Kuala Lumpur : Isu Palestin adalah isu penyatuan umat Islam di seluruh dunia dan tidak hanya terletak di atas bahu umat Islam Palestin sahaja tetapi menjadi kewajipan dan tanggungjawab ke atas semua umat Islam di dunia.
Perunding 'Aman Malaysia', Dr Zainur Rashid berkata, Solahuddin Al-Ayubi yang telah membebaskan Palestin pada 1187, bukanlah seorang rakyat Palestin dan bukan juga seorang yang berketurunan Arab, tetapi beliau ialah seorang yang berketurunan Kurdi.
"Namun kerana beliau
memahami haknya sebagai seorang Islam ke atas bumi Palestin dan dari sudut
agama, beliau telah meninggalkan segala kemewahannya demi membebaskan
Palestin," katanya dalam temubual eksklusif dengan Bernama.
Solahuddin Al-Ayubi telah
mengambil kembali tanah suci Palestin daripada tentera Salib dari Eropah. Dalam
kalangan tentera Salib, beliau dikenali sebagai 'Saladin'.
Bagaimanapun, Dr Zainur turut
meluahkan rasa kesalnya dengan memberikan satu fakta penting, yang turut
dikongsi oleh pengasas pergerakan umat Islam "Palestine 48" Sheikh
Raed Solah, yang menggambarkan tahap kesedaran dan kefahaman umat Islam
terhadap tanggungjawab dan kewajipan mereka ke atas isu Palestin.
Sheikh Raed Solah menghadiri
seminar "Selamatkan Masjid Al-Aqsa DaripadaAncaman Zionis" di
Putrajaya, dekat sini baru-baru ini.
Dr Zainur berkata, terdapat hanya
17 juta orang Yahudi berbanding 1.7 bilion orang Islam di dunia.
"Jadi persoalan yang timbul
sekarang adalah mengapa dan bagaimana umat Islam boleh diperlekehkan oleh
mereka?
"Jawapannya ialah kealpaan
umat Islam itu sendiri terhadap kesatuan umat dan tanggungjawab terhadap Masjid
Al-Aqsa dan Baitulmaqdis," jelas Dr Zainur yang juga pakar perunding
obstetrik dan ginekologi di Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban.
Kepada orang Islam, Al-Quds atau
Baitulmuqadis ialah tanah suci yang ketiga selepas Mekah dan Madinah.
Kealpaan umat Islam sendiri,
menurut beliau, telah menjadikan isu negara Palestin dan Masjid Al-Aqsa hanya
mendapat perhatian apabila berlaku serangan-serangan yang besar ke atas Gaza
dan Tebing Barat, menjadikan ia isu bermusim.
Kelicikan Yahudi menggunakan
senjatanya yang paling ampuh iaitu media, dengan menyembunyikan fakta-fakta
penting mengenai isu Palestin dan sekalipun mereka memaparkannya, ia akan
ditonjolkan mengikut sudut pandangan mereka yang akhirnya melalaikan umat
Islam.
Kealpaan umat Islam juga berpunca
daripada umat Islam sendiri yang tidak tahu dan tidak mahu mengambil tahu
mengenai isu Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa.
Contoh yang diberikan oleh Dr Zainur
adalah ketika bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon memasuki Masjidil
Aqsa, di mana akhbar-akhbar Arab menyatakan yang Sharon tidak memasuki Masjidil
Aqsa tetapi hanya sekadar berada di perkarangan Masjid.
Ini kerana berdasarkan pemahaman
mereka, Masjidil Aqsa adalah masjid yang kubahnya berwarna hijau tua sedangkan
Masjid Al-Aqsa merangkumi keseluruhan kawasan tersebut termasuklah dua buah
masjid yang berada di dalamnya.
Masjidil Aqsa Dan Penjelasannya
Menurut Dr Zainur yang telah pun
menjejakkan kaki ke bumi Palestin, MasjidAl-Aqsa merangkumi keseluruhan kawasan
yang luas, yang mana di dalamnya terdapat tiga buah masjid.
Pertama adalah Masjid Qubbat
As-Sakhrah (Dome of Rock) atau umat Islam di Palestin memangilnya Masjid
An-Nisa’ kerana kaum wanita bersolat di dalamnya, yang telah dibina oleh
Khalifah Malik bin Marwan pada tahun 69 hingga 75 hijrah.
Masjid Qubbat As-Sakhrah atau
Masjid Batu ini juga dikenali dengan warna kubahnya yang berwarna kuning
keemasan, berada di tengah-tengah kawasan Masjidil Aqsa.
Kedua adalah masjid yang kubahnya
berwarna hijau tua iaitu Masjid Qibli, yang merujuk kepada qiblat pertama umat
Islam atau juga dipanggil Masjid Juma’ah.
"Di hadapannya adalah Masjid
Umar di mana Saidina Umar Al-Khattab bersolat di situ.
"Jadi kesimpulannya ialah
ketiga-tiga masjid ini adalah sebahagian daripada Masjid Al-Aqsa," jelas
beliau.
Apakah yang sedang berlaku ke atas Al-Aqsa?
"Pada waktu kini, Zionis
sedang giat menjalankan aktiviti yang dinamakan Projek Pengyahudian Masjid
Al-Aqsa," kata Dr Zainur.
Menurut Dr Zainur, apa yang
sedang berlaku ke atas Masjidil Aqsa ialah pihak Yahudi telah membina terowong
yang banyak di bawah Masjidil Aqsa dan pembinaan terowong-terowong tersebut
bersandarkan kepada dakwaan bahawa di bawahnya terdapat runtuhan Kuil Solomon.
"Mereka telah menjalankan
aktiviti pembinaan terowong-terowong tersebut selama kira-kira 45 tahun dan
sehingga ke hari ini, mereka gagal menemui sebarang kesan runtuhan Kuil
Solomon.
"Agenda sebenar mereka ialah
untuk melemahkan struktur binaan Al-Aqsa denganharapan agar masjid-masjid
berkenaan akan runtuh bagi membolehkan mereka membina pula Kuil Solomon di
atasnya," katanya.
Antara kejahatan lain yang
dilakukan ke atas Masjidil Aqsa adalah mengubah ciri-ciri keIslaman di masjid
itu kepada ciri-ciri keYahudian, menganjurkan pesta-pesta maksiat dan
menghalang orang Islam daripada memperbaiki bahagian masjid yang rosak.
Mereka juga pernah menjalankan
percubaan untuk membakar Masjidil Aqsa beberapa kali dan antara percubaan
terbesar yang pernah dilakukan ialah pada 21 Ogos 1969, selain percubaan untuk
mengebom masjid berkenaan.
Mengapa pentingnya Masjidil
Aqsa kepada umat Islam?
Mengenai kunjungan Sheikh Raed
Solah ke Malaysia, Dr Zainur berkata, permasalahan paling besar dan utama yang
cuba disampaikan oleh Sheikh Raed ialah isu Masjid Al-Aqsa, yang mana menurut
beliau begitu penting kepada seluruh umat Islam berdasarkan enam fakta yang
utama.
Pertama, Masjid Al-Aqsa ialah kiblat pertama umat Islam selama 17 bulan.
Kedua, ia adalah masjid kedua
yang dibina di atas muka bumi ini 40 tahun selepas pembinaan Masjidil Haram.
Ketiga, Masjid Al-Aqsa adalah
masjid suci yang ketiga di sisi Allah SWT selepas Masjidil Haram dan Masjid
Nabawi.
Keempat, di Masjid inilah
berlakunya peristiwa Isra’ dan Mikraj di mana Masjidil Aqsa adalah tempat
persinggahan terakhir Baginda Nabi Muhammad SAW sebelum Baginda diangkat ke
langit.
Kelima, Masjidil Aqsa ini
dikelilingi oleh bumi para nabi (Bumi Ambia’) menjadikan Baitulmaqdis sebagai
bumi yang istimewa di sudut akidah umat Islam.
Yang terakhir ialah bumi Palestin
ini dikenali dengan panggilan "Bumi Perjuangan.
Terdapat juga hadis yang
meriwayatkan bahawa pahala menunaikan solat dalam Masjidil Aqsa adalah 500 kali
ganda. - BERNAMA