Pada pertengahan tahun 1975, Perancis yang ketika itu di bawah pemerintahan Presiden Francisco Mitterand menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari dan menganalisis mumia Firaun, Ramsess II yang sangat terkenal.
Firaun yang dikatakan hidup di zaman Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar Musa dan para pengikut baginda yang melarikan diri daripada kekejamannya. Mesir menyambut baik tawaran itu dan membenarkan mumia itu diterbangkan ke Paris. Malah ketika sampai di sana kedatangan mumia itu disambut dengan pesta dan keramaian. Ini termasuklah apabila Mitterand dan para pemimpin Perancis yang lain tunduk hormat ketika mumia itu dibawa lalu di hadapan mereka.
|  | 
| Mumia Firaun RamsessII - yang  tenggelam di Laut Merah bersama bala-tenteranya ketika mengejar Nabi Musa. | 
Mumia itu kemudiannya diletakkan di ruang khas di Pusat Arkeologi 
Perancis. Di situ ia bakal diperiksa sekali gus membongkar rahsianya 
oleh para pakar, doktor bedah dan autopsi Perancis yang dipimpin oleh 
doktor yang sangat terkenal, Prof. Dr. Maurice Bucaille. Bucaille
 seorang pakar bedah kenamaan Perancis yang dilahirkan di Pont-L’Eveque 
pada 19 Julai 1920. Memulakan kerjaya di bidang perubatan am dan pada 
tahun 1945 beliau diiktiraf sebagai pakar di bidang gastroentorologi.
Ramai kerabat diraja dan keluarga pemimpin dunia menggunakan khidmat Dr.
 Bucaille, termasuk Raja Faisal Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar 
Sadat. Lalu
 kesempatan beliau untuk membedah dan menyiasat mumia Firaun, mengerah 
seluruh tenaga dan mindanya untuk menguak misteri di sebalik penyebab 
kematian raja Mesir kuno itu.
Ternyata, hasilnya sangat mengejutkan. Dr. Bucaille menemukan sisa-sisa 
garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut sebagai bukti 
terbesar bahawa Firaun itu mati akibat tenggelam di dalam laut. Iaitu 
jasadnya segera dikeluarkan dari laut, ‘dirawat’ segera dan dijadikan 
mumia supaya jasad itu kekal awet.
|  | 
| Laporan Penelitian Perubatan Dr. Bucaille Momies Des Pharaons Et La Midecine | 
Lalu beliau menyiapkan sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai 
penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat Firaun dari laut dan 
kaedah pengawetannya.
Laporan tersebut diterbitkan dengan tajuk; Mumia Firaun: Sebuah 
Penelitian Perubatan Moden (judul asalnya; Les Momies Des Pharaons Et La
 Midecine). Ekoran penerbitan laporan itu, Dr Bucaille dianugerah 
penghargaan tertinggi kerajaan iaitu Le Prix Diane Potier-Boes 
(Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantaise dan anugerah Prix 
General daripada Academie Nationale De Medicine, Perancis.
Namun seorang rakan sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru.
“Jangan tergesa-gesa kerana sesungguhnya umat Islam telah berbicara mengenai peristiwa Firaun yang mati lemas dan mayatnya dipelihara sehingga hari ini!”
Namun kata-kata itu ditentang keras oleh Dr. Bucaille kerana beliau 
menganggap sangat mustahil. Baginya membongkar sesebuah misteri yang 
lama tidak mungkin dapat diketahui kecuali dengan perkembangan teknologi
 moden, peralatan dan makmal canggih yang mutakhir dan tepat.
Kisah Firaun dalam al-Quran
Hakikatnya Dr. Bucaille menjadi serba salah dan bingung apabila 
diberitahu bahawa al-Quran yang diyakini dan dipercayai oleh umat Islam 
telahpun meriwayatkan kisah tenggelamnya Firaun dan kemudian mayatnya 
diselamatkan.
Beliau semakin tertanya-tanya, bagaimana perkara seperti itu dapat 
diterima oleh akal kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 
1898. Sedangkan al-Quran telah ada di tangan umat Islam sejak ribuan 
tahun sebelumnya.
Sambil mata tidak lepas memandang mumia Firauan yang terbujur di 
hadapannya, Dr. Bucaille terus tertanya-tanya bagaimana al-Quran dapat 
membicarakan kisah Firaun yang jasadnya diselamatkan dari hancur sejak 
ribuan tahun lalu.
“Apakah masuk akal di hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? Apakah masuk akal Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Pada hal kejadian Musa dikejar Firaun telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan,” bicara hatinya sendirian.
Lalu beliau mendapatkan kitab Injil yang di dalamnya hanya membicarakan 
Firaun yang tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi 
tidak diceritakan mengenai mayat Firaun.
Sementara dalam Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama) pula yang diceritakan dalam kitab itu hanyalah:
“Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu”. (Exodus 14:28 dan Psalm 136:15)
Dr. Bucaille sangat terkejut kerana tidak ada disebut langsung mengenai 
apa yang terjadi seterusnya kepada mayat Firaun selepas tenggelam 
itu.Ini menjadikan beliau semakin kebingungan. Apabila
 mumia dikembalikan semula ke Mesir, Dr. Bucaille terus mendapatkan 
kepastian mengenai mumia itu. Lalu beliau memutuskan untuk bertemu 
dengan para ilmuwan Islam mengenai sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun 
sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir dan dikejar Firaun dengan 
seluruh bala tentera di belakang mereka.
Maka salah seorang mereka terus bangun dan membaca ayat al-Quran 
berhubung sejarah tersebut untuk Dr. Bucaille mendengarkannya sendiri:
“Maka pada hari ini Kami selamatkan badan kamu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudah kamu dan sesungguhnya kebanyakan manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami. (Yunus: 92).”
Apabila mendengar ayat ini, hati Dr. Bucaille benar-benar tersentuh. 
Beliau akhirnya mengakui kebenaran ayat itu kerana ia dapat diterima 
akal dan memberikan satu inspirasi serta dorongan kepada sains untuk 
maju meneroka lebih jauh lagi.
Lalu dengan hati yang begitu bergetaran dalam menahan sebak dan 
keharuan, beliau pun bangun dan dengan suara yang lantang berkata:
“Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan al-Quran ini.”
| The Bible, The Qur'an and Science | 
Akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku yang sangat mengejutkan seluruh
 dunia dan sehingga kini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa pada 
tahun 1976, iaitu The Bible, the Qur’an, and Science : The Holy 
Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge.
Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang kemudiannya dikenali sebagai Dr. 
Yahya Maurice Bucaille berjaya membuktikan bahawa al-Quran adalah selari
 dengan fakta-fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya.
“Sains dan Islam umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun kesilapan seperti itu ada dalam al-Quran. Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden,” katanya.
Beliau memberikan kesimpulan bahawa tidak syak lagi al-Quran benar-benar kalam Allah.


 
 
 
 
 
 
 
