Akhlak
 berasal daripada perkataan Al Khuluq. Al-Khuluq bererti tabiat atau 
tingkah laku. Menurut Iman Al Ghazali, akhlak merupakan gambaran tentang
 keadaan dalam diri manusia yang telah sebati dan daripadanya terbit 
tingkah laku secara mudah dan senang tanpa memerlukan pertimbangan atau 
pemikiran. Akhlak sangat penting dan pengaruhnya sangat besar dalam 
membentuk tingkah laku manusia. Apa saja yang lahir dari manusia atau 
segala tindak-tanduk manusia adalah sesuai dengan pembawaan dan sifat 
yang ada dalam jiwanya.
Tepatlah apa yang dikatakan oleh 
Al-Ghazali dalam bukunya Ihya’ Ulumuddin, “Sesungguhnya semua sifat yang
 ada dalam hati akan lahir pengaruhnya (tandanya) pada anggota manusia, 
sehingga tidak ada suatu perbuatan pun melainkan semuanya mengikut apa 
yang ada dalam hati manusia.”
Tingkah laku atau perbuatan manusia
 mempunyai hubungan yang erat dengan sifat dan pembawaan dalam hatinya. 
Umpama pokok dengan akarnya. Bermakna, tingkah laku atau perbuatan 
seseorang akan baik apabila baik akhlaknya, sepertimana pokok, apabila 
baik akarnya maka baiklah pokoknya. Apabila rosak akar, maka akan 
rosaklah pokok dan cabangnya. Allah Subhanahuwata’ala berfirman:
“Dan
 tanah yang baik, tanaman-tanamannya tumbuh subur dengan seizin Allah, 
dan tanah yang tidak subur, tanaman-tanamannya hanya tumbuh merana. 
Demikianlah Kami mengulangi tanda-tanda kebesaran (Kami) bagi 
orang-orang yang bersyukur.” (Al- A’raf: 58)
Akhlaq yang mulia 
adalah matlamat utama bagi ajaran Islam. Ini telah dinyatakan oleh 
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam hadisnya (yang bermaksud, 
antara lain:
“Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlaq yang mulia”.
Hal ini ditegaskan lagi oleh ayat al-Qur’an dalam firman Allah:
“Dan Sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung” (Al-Qalam: 4)  
Juga dalam firman Allah swt. lagi:
Orang
 –orang yang jika kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya 
mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang 
ma’ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar dan kepada Allah kembali
 segala urusan.(Al Hajj, 22 : 41)
Firman Allah swt. lagi:
Bukanlah
 menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan 
tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari 
kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta
 yang dicintainya kepada kerabatnya, anak–anak yatim, orang-orang 
miskin, (yang memerlukan pertolongngan) dan orang-orang yang 
meminta-minta, dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan solat, dan 
menunaikan zakat, dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia 
berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan, 
peperangan, mereka itulah orang-orang yang benar (imannya) dan mereka 
itulah orang-orang yang bertakwa. (Al-Baqarah, 2: 177)
Akhlaq 
yang mulia adalah merupakan tanda dan hasil daripada iman yang sebenar. 
Tidak ada nilai bagi iman yang tidak disertai oleh akhlak. Sebuah athar 
menyatakan (antara lain, bermaksud):
“Bukanlah iman itu hanya 
dengan cita – cita tetapi iman itu ialah keyakinan yang tertanam didalam
 hati dan dibuktikan dengan amalan”
Rasulullah 
Sallallahu’alaihiwasallam pernah ditanya: Apa itu agama?
Baginda 
menjawab: Kemuliaan akhlaq (Husnul Khulq). 
Apabila ditanya tentang 
kejahatan, baginda menjawab: Akhlaq yang buruk (Su’ul khalq).
Diriwayatkan
 daripada Annawas bin Sam’an ra. berkata, “Saya bertanya kepada 
Rasulullah saw. Tentang bakti dan dosa, maka jawab Nabi saw. “Bakti itu 
baik budi pekerti, dan dosa itu ialah semua yang meragukan dalam hati 
dan tidak suka diketahui orang.” (HR. Muslim)
Abu Darda berkata,
 “Bersabda Nabi saw, “Tiada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan 
seorang mukmin di hari kiamat daripada husnul Khulq (akhlak yang baik).”
 (HR. At Tirmidzi)
Aisyah ra. Berkata, “Saya telah mendengar 
Rasulullah saw. bersabda, “Sesungguhnya seorang mukmin yang dapat 
mengejar budi pekerti yang baik, darjat orang itu sama seperti orang 
yang terus menerus berpuasa dan solat malam.” (HR. Abu Daud)
Jabir
 ra. berkata, “Rasulullah saw. bersabda, “Sesungguhnya orang yang sangat
 aku kasihi dan terdekat denganku pada hari kiamat nanti adalah orang 
terbaik akhlaknya. Dan orang yang sangat aku benci dan terjauh dariku 
pada hari kiamat nanti adalah orang yang banyak bicara, sombong dalam 
pembicaraannya, dan berlagak menunjukkan kepandaiannya.” (HR. At 
Tirmidzi).  
Kekuatan akhlak lahir melalui proses panjang yang 
memerlukan kesediaan untuk sentiasa memberi komitmen dengan nilai-nilai 
Islam. Seorang ulama menjelaskan thariqah (jalan) untuk membina akhlak 
islami adalah dengan kemahuan untuk melaksanakan latihan (tadribat) dan 
pendidikan (tarbiyah). Setiap muslim memiliki kesempatan yang sama untuk
 menjadi baik atau buruk, masalahnya adalah sejauh mana usaha kita untuk
 mendisiplinkan diri dengan nilai-nilai dan amalan Islam bagi melahirkan
 muslim yang berakhlak ampuh. Malangnya keampuhan akhlak inilah yang 
sering dilupakan. Malah kian rapuh sehingga hilangnya jatidiri muslim 
hakiki. Justeru menjadi punca lunturnya sinar Islam pada penghujung 
zaman. Gejala keruntuhan akhlak yang berlegar di sekeliling kita seperti
 zina hati, mata, lisan dan seumpamanya meruntun jiwa kita selaku 
pendokong agama. Keruntuhan yang tidak dikawal pada satu tahap yang 
minima membawa insan kepada bertuhankan nafsu, lantas melupakan terus 
Pencipta Yang Maha Esa.
Islam adalah ajaran yang benar untuk 
memperbaiki manusia dan membentuk akhlaknya demi mencapai kehidupan yang
 baik. Islam memperbaiki manusia dengan cara terlebih dahulu memperbaiki
 jiwa, membersihkan hati dan menanamkan sifat-sifat terpuji. Islam 
benar-benar dapat membawa manusia untuk mencapai kebahagiaan, kelapangan
 dan ketenteraman.
Sebaliknya manusia akan menjadi hina apabila 
ia merosakkan sifat, pembawaan dan keadaan dalam jiwanya. Allah 
Subhanahuwata’ala berfirman :
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah 
keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri
 mereka sendiri.”(Ar-Ra’d: 11)
Di antara ciri akhlaq yang 
sewajarnya menghiasi diri seseorang insan supaya ia menjadi seorang 
muslim yang benar adalah akhlaq-akhlaq berikut:
1.     Bersifat warak daripada melakukan perkara-perkara yang syubhat
Seorang
 muslim mestilah menjauhkan dirinya daripada segala perkara yang 
dilarang oleh Allah dan juga perkara-perkara yang samar-samar di antara 
halal dan haramnya (syubhat) berdasarkan dari hadith Rasulullah yang 
berbunyi:  
“Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a. 
beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam
 bersabda: Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan haram itu 
nyata (terang) dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang 
kesamaran, yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Maka 
barangsiapa memelihara (dirinya dari) segala yang kesamaran, 
sesungguhnya ia memelihara agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa 
jatuh kedalam perkara kesamaran jatuhlah ia kedalam yang haram, seperti 
seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, 
hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah! Bahawa bagi 
tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah! Bahawa larangan Allah 
ialah segala yang diharamkan-Nya. Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada 
seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia
 rosak, rosakkalah sekeliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati. 
(Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)
Adapun setinggi-tinggi 
pencapaian darjat wara’ adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh 
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam hadith baginda (antara lain, 
bermaksud):
“Seorang hamba (Allah) itu tidaklah termasuk dalam 
martabat golongan muttaqin sehinggalah ia meninggalkan sesuatu perkara 
yang tidaklah menjadi kesalahan (jika dilakukan tetapi ia 
meninggalkannya) kerana sikap berhati-hati daripada terjerumus ke dalam 
kesalahan”
2.     Memelihara penglihatan.
Seseorang
 muslim itu mestilah memelihara pandangan daripada melihat 
perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah kerana pandangan terhadap 
sesuatu (yang menarik itu) boleh merangsang syahwat dan boleh membawa ke
 kancah pelanggaran dan maksiat. Sehubungan dengan ini Al-Quranul Karim 
mengingatkan orang –orang mu’min supaya memelihara diri daripada 
penglihatan yang tidak memberi faedah, firman Allah SWT:
Katakanlah
 kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan 
pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih
 Suci bagi mereka, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang mereka 
perbuat". (An-Nur: 30) 
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pula bersabda (antara lain, bermaksud):
“Pandangan itu adalah satu panahan daripada panahan iblis”
Baginda juga mengingatkan (antara lain, bermaksud):
“Hendaklah
 kamu memelihara pandangan kamu, menjaga kehormatan (kemaluan) kamu atau
 Allah akan menghodohkan wajah kamu.”(Hadith Riwayat At Tabrani)        
                                  
3. Memelihara Lidah
Seseorang
 muslim itu mestilah memelihara lidahnya daripada menuturkan kata-kata 
yang tidak berfaedah, perbualan-perbualan yang buruk dan kotor, 
percakapan-percakapan kosong, mengumpat, mengeji dan mengadu domba. Imam
 Nawawi rahimahumullah mengatakan. “ketahuilah, seorang mukallaf itu 
sewajarnya menjaga lidahnya daripada sebarang percakapan kecuali 
percakapan yang menghasilkan kebaikan. Apabila bercakap dan berdiam diri
 adalah sama sahaja hasilnya, maka mengikut sunnahnya adalah lebih baik 
berdiam diri kerana percakapan yang diharuskan mungkin membawa kepada 
yang haram atau makruh. Kejadian demikian telah banyak berlaku tetapi 
kebaikan darinya adalah jarang.”
Sebenarnya banyak daripada 
hadith-hadith Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang menerangkan 
keburukan dan bencana lidah ke atas empunya diri (antara lain):
“Tidaklah dihumbankan muka manusia ke dalam neraka itu sebagai hasil tuaian (jelek) lidahnya.”( Hadith riwayat Al Tarmizi)
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam juga bersabda:
“Bukanlah ia seorang mu’min (jika) jika ia suka menuduh, melaknat, bercakap kotor dan keji.” (Hadith riwayat At Tarmizi)
Sabda baginda lagi:
“Sesiapa
 yang banyak bercakap, maka banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak 
kesalahannya, maka banyaklah dosanya, dan sesiapa yang banyak dosanya, 
api nerakalah paling layak untuk dirinya.” (Diriwayatkan oleh Baihaqi)
4. Bersifat Pemalu.
Seorang
 muslim mestilah bersifat pemalu dalam setiap keadaan. Namun demikian 
sifat tersebut tidak seharusnya menghalangnya daripada memperkatakan 
kebenaran. Di antara sifat pemalu seseorang ialah ia tidak masuk campur 
urusan orang lain, memelihara pandangan, merendah diri, tidak 
meninggikan suara ketika bercakap, berasa cukup seta memadai sekadar 
yang ada dan sifat-sifat seumpamanya. Diceritakan daripada Rasulullah 
Sallallahu’alaihiwasallam bahawa baginda adalah seorang yang sangat 
pemalu, lebih pemalu daripada anak gadis yang berada di balik tabir.
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:
“Iman
 itu mempunyai tujuh puluh cabang atau enam puluh cabang, maka yang 
paling utama ialah ucapan Lailaha Illallah (Tidak ada Tuhan yang sebenar
 melainkan Allah) dan yang paling rendah ialah menyingkirkan duri dari 
jalan. Dan sifat malu ialah satu cabang dari Iman”
Berhubung 
dengan sifat malu ini para ulama’ mengatakan: “Hakikat malu itu ialah 
sifat yang menggerakkan seseorang itu meninggalkan kejahatan, dan 
menghalangnya dari mencuaikan hak orang lain.
5. Bersifat Lembut dan Sabar
Di
 antara sifat-sifat yang paling ketara yang wajib tertanam di dalam diri
 seseorang Muslim ialah, sifat sabar dan berlemah lembut kerana 
kerja-kerja untuk Islam akan berhadapan dengan perkara-perkara yang 
tidak menyenangkan, malah jalan da’wah sememangnya penuh dengan 
kepayahan, penyiksaan, penindasan, tuduhan, ejekan dan persendaan yang 
memalukan. Halangan–halangan ini sering dihadapi oleh para petugas ‘amal
 Islami sehingga himmah mereka menjadi pudar, gerakan menjadi lumpuh 
malah mereka mungkin terus berpaling meninggalkan medan da’wah.
Daripada
 keterangan ini jelaslah, tugas dan tanggungjawab seorang pendakwah 
adalah satu tugas yang amat sukar. Ia bertanggungjawab menyampaikan 
da’wah kepada seluruh lapisan manusia yang berbeza kebiasaan, taraf 
pemikiran dan tabi’atnya. Da’i akan menyampaikan da’wahnya kepada 
orang-orang jahil dan orang-orang ‘alim, orang yang berfikiran terbuka 
dan yang emosional (sensitif), orang yang mudah bertolak ansur dan yang 
keras kepala, orang yang tenang dan yang mudah tersinggung. Oleh yang 
demikian ia wajib menyampaikan da’wah kepada semua golongan itu sesuai 
dengan kadar kemampuan penerimaan akal mereka. Ia mestilah berusaha 
menguasai dan memasuki jiwa mereka seluruhnya. Semua ini sudah pasti 
memerlukan kekuatan dari kesabaran yang tinggi, ketabahan dan lemah 
lembut.
Oleh itu kita dapati banyak ayat Al-quran dan hadith Nabi
 menganjur dan mengarahkan agar seorang da’i itu berakhlak dengan 
sifat-sifat sabar, lemah lembut dan berhati-hati.
Arahan-arahan Dari Al-Qur’an:
Di antara arahan-arahan al-qur’an ialah:
Firman-firman Allah:
“Tetapi
 orang yang bersabar dan memaafkan, sesungguhnya (perbuatan) yang 
demikian itu termasuk hal-hal yang diutamakan”. (Al-Syura, 42: 43)
“Maafkanlah mereka dengan cara yang baik” (Al-Hijr, 15: 85)
“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (Az-Zumar, 39: 10) 
“Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada, apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu?” (An-Nur, 24 : 22) 
“Dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi) keselamatan.” (Al-Furqan 25 :63)
Arahan-arahan daripada hadith-hadith Nabi.
Di antara arahan-arahan daripada hadith-hadith Nabi ialah:
Sabda-sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam (yang bermaksud, antara lain):
“Sesungguhnya
 seorang hamba itu akan mencapai darjat orang-orang yang berpuasa serta 
bersembahyang malam dengan sifat lemah-lembutnya.”
“Mahukah aku 
memberitahu kamu suatu perkara yang dengannya, Allah akan memuliakan 
binaan (kedudukan seseorang) dan mengangkatnya kepada beberapa darjat 
ketinggian. Mereka menjawab: Ya wahai Rasulullah. Baginda bersabda: 
“Berlemah-lembutlah kamu terhadap orang jahil, maafkanlah orang yang 
menzalimi kamu, hulurkanlah pemberian kepada orang yang menahan 
pemberiannya kepadamu dan sambunglah ikatan silaturrahim terhadap orang 
yang memutuskannya terhadap kamu.”
“Apabila Allah 
Subhanahuwata’ala telah menghimpunkan makhluknya pada hari kiamat, 
penyeru pada hari itu pun menyeru; “Di manakah orang-orang yang 
mempunyai keistimewaan”. Baginda bersabda: Lalu bangun segolongan 
manusia dan bilangan mereka adalah sedikit. Mereka semua bergerak dengan
 cepat memasuki syurga lalu disambut oleh para malaikat. Kemudian mereka
 ditanya: “Apakah keistimewaan kamu”. Mereka menjawab: “Adalah kami ini 
apabila dizalimi kami bersabar, apabila dilakukan kejahatan kepada kami,
 kami berlemah-lembut”, lalu dikatakan kepada mereka: “Masuklah kamu ke 
dalam syurga kerana ia adalah sebaik-baik ganjaran bagi orang yang 
beramal”
Contoh-contoh praktikal dari Nabi:
1.
 Pada hari peperangan Hunain seorang (yang tidak puas hati dengan 
pembahagian rampasan perang) berkata: “Demi Allah, sesungguhnya ini 
adalah pembahagian yang tidak adil dan tidak bertujuan mendapat 
keredhaan Allah”. Setelah diceritakan kepada Rasulullah 
Sallallahu’alaihiwasallam baginda bersabda:
“Semoga Allah merahmati Nabi Musa kerana ia disakiti lebih dari ini tetapi ia sabar”.
2. Anas Radiyallahu anh telah berkata:
“Pada
 suatu hari Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah memasuki sebuah 
masjid. Ia memakai kain selendang buatan najran yang kasar buatannya. 
Tiba-tiba seorang Arab Badwi datang dari arah belakang baginda lalu 
menarik kain tersebut dari belakang sehingga meninggalkan bekas di leher
 baginda. Badwi tersebut berkata : “Wahai Muhammad, berikanlah kepada 
kami harta Allah yang ada di sisimu, lalu Rasulullah berpaling kepadanya
 dengan wajah yang tersenyum dan baginda bersabda: “Perintahkan kepada 
yang berkenaan supaya berikan kepadanya.”
3. Abu Hurairah menceritakan:
“Bahawa
 seorang Arab Badwi telah berkata kepada Rasulullah 
Sallallahu’alaihiwasallam: “Wahai Muhammad bawalah gandum ke atas dua 
ekor untaku, kerana kalau engkau buat begitu ia bukan harta engkau dan 
bukan juga harta bapa engkau”. Kemudian ia menarik kain selendang 
Rasulullah sehingga meninggalkan kesan kemerahan di leher baginda. Lalu 
Rasulullah memerintahkan supaya membawa kepada Badwi tersebut seguni 
gandum dan tamar”. 
4. Al-Tabrani menceritakan:
“Bahawa 
seorang wanita berkata lucah (yakni ucapan yang menimbulkan berahi) 
kepada sekelompok lelaki, kemudian ia lalu dihadapan Nabi 
Sallallahu’alaihiwasallam ketika Nabi sedang memakan roti berkuah di 
atas tanah. Kemudian wanita itu berkata: “Lihatlah kamu kepadanya, ia 
duduk seperti seorang hamba abdi dan ia makan seperti seorang hamba 
abdi”.
5. Abu Hurairah radiallahu anh menceritakan:
“Bahawa
 seorang leleki berkata : “Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya mempunyai
 kaum kerabat yang selalu saya hubungi mereka tetapi mereka semua 
memutuskan hubungan dengan saya, saya berbuat baik kepada mereka tetapi 
mereka berbuat jahat terhadap saya, saya berlemah-lembut dengan mereka 
tetapi mereka bersikap keras terhadap saya.” Lalu baginda bersabda : 
“Jika sekiranya engkau berbuat seperti yang engkau katakan seolah-olah 
engkau menjemukan mereka dan engkau tetap akan mendapat pertolongan dari
 Allah selama engkau berbuat demikian”.
6. Pada suatu ketika 
datang seorang yahudi menuntut hutang dengan Rasulullah dengan berkata: 
“Kamu dari Bani Abd.Manaf adalah bangsa yang suka melambat-lambatkan 
pembayaran hutang”. Ketika itu Umar Ibn Al-Khattab ada bersama dan ia 
hampir memenggal leher Yahudi itu, lalu Rasulullah berkata kepadanya: 
“Wahai Umar, sepatutnya engkau menyuruhnya meminta kepadaku dengan cara 
yang baik dan menuntut aku juga membayar dengan baik”.
7. 
Diriwyatkan bahawa Nabi Isa Alaihissalam bersama para pengikut setianya 
(Hawariyyun) dari satu kampung ke satu kampung yang lain kerana 
berda’wah. Lalu di dalam da’wahnya itu ia bercakap kepada manusia dengan
 cara yang baik, sebaliknya mereka membalasnya dengan kata-kata yang 
buruk, kutukan dan maki-hamun. Para pengikut setia itu merasa hairan 
terhadap tindakan itu lalu mereka bertanya tentang rahsia perbuatan 
sedemikian. Baginda berkata: “Setiap orang itu mengeluarkan 
(membelanjakan) apa yang ada padanya”.
Semua peristiwa di atas 
dan peristiwa lainnya menjadi bukti yang menguatkan lagi tuntutan ke 
atas para penda’wah supaya bersifat lemah-lembut, sabar dan belapang 
dada khususnya apabila cabaran-cabaran yang menyakitkan itu datangnya 
dari kaum kerabat, sahabat-handai, orang-orang yang dikasihi, 
teman-teman rapat dan saudara mara kerana sifat-sifat lemah-lembut, 
sabar dan berlapang dada itu akan menghasilkan kasih-sayang, kelembutan 
hati dan menghapuskan perpecahan serta perbezaan. Cukuplah oleh seorang 
penda’wah itu mendapat apa yang diredhai oleh Allah.
6. Bersifat Benar dan Jujur
Seorang
 muslim itu mestilah bersifat benar dan tidak berdusta. Berkata benar 
sekalipun kepada diri sendiri kerana takut kepada Allah dan tidak takut 
kepada celaan orang. Sifat dusta adalah sifat yang paling jahat dan hina
 malahan ia menjadi pintu masuk kepada tipu daya syaitan. Seorang yang 
memelihara dirinya dari kebiasaan berdusta bererti ia memiliki 
pertahanan dan benteng yang dapat menghalang dari was-was syaitan dan 
lontaran-lontarannya. Berhati-hati dan memelihara diri dari sifat dusta 
akan menjadikan jiwa seorang itu mempunyai pertahanan dan benteng yang 
kukuh menghadapi hasutan dan tipu daya syaitan. Dengan demikian jiwa 
seseorang akan sentiasa bersih, mulia dan terhindar daripada tipu daya 
syaitan. Sebaliknya sifat dusta meruntuhkan jiwa dan membawa kehinaan 
kepada peribadi insan. Lantaran itu Islam mengharamkan sifat dusta dan 
menganggap sebagai satu penyakit dari penyakit-penyakit yang dilaknat.
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud, antara lain):
“Sesungguhnya
 sifat benar membawa kepada kebajikan dan sesungguhnya kebajikan itu 
membawa ke syurga. Seseorang yang sentiasa bersifat benar hinggalah 
dicatat di sisi Allah sebagai seorang yang benar. Dan sesungguhnya sifat
 dusta itu membawa kepada kezaliman (kejahatan) dan kejahatan itu 
membawa ke neraka. Seorang lelaki yang sentiasa berdusta sehinggalah 
dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta”. (Muttafaqun ‘alaihi)
7. Bersifat rendah diri
Seseorang
 Muslim mestilah bersifat tawaduk atau merendah diri khususnya terhadap 
saudara-maranya yang muslim dengan cara tidak membezakan (dalam memberi 
layanan) sama ada yang miskin maupun yang kaya. Rasulullah SAW sendiri 
memohon perlindungan kepada Allah agar dijauhkan dari sifat-sifat takbur
 (membangga diri). Baginda bersabda (antara lain, bermaksud):
“Tidak akan memasuki syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarah (sedikit) sifat takbur.” (Hadis Riwayat Muslim)
Di dalam hadith qudsi Allah berfirman :
“Kemuliaan
 itu ialah pakaian-Ku dan membesarkan diri itu ialah selendang-Ku. 
Sesiapa yang cuba merebut salah satu dari keduanya pasti Aku akan 
menyeksanya”. (Hadith Qudsi riwayat Muslim)
8. Menjauhi sangka buruk dan mengumpat
Menjauhi
 sangka buruk dan mengintai-intai keburukan orang lain. Oleh itu seorang
 itu mestilah menjauhi sifat-sifat ini kerana mematuhi firman Allah:
“Hai
 orang-orang yang beriman jauhilah kebanyakan daripada prasangka, 
sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa dan janganlah
 kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu 
mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang daripada kamu 
memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa 
jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha 
penerima taubat lagi penyayang”. (Al-Hujurat, 49 : 12)
Allah berfirman lagi:
“Dan
 orang-orang yang menyakiti orang-orang mu’min dan mu’minat tanpa 
kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul 
kebohongan dan dosa yang nyata.”  (Al-Ahzab, 33 : 58)
Dan Rasulullah bersabda (antara lain, bermaksud):
“Wahai
 golongan yang beriman dengan lidahnya sahaja, sedang iman belum 
memasuki hatinya, janganlah kamu mengumpat orang-orang Islam yang lain 
dan janganlah kamu mengintai-intai keburukan mereka, kerana sesiapa yang
 mengintai-intai keburukan saudaranya, Allah akan membongkar 
keburukannya sekalipun ia berada di dalam rumahnya.” (Hadith riwayat Abu
 Daud)
9. Bersifat pemurah
Seorang
 muslim mestilah bersifat pemurah, sanggup berkorban dengan jiwa dan 
harta bendanya pada jalan Allah. Di antara cara yang dapat menyingkap 
kebakhilan seseorang itu ialah dengan cara memintanya membelanjakan wang
 ringgit kerana berapa banyak daripada kalangan mereka yang 
berkedudukan, berharta dan berpangkat gugur daripada jalan ini, lantaran
 rakus terhadap mata benda. Di dalam Al-Qur’an Al-Karim sendiri terdapat
 berpuluh-puluh ayat yang menjelaskan ciri-ciri keimanan yang dikaitkan 
dengan sifat pemurah.
Diantaranya:
Orang-orang yang mendirikan shalat dan yang menafkahkan sebagian dari rezki yang kami berikan kepada mereka.” (Al-Anfal, 8: 3) 
“Dan
 apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah) maka 
pahalanya itu untuk diri kamu sendiri. Dan janganlah kamu membelanjakan 
sesuatu melainkan kerana mencari keredhaan Allah. Dan apa saja harta 
yang baik yang kamu nafkahkan nescaya kamu akan diberikan pahalanya 
dengan cukup sedang kamu sedikitpun tidak dianiayai”. (Al-Baqarah, 2 : 
Ayat 272)
Orang-orang yang bakhil atau kikir seharusnya mendengar
 dan mengambil pelajaran dari pesanan Rasulullah 
Sallallahu’alaihiwasallam (antara lain, bermaksud):
“Tidak ada 
suatu haripun yang dilalui oleh seorang hamba kecuali (hari-hari) 
didatangi oleh dua malaikat lalu seorang darinya berdo’a : “Ya Allah, 
berikanlah ganti kepada si hamba yang menafkahkan hartanya”. Manakala 
malaikat yang ke dua berdo’a : “Ya Allah, berikanlah kebinasaan kepada 
sihamba yang bakhil ini”.
10. Qudwah Hasanah (Suri teladan yang baik)
Selain
 daripada sifat-sifat yang disebutkan di atas, seorang muslim mestilah 
menjadikan dirinya contoh ikutan yang baik kepada orang ramai. Segala 
tingkah lakunya adalah menjadi gambaran kepada prinsip-prinsip Islam 
serta adab-adabnya seperti dalam hal makan minum, cara berpakaian, cara 
pertuturan, dalam suasana aman, dalam perjalanan malah dalam seluruh 
tingkah laku dan diamnya. Membina diri menjadi suri teladan merupakan 
peranan besar yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah saw. 
Firman Allah swt yang bermaksud:
"Sesungguhnya
 telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu 
(iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari 
kiamat dan dia banyak menyebut Allah " ( Surah al Ahzab : Ayat 21 )
Sumber : http://www.haluan.org.my/

 
 
 
 
 
 
 
