Aurangzeb ialah namanya yang sengaja dihitamkan oleh ahli-ahli sejarah yang prejudis dengan Islam harus dibersihkan. Sejak kecil aku mengenali tokoh ini melalui buku-buku sejarah yang diajar di sekolah rendah.
Kata mereka dia adalah seorang tokoh kejam, tidak bertimbang rasa dan
tidak berakhlak. Malah pada waktu itu aku menjadi seorang antara
ribuan orang Islam yang menyanjung Akbar, Shah Jehan dan lain-lain raja
dalam Dinasti Mogul di India.
Akbar tidak patut disanjung seperti yang ditonjolkan oleh orientalis-orientalis Barat.
Sifat bertimbang rasa, lembut dan pemaafnya sangat tidak kena pada
tempatnya. Malah ia adalah penguasa yang jelas menentang hukum-hakam
Islam dengan menyediakan pelacur-pelacur di tempat-tempat rehat para
musafir di dalam negaranya.
Dan kemungkaran terbesar yang dibuat oleh Akbar ialah mencipta agama
Din Ilahi, iaitu agama paduan antara Hindu, Buddha, Kristian dan
Islam. Beliau juga terlalu memberi muka kepada penentang-penentang Islam
dengan menarik semula pembayaran jizyah sepertimana yang telah
ditetapkan oleh syariat.
Sebaliknya, Aurangzeb adalah tokoh yang tegas, berani dan kuat memegang syariat.
Beliau juga adalah ahli sufi yang benar-benar kuat menjalankan
mujahadah dan latihan-latihan rohani. Beliau ialah seorang mujahid yag
tidak teragak-agak menggunakan senjata apabila keadaan memerlukannya.
Sembahyang dan puasanya begitu banyak. Beliau mengharamkan arak,
nyanyian-nyanyian, tari-tarian, gundik-gundik yang telah bermaharajalela
dalam istana Dinasti Mogul sebelumnya. Fikiran dan firasatnya sangat tajam dan ini telah membuktikan dengan beberapa peristiwa.
Satu ketika peperangan telah meletus antara tentera Islam Dinasti
Mogul dengan kaum pemberontak di dalam negara India. Dalam peperangan
itu, tentera Islam hampir tewas kerana tentera-tentera musuh menggunakan
sihir. Senjata yang mereka gunakan tidak dapat digunakan menentang
musuh kerana telah 'bertukar' kepada benda-benda lain. Dengan ini,
tentera Islam lemah semangat dan dengan mudah dibunuh oleh tentera
musuh.
Ternyata, tentera Islam tidak dapat menentang sihir yang dilakukan
oleh tentera musuh. Berita ini telah diberitahu kepada Aurangzeb.
Kerajaan Mahrata jika tidak segera dikalahkan, akan memusnahkan kerajaan
Mogul yang Islam dan ini sudah tentu membahayakan semua penganut Islam
di India. Tetapi bagaimanakah caranya? Bagaimana dan apakah yang perlu
dilakukan untuk menghadapi tentera-tentera musuh yang menggunakan sihir
ini?
Aurangzeb adalah yang sangat soleh. Beliau adalah seorang putera sufi yang
yakin dengan bantuan Allah dalam menghadapi apa jua keadaan.
Dikumpulkannya semua tentera Islam dan pada setiap senjata yang hendak
dibawa bertempur digantungnya sehelai kain yang bertulis. Tetapi isi
tulisan itu dirahsiakan, dan tidak siapa yang dibenarkan membuka kain
yang terlipat itu sebelum tamat peperangan.
Aurangzeb mengingatkan tenteranya supaya bertaqwa kepada Allah dan
yakinlah selalu dengan bantuan Allah. Beliau juga berpesan supaya jangan
gentar menghadapi sihir tentera musuh kerana kain yang diikat pada
setiap senjata itu akan menjadi pendinding.
Tentera Islam pun berperang dengan berani dan penuh keyakinan serta
bertawakal kepada Allah. Mereka pun berjaya. Bila tamat peperangan,
Aurangzeb memerintahkan tenteranya membaca tulisan pada kain yang diikat
pada senjata, alangkah terkejutnya mereka bila tulisan pada kain yang
diikat itu yang ada pada kain itu hanya perkataan: Bismillah!
Satu tindakan berani yang dilakukan oleh Aurangzeb semasa pemerintahannya ialah mengharamkan muzik yang melalaikan. Sebarang bentuk hiburan selain zikir, selawat dan lagu-lagu memuji Allah dilarang keras. Tentunya itu menimbulkan kejutan yang amat sangat dalam kalangan ahli-ahli muzik di negaranya, kerana selama ini muzik sangat disanjung dan mendapat tempat yang istimewa di hati para pemerintah sebelumnya.
Namun, bagi Aurangzeb yang tegas berpegang kepada syariat, segala
bentuk perkara yang haram tetap haram walaupun disukai ramai. Padanya,
muzik yang melalaikan membunuh jiwa perjuangan dan menyuburkan rasa
khayal kepada cinta asyik maksyuk yang diharamkan oleh Islam. Ia
berpegang tegas kepada sabda Rasulullah SAW:
"Tidak ada ketaatan kepada
makhluk (manusia) dengan bermaksiat kepada Khalik (Allah)."
Tindakan ini menimbulkan rasa tidak puas hati yang sangat meluas
dalam kalangan para pemuzik dan mereka yang bersimpati dengannya. Lalu
mereka mencari satu jalan untuk membantah undang-undang itu. untuk
bangun menentang secara kekerasan mereka takut kerana mereka arif benar
dengan sikap Aurangzeb yang tidak teragak-agak mengangkat senjata demi
menegakkan hukum Allah.
Akhirnya mereka bersepakat melakukan demonstrasi secara
besar-besaran. Untuk itu mereka telah membuat sebuah keranda yang besar
untuk dibawa semasa perarakan. Dalam keranda itu mereka telah isikan
semua alat-alat muzik mereka. Tentu keranda itu sangat besar
memandangkan alat-alat muzik kepunyaan para pemuzik di dalam negara
India itu sangat banyak.
Pada hari yang ditetapkan, beraraklah beramai-ramai. Sambil berarak
mereka menangis tersedu-sedu. Tangisan itu bergema di seluruh negara
menghasilkan suasana yang pilu dan menusuk jiwa. Rupa-rupanya tangisan
itu mengundang raja dan rakyat seluruhnya kepada nasib pemuzik. Keranda
besar itu turut diusung beramai-ramai sehinggalah perarakan itu melalui
rumah Aurangzeb.
Mendengar tangisan yang mendayu-dayu, Aurangzeb pun bertanya, "Apakah yang sedang berlaku?"
Mendengar tangisan yang mendayu-dayu, Aurangzeb pun bertanya, "Apakah yang sedang berlaku?"
Orang pun menjelaskan bahawa itulah perarakan para pemuzik. Aurangzeb
pun keluar melihat perarakan itu dan terus nampak keranda besar yang
diusung.
"Apakah yang diisikan dalam keranda besar itu?"
Orang menjawab, "Itulah muzik yang tuanku bunuh. Ia sudah menuju tempat pengebumiannya."
Mendengar itu, Aurangzeb pun berkata, "katakan kepada ahli-ahli muzik
itu, cepat-cepatlah kebumikannya kerana aku dan rakyat ku tidak tahan
lagi bau bangkainya!"
Jawapan ini sangat tegas dan tepat. Ahli-ahli muzik yang mengharapkan
simpati dari Aurangzeb kecewa dan sekarang mereka kenal siapa Aurangzeb
yang sebenarnya. Tetapi dalam hati Aurangzeb, raja soleh itu, puas
kerana telah menyelamatkan rakyatnya daripada kelalaian dunia hedonisme.
Dia sedar bahawa dialah yang akan ditanya di Padang Mahsyar nanti
terhadap apa yang dilakukannya pada rakyat-rakyatnya. Biarlah pahit,
kerana itu selalunya ubat.
Dalam hidupnya dia selalu menangis, iaitu apabila
mendengar nasihat-nasihat alim-ulama. Beliau sangat serius bila
mendengar tarbiah daripada ulama-ulama tasauf. Sembahyang tahajudnya banyak, hidup sederhana dan sering berpuasa sunat.
Walaupun istana Mogul cantik dan mewah, Aurangzeb akan berada di situ
sewaktu ada tugasan-tugasan rasmi sahaja. Rumahnya yang sebenar berada
di tepi istana iaitu sebuah rumah kecil yang sangat sederhana.
Aurangzeb memerintah India selama 47 tahun, iaitu dari tahun 1659
hingga 1707. Semasa menegakkan satu kerajaan yang kukuh, beliau tidak
teragak-agak untuk bertindak demi menegakkan hukum Allah walaupun
terpaksa berhadapan dengan saudara-saudaranya. Baginya pertalian
syahadah melebihi pertalian darah dan saudaranya ialah siapa sahaja yang kuat berpegang kepada hukum Allah.
Dalam masa pemerintahan juga, beliau terpaksa berhadapan dengan
pemberontak-pemberontak yang telah dimulakan oleh pemerintah-pemerintah
dahulu. Dengan tegas, beliau menukarkan nama kota Banares, kepada
Ahmadabad dan mendirikan sebuah masjid besar yang mempunyai kubah putih
dengan menaranya menjulang tinggi ke langit. Berkat melimpah-limpah
semasa pemerintahannya apabila hasil pendapatan meningkat dengan tinggi
melebihi apa yang dicapai semasa pemerintaha Akbar.
Inilah antara usaha kecil ku untuk membersihkan nama Aurangzeb dari
cercaan umat Islam dari zaman ke zaman. Kita telah diracuni sejarah
hasil tulisan orientalis yang mengagungkan Akbar dan Shah Jehan.
Sedangkan mereka berdualah sebenarnya penguasa yang telah mencuaikan
tanggungjawab sebagai khalifah Islam. Sedangkan Aurangzeb yang soleh itu
dituduh kejam dan namanya ditenggelamkan dalam sejarah Islam.
Memang dia keras tetapi adakalanya kita memerlukan orang-orang yang keras untuk menjaga kesucian Islam.
Peribadi Aurangzeb yang tegas ini mengingatkan kita kepada Sayidina
Umar Al Farouk yang terkenal ketegasannya itu. Dan mereka berdua inilah
antara ribuan mujahid-mujahid Islam yang menepati sanggup dibenci kerana
menjaga kesucian agama.
Sebagai manusia biasa, Aurangzeb tentunya mempunyai kesalahan dan
kelemahan. Semoga, baginda diampunkan Allah. Mungkin menyedari
kelemahannya itu, baginda telah berkata, "Kalaupun aku kejam, adalah
kerana cinta ku kepada Islam mata!"