"Orang seperti dia, tidak dapat tanpa diketahui dibiarkan begitu saja. 
Dia harus disasarkan sebagai calon pemimpin Islam. Jika dia 
menggabungkan diri dengan kaum Muslimin dalam peperangan melawan 
orang-orang kafir, kita harus mengangkatnya ke dalam golongan pemimpin," 
Demikian keterangan Nabi ketika berbicara tentang Khalid sebelum calon pahlawan ini masuk Islam.
Khalid dilahirkan kira-kira (1 Julai 592) iaitu 17 tahun sebelum masa 
pembangunan Islam. Dia anggota suku Banu Makhzum, suatu cabang dari suku
 Quraisy. Ayahnya bernama Walid dan ibunya Lababah. Khalid termasuk diantara keluarga Nabi yang sangat dekat. Maimunah, makcik kepada Khalid, adalah isteri Nabi. Dengan Umar
 sendiri pun Khalid ada hubungan keluarga, yakni saudara sepupunya. 
Suatu hari pada masa kanak-kanaknya kedua saudara sepupu ini main gusti.
 Khalid dapat mematahkan kaki Umar. Untunglah dengan melalui suatu 
perawatan kaki Umar dapat diluruskan kembali dengan baik.
Ayah Khalid yang bernama Walid, adalah salah seorang pemimpin yang 
paling berkuasa di antara orang-orang Quraisy. Dia sangat kaya. Dia 
menghormati Ka'bah dengan perasaan yang sangat mendalam. Sekali dua 
tahun dialah yang menyediakan kain penutup Ka'bah. Pada masa ibadah Haji
 dia memberi makan dengan percuma bagi semua orang yang datang berkumpul
 di Mina.
Ketika orang Quraisy memperbaiki Ka'bah tidak seorang pun yang berani 
meruntuhkan dinding-dindingnya yang tua itu. Semua orang takut 
kalau-kalau jatuh dan mati. Melihat suasana begini Walid maju ke depan 
dengan bersenjatakan penyodok tanah sambil berteriak, "Oh Tuhan jangan 
marah kepada kami. Kami berniat baik terhadap rumahMu ".
Nabi mengharap dengan sepenuh hati, agar Walid masuk Islam. Harapan ini 
timbul kerana Walid seorang pahlawan yang berani di mata rakyat. Kerana 
itu dia dikagumi dan dihormati oleh orang ramai. Jika dia telah masuk 
Islam ratusan orang akan mengikutinya.
Dalam hati kecilnya Walid merasa, bahawa Al Quran itu adalah 
kalimah-kalimah Allah. Dia pernah mengatakan secara jujur dan 
terang-terang, bahawa dia tidak boleh berpisah dari keindahan dan 
kekuatan ayat-ayat suci itu.
Ucapan yang terus terang ini memberikan harapan bagi Nabi, bahawa Walid 
akan segera masuk Islam. Tetapi impian dan harapan ini tak pernah 
menjadi kenyataan. Kebanggaan atas diri sendiri membendung 
bisikan-bisikan hati nuraninya. Dia takut kehilangan kedudukannya 
sebagai pemimpin bangsa Quraisy. Kesangsian ini menghalanginya untuk 
menurutkan rayuan-rayuan hati nuraninya. Sayang sekali orang yang begini
 baik, akhirnya mati sebagai orang yang bukan Islam.
Suku Banu Makhzum mempunyai tugas-tugas penting. Jika berlaku 
peperangan, Banu Makhzum lah yang menguruskan gudang senjata dan gudang 
tenaga tempur. Suku inilah yang mengumpulkan kuda dan senjata bagi 
perajurit-perajurit.
Tidak ada cabang suku Quraisy lain yang boleh lebih dibanggakan seperti 
Banu Makhzum. Ketika diadakan kepungan maut terhadap orang-orang Islam 
di lembah Abu Thalib, orang-orang Banu Makhzumlah yang pertama kali 
mengangkat suaranya menentang pengepungan itu.
Latihan Pertama
Kita tidak banyak mengetahui mengenai Khalid pada masa kanak-kanaknya. 
Tetapi satu hal kita tahu dengan pasti, ayah Khalid orang berada. Dia 
mempunyai kebun buah-buahan yang membentang dari kota Mekah sampai ke 
Taif. Kekayaan ayahnya ini membuat Khalid bebas dari 
kewajiban-kewajibannya.
Dia lebih bebas dan tidak perlu belajar berdagang. Dia tidak perlu 
bekerja untuk menambah mata pencarian orang tuanya. Kehidupan tanpa 
suatu ikatan memberi kesempatan kepada Khalid mengikuti kegemarannya. 
Kegemarannya ialah bertinju dan berkelahi.
Ketika itu pekerjaan dalam seni peperangan dianggap sebagai tanda 
seorang Satria. Panglima perang bererti pemimpin besar. Kepahlawanan 
adalah satu hal terhormat di mata rakyat.
Ayah Khalid dan beberapa orang bapa saudaranya adalah orang-orang yang 
ternama di mata rakyat. Hal ini memberikan dorongan keras kepada Khalid 
untuk mendapatkan kedudukan terhormat, seperti ayah dan bapa-bapa 
saudaranya. Satu-satunya permintaan Khalid ialah agar menjadi orang yang
 dapat mengatasi teman-temannya di dalam hal adu tenaga. Sebab itulah 
dia menceburkan dirinya ke dalam seni peperangan dan seni bela diri. 
Malah mempelajari keahlian menunggang kuda, bermain pedang dan memanah. 
Dia juga mencurahkan perhatiannya kedalam hal memimpin angkatan perang. 
Bakat-bakatnya yang asli, ditambah dengan latihan yang keras, telah 
membina Khalid menjadi seorang yang luar biasa. Kemahiran dan 
keberaniannya mengagumkan setiap orang.
Pandangan yang ditunjukkannya mengenai taktik perang menakjubkan setiap 
orang. Dengan jelas orang boleh melihat, bahawa dia akan menjadi ahli 
dalam seni pertempuran.
Menentang Islam
Pada masa kanak-kanaknya Khalid telah kelihatan menonjol di antara 
teman-temannya. Dia telah merebut tempat istimewa dalam hati rakyat. 
Lama kelamaan Khalid meningkat menjadi pemimpin suku Quraisy. Pada waktu
 itu orang-orang Quraisy sedang memusuhi Islam. Mereka sangat anti dan 
memusuhi agama Islam dan penganut-penganut Islam. Kepercayaan baru itu 
menjadi bahaya bagi kepercayaan dan adat istiadat orang-orang Quraisy. 
Orang-orang Quraisy sangat mencintai adat kebiasaannya. Sebab itu mereka
 mengangkat senjata untuk menggempur orang-orang Islam. Tunas Islam 
harus dihancurkan sebelum tumbuh berurat ber-berakar. Khalid sebagai 
pemuda Quraisy yang berani dan bersemangat berdiri digaris paling depan 
dalam penggempuran terhadap kepercayaan baru ini. Hal ini sudah wajar 
dan seirama dengan kehendak alam.
Sejak kecil pemuda Khalid bertekad menjadi pahlawan Quraisy. Kesempatan 
ini diperolehinya dalam pertentangan-pertentangan dengan orang-orang 
Islam. Untuk membuktikan bakat dan kecekapannya ini, dia harus 
menonjolkan dirinya dalam segala pertempuran. Dia harus memperlihatkan 
kepada sukunya kualitinya sebagai pahlawan.
Peristiwa Uhud
Kekalahan kaum Quraisy didalam perang Badar membuat mereka jadi 
kegila-gilaan, kerana penyesalan dan panas hati. Mereka merasa terhina. 
Rasa sombong dan kebanggaan mereka sebagai suku Quraisy telah meluncur 
masuk lumpur kehinaan arang telah tercoreng di muka orang-orang Quraisy.
 Mereka seolah-olah tidak boleh lagi mengangkat dirinya dari lumpur 
kehinaan ini. Dengan segera mereka membuat persiapan-persiapan untuk 
membalas pengalaman pahit yang terjadi di Badar.
Sebagai pemuda Quraisy, Khalid bin Walid pun ikut merasakan pahit 
getirnya kekalahan itu. Sebab itu dia ingin membalas dendam sukunya 
dalam peperangan Uhud. Khalid dengan pasukannya bergerak ke Uhud dengan 
satu tekad menang atau mati. Orang-orang Islam dalam pertempuran Uhud 
ini mengambil posisi dengan membelakangi bukit Uhud.
Sungguhpun kedudukan pertahanan baik, masih terdapat suatu kebimbangan. 
Bukit Uhud masih ada suatu tanah genting, dimana tentera Quraisy dapat 
menyerbu masuk pertahanan Islam. Untuk menjaga tanah genting ini, Nabi 
menempatkan 50 orang pemanah terbaik. Nabi memerintahkan kepada mereka 
agar bertahan mati-matian. Dalam keadaan bagaimana jua pun jangan sampai
 meninggalkan kedudukan masing-masing.
Khalid bin al-Walid memimpin sayap kanan tentera Quraisy empat kali 
lebih besar jumlahnya dari pasukan Islam. Tetapi mereka jadi ragu-ragu 
mengingatkan kekalahan-kekalahan yang telah mereka alami di Badar. 
Kerana kekalahan ini hati mereka menjadi kecil menghadapi keberanian 
orang-orang Islam.
Sungguh pun begitu pasukan-pasukan Quraisy memulakan pertempuran dengan 
baik. Tetapi setelah orang-orang Islam mulai memecahkan pertahanan 
mereka, mereka telah gagal untuk mempertahankan tanah yang mereka pijak.
Kekuatannya menjadi berpecah-pecah. Mereka lari cerai-berai. Peristiwa 
Badar berulang kembali di Uhud. Saat-saat kritis sedang mengancam 
orang-orang Quraisy. Tetapi Khalid bin Walid tidak goncang dan sarafnya 
tetap membaja. Dia mengumpulkan kembali anak buahnya dan mencari 
kesempatan baik untuk melakukan pukulan yang menentukan.
Melihat orang-orang Quraisy bercerai-berai, pemanah-pemanah yang 
bertugas di tanah genting tidak tahan hati. Pasukan Islam tertarik 
dengan harta perang, harta yang ada pada mayat-mayat orang-orang 
Quraisy. Tanpa fikir panjang akan akibatnya, sebahagian besar 
pemanah-pemanah, penjaga tanah genting meninggalkan kedudukannya dan 
menyerbu ke lapangan.
Pertahanan tanah genting menjadi kosong. Khalid bin Walid dengan segera 
melihat kesempatan baik ini. Dia menyerbu ke tanah genting dan mendesak 
masuk. Beberapa orang pemanah yang masih tinggal diserang bersama-sama. 
Tanah genting dikuasai oleh pasukan Khalid dan mereka menjadi bebas 
untuk menggempur pasukan Islam dari belakang.
Dengan kelajuan yang tiada ada taranya Khalid masuk dari garis belakang 
dan menggempur orang Islam dipusat pertahanannya. Melihat Khalid telah 
masuk melalui tanah genting, orang-orang Quraisy yang telah lari 
bercerai-berai berkumpul kembali dan mengikuti jejak Khalid menyerbu 
dari belakang. Pemenang-pemenang antara beberapa minit yang lalu, 
sekarang telah terkepung lagi dari segenap penjuru, dan situasi mereka 
menjadi gawat.
Khalid bin Walid telah mengubah kemenangan orang Islam di Uhud menjadi 
suatu kehancuran. Sepatutnya orang-orang Quraisy lah yang kalah dan 
bercerai-berai. Tetapi kerana gemilangnya Khalid sebagai ahli siasat 
perang, kekalahan-kekalahan telah ditukarnya menjadi satu kemenangan. 
Dia mencari lubang-lubang kelemahan pertahanan orang Islam.
Hanya pahlawan Khalid lah yang dapat mencari saat-saat kelemahan 
lawannya. Dan dia pula yang sanggup menarik kembali tentera yang telah 
bercerai-berai dan memaksanya untuk bertempur lagi. Seni perangnya yang 
luar biasa inilah yang mengungkap kekalahan Uhud menjadi suatu 
kemenangan bagi orang Quraisy, ditambah lagi dengan keadaan beberapa 
pahlawan Islam ketika itu yang kelabu mata dengan harta benda dunia.
Islamnya Khalid bin Al-Walid
Ketika Perjanjian Hudaibiyah, Khalid memeluk Islam dan memohon maaf 
kepada nabi Muhammad atas tindakan beliau sebelum ini. Rasulullah sangat
 suka sekali, kerana Khalid mempunyai kemampuan berperang yang dapat 
digunakan untuk membela Islam dan meninggikan kalimatullah dengan 
perjuangan jihad. Dalam banyak kesempatan peperangan Islam, Khalid bin 
Walid diangkat menjadi komandan perang dan menunjukkan hasil gemilang 
atas segala upaya jihadnya.
Khalid AlWalid digelar sebagai Saifullah al-Maslul (bermaksud Pedang 
Allah yang terhunus atau Pedang Allah). Beliau bukan sahaja berperang di
 zaman Rasulullah s.a.w, tetapi juga di zaman khalifah Abu Bakar 
as-Siddiq dan Umar Al-Khattab. Pencapaian terulung ialah dimana beliau 
berjaya mengalahkan pasukan Byzantine dan Parsi dalam masa tiga tahun 
sahaja.
Perjuangan Khalid dalam Islam
Dalam Perang Muktah,
 tentera Islam yang sedikit bilangannya telah berdepan dengan lebih 
kurang 200,000 orang tentera Rom. Dalam pertempuran tersebut, tentera 
Islam telah mendapat tentangan yang cukup dasyat nyaris-nyaris menerima 
kekalahan. Bendera Islam telah dipegang oleh Zaid b Harithah yang 
kemudiannya gugur syahid, diambilalih pula oleh Jaafar bin Abu Thalib. 
Beliau turut syahid, maka bendera tadi dipegang oleh Abdullah bin 
Rawahah yang juga gugur sebagai syuhada'. Lantas bendera bertukar tangan
 kepada Thabit bin Arqam dan menyerahkannya kepada Khalid al-Walid. Atas
 persetujuan ramai, maka Khalid al-Walid pun menjadi komandan perang dan
 terus mengarahkan tentera Islam berundur ke Madinah kerana sudah 
terlalu ramai yang syahid dan tentera yang tinggal tidak mampu untuk 
bertahan lagi.
Di zaman Khalifah Abu Bakar, Khalid ditugaskan untuk menghapuskan 
golongan murtad. Saidina Abu Bakar telah memberi pidato semangat kepada 
tentera Islam yang antara lainnya berbunyi :"Aku pernah mendengar 
Rasulullah s.a.w bersabda : "Sebaik-baik hamba Allah dan saudara dalam 
satu suku iaitu Khalid bin Al-Walid, Saifullah, yang pedangnya akan 
dihayunkan kepada orang-orang kafir dan munafik"
Beliau juga ditugaskan untuk membunuh Musailamah Al-Kazzab yang mengaku 
sebagai nabi dan mempunyai ramai pengikutnya. Dalam peperangan tersebut (Perang Yamamah),
 ramai tentera Islam yang terkorban. Khalid All-Walid sebagai pahlawan 
sejati yang pakar dalam strategi peperangan telah berjaya memberi 
semangat baru kepada tenteranya dengan ucapannya yang penuh karisma. 
Beliau berteriak kepada tenteranya : "Bergembiralah kerana kami akan 
melihat setiap orang akan mengalami bencana masing-masing"
Dalam Perang Yarmuk menentang tentera Rom, beliau telah berjumpa dengan panglima musuh yang bernama Mahan
 yang dengan angkuhnya merendah-rendahkan moral tentera Islam. Mahan 
telah berkata : "Aku tahu kamu semua meninggalkan tanah air kerana 
terpaksa dan kelaparan. Jika kamu semua setuju, aku akan berikan setiap 
seorang tentera 10 dinar beserta dengan pakaian dan makanan dengan 
syarat mereka berangkat pulang dan tahun depan jumlah yang serupa akan 
dihantar ke Madinah".
Khalid bin Al-Walid dengan tegasnya menjawab : "Kami tidak akan keluar 
dari negeri kami kerana kelaparan seperti yang engkau sangkakan. Tetapi 
kami ialah satu kaum yang suka minum darah dan kami tahu tidak ada darah
 yang lebih lazat dan nikmat seperti darah orang Romawi, sebab itulah 
kami ke mari"
Setelah itu, Khalid Al-Walid selaku komandan perang berteriak dengan 
kuatnya sambil bertakbir "Allahu Akbar!" "Marilah kita berebut-rebut 
mencium bau Syurga!". Maka terjadilah peperangan yang amat dahsyat. Anak
 panah bersimpang siur dan mayat bergelimpangan.
Tiba-tiba seorang tentera Islam menghampiri Abu Ubaidah bin al-Jarrah 
r.a.sambil berkata : "Sesungguhnya aku bercita-cita untuk mati syahid, 
adakah engkau mempunyai sebarang pesanan yang hendak disampaikan kepada 
Rasulullah s.a.w, kelak aku akan sampaikan kepada baginda ketika aku 
berjumpanya (di Syurga)"
Jawab Abu Ubaidah bin al-Jarrah r.a : "Ya ! Katakan kepadanya : "Wahai 
Rasulullah s.a.w ! Sesungguhnya kami telah dapati bahawa apa yang 
dijanjikan oleh Tuhan Kami (Allah) adalah benar". Lalu tentera tadi 
bertempur dengan hebatnya dan gugur sebagai syuhada'.
Dalam suasana perang tersebut Khalid al-Walid bersemuka dengan seorang 
daripada panglima Romawi yang bernama George lalu terjadilah dialog 
antara keduanya.
George  bertanya : "Wahai   Khalid, hendaklah kamu berkata benar kerana 
setiap orang yang merdeka tidak akan berbohong. Apakah benar bahawa 
Tuhanmu telah menurunkan kepada Nabimu sebilah pedang dari langit lalu 
diberikan kepadamu dan kalau dihayunkan kepada seseorang pasti dia akan 
kalah"
Khalid bin Al-Walid menjawab : "Tidak"
George bertanya lagi : "Mengapa kamu disebut Pedang Allah?" 
Khalid bin Al-Walid berkata : "Bahawa Allah s.w.t telah mengutuskan 
kepada kami seorang Rasul dari bangsa kami, tetapi ada yang 
mempercayainya dan ada yang mendustanya. Aku sendiri termasuk dari 
kalangan orang yang mendustakannya tetapi Allah telah membuka hatiku 
kepada Islam. Lalu aku mengadap Rasulullah untuk memeluk Islam dan janji
 setia kepadanya.
Rasulullah terus menyatakan : "Engkau adalah sebilah pedang dari pedang Allah"
Rasulullah terus menyatakan : "Engkau adalah sebilah pedang dari pedang Allah"
George bertanya lagi : "Apa yang kamu dakwahkan kepada manusia"
Khalid bin Al-Walid menjelaskan :"Supaya mereka mentauhidkan Allah dan menerima ajaran Islam"
George seterusnya berkata : "Jika seseorang memeluk Islam sekarang 
seperti apa yang telah berlaku kepadamu, adakah dia akan mendapat 
ganjaran?"
Khalid bin Al-Walid menjawab : "Ya, itulah yang lebih utama"
George  berkata : "Bagaimana yang terjadi kepadamu sebelum Islam?"
Khalid bin Al-Walid menjawab : "Kami hidup bersama Rasul lalu kami lihat
 tanda-tanda kenabian serta mukjizatnya. Kami benar-benar melihat dan 
mendengarnya, lalu kami memeluk Islam dengan mudah. Tetapi kamu tidak 
pernah melihat dan mendengarnya, kiranya kamu beriman dengan apa yang 
tidak kelihatan, maka ganjaranmu adalah lebih besar jika kamu beriman 
kepada Allah dengan jiwamu."
Akhirnya George telah mengucap syahadah di hadapan Khalid, belajar cara 
solat dan sempat solat dua rakaat. Kemudian beliau adalah seorang 
syuhada' perang Yarmuk............. !!! dan tentera Islam berjaya 
menumbangkan tentera Rom yang berjumlah 240,000 orang.
Betapa pun hebatnya Khalid bin Walid di dalam medan pertempuran, dengan 
berbagai luka yang diterimanya, namun ternyata kematiannya adalah di 
atas katil. Betapa menyesalnya Khalid harapan untuk mati syahid di medan
 perang ternyata tidak tercapai dan Allah menghendakinya mati di atas 
tempat tidur, sesudah perjuangan membela Islam yang luar biasa itu. 
Demikianlah kekuasaan Allah. Manusia berasal dari Allah dan akan kembali
 kepada-Nya sesuai dengan kemahuan-Nya.
Saidina Khalid Al-Walid Saifullah bercita-cita untuk mati Syahid seperti
 kebanyakan pahlawan-pahlawan Islam yang lain. Namun hajatnya tidak 
pernah tertunai. Di mana-mana buku sejarah pahlawan Islam, pasti akan 
tertulis mengenai keluhan beliau ini. Namun jawapan sahabatnya amatlah 
menginsafkannya.
KATA-KATA KHALID AL WALID SEBELUM WAFAT
“Kau tidak boleh syahid,Khalid. Kau telah dilantik sebagai Pedang Allah oleh Rasulullah dan pedang Allah tidak boleh patah di medan perang.”Dan kata-kata Rasulullah itu PASTI. Rasulullah pernah bersabda :
"Sebaik-baik hamba Allah dan saudara dalam satu suku iaitu Khalid b Al-Walid, Saifullah, yang pedangnya akan dihayunkan kepada orang-orang kafir dan munafik"Dan semestinya Pedang ALLAH tidak boleh patah di Medan Perang. Sesungguhnya Kegagahan, Keberanian, Keperkasaan, Kebijaksanaan beliaulah yang menjamin kemenangan berpihak kepada tentera ISLAM. Tiada perang yang tidak dimenanginya. Syahid yang di cari, tetapi kedudukan yang TINGGI menjadi miliknya di akhirat kelak. Tubuhnya telah penuh dengan parut akibat peperangan semasa kewafatan beliau. Al-Fatihah.
KATA-KATA KHALID AL WALID SEBELUM WAFAT
" AKU TELAH BERPERANG LEBIH DARI SERATUS KALI DAN TIADA DI BADANKU WALAU PUN SEINCI KECUALI PADANYA PARUT DARI PUKULAN PEDANG, TUSUKAN PANAH DAN TIKAMAN TOMBAK, DAN INI LAH AKU, MATI DIATAS KATILKU. TIDAK AKAN TIDAK TIDUR LENA ORANG-ORANG YANG PENGECUT! "Kata-kata di atas tertulis dan terpampang di dalam gambar di bawah ini. Di makan Khalid Al-Walid , Pedang Allah dan Panglima Perang Paling Berjaya Dalam Sejarah. Yang tidak pernah menempuh kekalahan di Medan Perang. Wallahua'lam.
|  | 
| Kata-kata Khalid Al-Walid sebelum wafat. | 
|  | ||
| 
Makam Saidina Khalid Al-Walid di Syria 
 | 



 
 
 
 
 
 
 
