau dipengaruhi oleh kawan-kawannya?
Al-Qur’an
Al-Karim memberi gambaran kepada kita betapa buruknya akibat atau
kesudahan yang menimpa kepada orang yang bersahabat dengan orang yang
tidak baik sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan
(ingatlah) hari orang yang zalim menggigit kedua tangannya (marahkan
dirinya sendiri) sambil berkata: “Alangkah baiknya kalau aku (di dunia
dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul.”
“Wahai celakanya aku! Alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si anu itu menjadi sahabat karib.”
“Sesungguhnya
dia telah menyesatkan aku dari jalan peringatan (Al-Qur’an) setelah ia
disampaikan kepadaku. Dan adalah syaitan itu sentiasa mengecewakan
manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya).”
(Surah Al-Furqan 27-29)
(Surah Al-Furqan 27-29)
Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam juga memberi amaran tentang keburukan
bersahabat dengan sahabat yang tidak baik, sebaliknya menganjurkan
supaya memilih orang yang salih sebagai sahabat. Diriwayatkan daripada
Abu Musa Al-Asy‘ari daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda
bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya
perumpamaan kawan yang salih dan kawan yang tidak baik adalah seperti
seorang pembawa minyak kasturi dan peniup puputan (alat untuk menghembus
angin daripada buluh atau seumpamanya untuk menyalakan api) tukang
besi. Maka pembawa minyak kasturi sama ada dia akan memberikan kepadamu
atau engkau akan membeli daripadanya atau engkau akan mendapat aroma
yang harum daripadanya. Sedang peniup puputan tukang besi sama ada dia
akan menghanguskan pakaianmu atau engkau akan mendapat bau yang busuk.”
(Hadis riwayat Muslim)
(Hadis riwayat Muslim)
Jika
syara‘ menganjurkan memilih kawan daripada golongan orang yang baik
akhlak, orang yang salih, maka inilah antara jalan yang dapat membantu
yang diperlukan oleh orang yang ingin mencapai taubat nasuha, kerana
golongan yang sebeginilah yang akan membimbingnya ke jalan yang benar,
yang akan mengingatinya jika dia leka dan yang akan menasihatinya jika
dia tersesat.
3) Berjuang menangkis pujukan syaitan
Syaitan
adalah musuh utama yang nyata yang sentiasa berusaha menyesatkan
manusia. Oleh itu, bagi orang yang ingin mencapai taubat nasuha perlulah
dia sentiasa berusaha melawan dan menangkis segala bisikan dan pujuk
rayu syaitan.
Terdapat dua cara bagaimana untuk menangkis pujukan syaitan:
- Menjaga hati supaya tidak lalai dan hanyut oleh bisikan syaitan. Hati perlu sentiasa dipandu dengan mengingati Allah. Inilah praktis yang diamalkan oleh orang-orang yang bertaqwa. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Sesungguhnya
orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh suatu imbasan
hasutan dari syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah), maka (dengan
itu) mereka nampak (jalan yang benar).”
(Surah Al-A‘raf, ayat 201)
(Surah Al-A‘raf, ayat 201)
- Sentiasa memohon perlindungan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘alasupaya dihindarkan daripada syaitan dan segala kejahatannya. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan
jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka mintalah
perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha
Mengetahui.”
(Surah Al-A‘raf, ayat 200)
4) Sentiasa menyesal terhadap dosa yang lalu
Penyesalan
yang berterusan dari seorang hamba yang bertaubat terhadap
tindakan-tindakannya yang melibatkan dosa akan menjadi pemangkin kepada
agenda taubatnya. Maka dengan itu dia akan sentiasa merasakan betapa
keji dan buruknya maksiat itu, betapa besar kemurkaan Allah akan menimpa
orang yang melakukannya. Tidak syak lagi, penyesalannya itu akan
menjadi benteng kepadanya supaya dia sentiasa berhati-hati dalam segala
tindak-tanduknya pada hari-hari yang mendatang.
5) Memperbanyak istighfar
Antara
langkah yang terpenting untuk mencapai taubat nasuha itu ialah
memperbanyak istighfar, iaitu memohon keampunan kepada Allah Subhanahu
wa Ta’ala. Kepentingan istighfar dalam konteks ini dapat dilihat dari
berbagai-bagai aspek seperti berikut:
- Orang yang bertaubat jika dia memohon keampunan (beristighfar) kepada Allah dan dia bersungguh-sungguh dalam istighfarnya nescaya Allah akan memberi keampunan kepadanya, kerana yang demikian itu adalah janji Allah Ta‘ala kepada hambaNya yang benar-benar dan ikhlas memohon keampunan, sebagaimana tersebut di dalam beberapa ayat Al-Qur’an antaranya:
Tafsirnya: “Dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”
(Surah Al-Baqarah, ayat 199)
(Surah Al-Baqarah, ayat 199)
- Ketahuilah bahawa sesungguhnya istighfar itu boleh menjadi sebab untuk seseorang yang bertaubat itu dikurniakan ketenangan dan kejernihan dalam kehidupannya. Perkara ini jelas dinyatakan di dalam Al-Qur’an sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan
hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik),
kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Dia
memberi kepada kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga
ke suatu masa yang tertentu, dan (di Akhirat pula) Dia akan memberi
kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal
yang salih) akan pahala kelebihanNya itu.”
(Surah Hud, ayat 3)
(Surah Hud, ayat 3)
- Istighfar boleh menjadi antara sebab yang terbesar untuk menolak atau menyelamatkan seseorang daripada azab dan kemurkaan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Allah ‘Azza wa Jalla berfirman:
Tafsirnya: “Dan tidaklah pula Allah akan menyeksakan mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).”
(Surah Al-Anfal, ayat 33)
(Surah Al-Anfal, ayat 33)
- Melalui istighfar akan dapat menimbulkan dan meningkatkan daya ketahanan diri orang yang bertaubat, sama ada kekuatan jasmani mahupun spiritual. Dengan demikian akan menjadikannya lebih bersikap positif, baik terhadap dirinya mahupun terhadap orang lain. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan
wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah
taat kepadaNya, supaya Dia menghantarkan kepada kamu hujan yang lebat
serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia
ada.”
(Surah Al-Hud, ayat 52)
- Dengan melazimkan istighfar akan dibukakan bagi orang yang bertaubat itu pintu-pintu rezeki yang luas, jalan keluar daripada segala bentuk kesempitan dan menjauhkannya daripada diliputi perasaan dukacita.Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Barangsiapa
yang tetap mengamalkan istighfar (memohon keampunan) nescaya Allah akan
membebaskannya daripada segala bentuk kesusahan, melepaskannya daripada
segala bentuk kesempitan dan mengurniakannya rezeki yang tidak
disangka-sangka.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah)
(Hadis riwayat Ibnu Majah)
6) Melakukan amal salih
Salah
satu langkah untuk memperteguh kedudukan orang yang bertaubat supaya
dia beroleh hasil dan tetap berdiri pada landasan taubatnya ialah dengan
melakukan amal salih. Amal
salih yang dilakukan oleh orang yang bertaubat merupakan bukti
keikhlasan dan kesungguhannya dalam bertaubat dan juga menjadi penebus
terhadap dosa-dosa yang telah dilakukannya.
Selain
itu, dengan melakukan amal salih Allah Subhanahu wa Ta’ala akan
menggantikan kejahatan yang telah dilakukannya dengan kebaikan. Firman
Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Kecuali
orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka
orang-orang itu Allah akan menggantikan pada tempat kejahatan mereka
dengan kebaikan, dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”
“Dan
sesiapa yang bertaubat serta beramal salih, maka sesungguhnya (dengan
itu) dia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat.”
(Surah Al-Furqan, ayat 70-71)
(Surah Al-Furqan, ayat 70-71)
Dalam
konteks ini juga Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberi
petunjuk agar kesalahan dosa yang telah dilakukan dibersihkan dengan
membuat perkara yang berkebajikan sebagaimana sabda Baginda:
Maksudnya: “Bertaqwalah
kepada Allah di mana saja kamu berada dan susulilah kejahatan dengan
melakukan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan menghapuskan kejahatan.”
(Hadis riwayat At-Tirmizi)
(Hadis riwayat At-Tirmizi)
7) Berdoa
Doa
merupakan senjata yang penting bagi orang yang hendak membersihkan
dirinya daripada dosa, kerana kehidupan seseorang itu tidak akan terarah
di atas landasan yang benar kecuali dengan taufiq dan hidayah Allah
Subhanahu wa Ta’ala.
Orang
yang benar-benar ikhlas untuk menuju jalan kebaikan, kemudian
memanjatkan doa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan rasa rendah diri
dan takut sesungguhnya Allah akan membimbingnya ke jalan petunjuk dan
memeliharanya daripada kejahatan nafsu dan syaitan.
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan
berdoalah kepadaNya (Allah) dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak
diterima) dan juga dengan perasaan berharap (supaya diterima).
Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki
amalannya.”
(Surah Al-A‘raf, ayat 56)
(Surah Al-A‘raf, ayat 56)
8.) Muhasabah diri
Antara
langkah yang dapat membantu orang yang bertaubat supaya dia sentiasa
bersungguh-sungguh dalam taubatnya ialah melakukan muhasabah atau
membuat penilaian terhadap dirinya. Dengan
melakukan penilaian seperti itu barulah dia dapat mengetahui kedudukan
amalan yang telah dilaksanakannya, sama ada baik atau masih ada lagi
kekurangan-kekurangan yang perlu ditambah atau dibaiki.Tegasnya berusaha sedaya upaya menjauhi tegahan Allah dan melaksanakan perintahNya.
Allah
Subhanahu wa Ta’ala menganjurkan setiap orang yang beriman supaya
sentiasa membuat penilaian terhadap amalan yang telah dilaksanakan
sebagai bekalan menuju Hari Akhirat sebagaiman firmanNya:
Tafsirnya: “Wahai
orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan
suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri
melihat dan memerhatikan apa yang telah disediakan (dari amal-amalnya)
untuk hari esok (Hari Akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan):
Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Meliputi
pengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.”
(Surah Al-Hasyr, ayat 18)
(Surah Al-Hasyr, ayat 18)
Penutup
Taubat
suatu syariat yang wajib dilaksanakan dengan segera tanpa
berlengah-lengah. Ia mengandungi kemuliaan, keberkatan dan nilai yang
tinggi di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala jika didasarkan semata-mata
keranaNya.
Selain
itu, taubat adalah jalan untuk menuju segala macam kebaikan, sama ada
kebaikan dunia mahupun kebaikan akhirat. Justeru itu, adalah penting
bagi setiap orang melazimkan diri dengan bertaubat pada setiap ketika
demi mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.
Sumber: Jabatan Mufti Brunei Darussalam