25 March 2013



        Tidak berjaya seseorang murid jika bukan jasa seorang guru, tidak berakhlak seseorang pelajar jika bukan kerana muaddib, dan tidak berjaya seorang penda'wah jika bukan kerana usaha murabbi atau muraqqib. Sasterawan Usman Awang juga membenarkan hal ini di dalam puisi guru yang diciptanya.

Begitu juga dalam kehidupanku. Tidaklah aku menjadi seorang aktivis da'wah jika bukan hasil perah keringat murabbi yang mentarbiyyahku. Dikala aku dulu seorang yang jahil dari golongan juhala', maka Allah menghantarkan dia kepadaku untuk mentarbiyyahku secara nizam yakni tersusun mengikut marhalah secara tadarruj (berperingkat) daripada ta'arif sehinggalah tanfiz.


Murabbiku,
Tidaklah aku melupai jasamu sehingga aku menutup mata. Gurauanmu, teguranmu, nasihatmu dan kemarahanmu membuatkan aku kini menjadi seorang manusia yang menyambung risalah Nubuwwah yang penuh dengan mehnah dan tribulasi berpanjangan.

Murabbiku,
Aku masih teringat saat kita berkongsi rasa dan thaqafah di dalam usrah kita, daurah kita, mukhayyam kita, rehlah kita, katibah kita, munaqasyah kita sehingga aku amat merindukan saat-saat itu. Aku seakan sebak dan terasa benar ingin kembali ke detik tersebut.

Murabbi,
Tadhiyyah dirimu dalam mentakwinkan diriku menjadikan aku sedar dan berusaha menjadi aktivis da'wah yang gigih. Disamping itu, aku berusaha membuktikan kepadamu bahawa usahamu dalam mentarbiyyahku tidak pernah sia-sia kerana aku merenungi "murabbi yang baik adalah mereka dapat melahirkan mutarabbi yang berkualiti".

Murabbi,
Biarpun kita kini berada di landasan da'wah yang sama, engkau tetap murabbiku dari dunia sehingga akhirat. Aku amat menghargai dirimu meskipun kita sudah terpisah jauh dan benarlah bahawa kita bertemu dan berpisah kerana Allah. Mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan yang dinaungi Arasy'.


Semoga Allah memberkati kehidupanmu dan mudahan-mudahan catatan yang ringkas ini dapat menggambarkan luahan perasaanku dalam menghargaimu.Syukran jazakallah..




RECENT POSTS

Top Popular Posts