23 March 2013


       Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah SWT. Setiap
kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia
akan bercakap dengan Allah SWT. Nabi Musa sering bertanya dan Allah SWT akan menjawab
pada waktu itu juga. Ini lah kelebihannya yang tiada pada nabi-nabi lain. Suatu hari NabiMusa bertanya kepada Allah SWT...

“Ya Allah siapakah orang yang di syurga nanti akan berjiran dengan aku ?”.
Allah SWT menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya.
Setelah mendapat jawapan Nabi Musa turun dari bukit dan terus berjalan menuju ke tempat
yang diberitahu.

Setelah beberapa hari dalam perjalanan akhirnya beliau sampai ke tempat berkenaan.
Dengan pertolongan beberapa penduduk di situ beliau berjaya bertemu dengan orang
tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu. Tuan
rumah tidak melayan Nabi Musa dan terus masuk ke bilik dan melakukan sesuatu. Sebentar
kemudian dia keluar sambil membawa seekor khin’zir betina yang besar dan didokong
dengan cermat. Nabi Musa terkejut dan bertanya “Apa hal ini ?” di dalam hatinya penuh
kehairanan. Khin’zir itu dimandikan dan dibersihkan dengan baik, dikeringkan, dipeluk dan
diciumnya. Selepas itu orang tersebut membawa keluar pula seekor khin’zir jantan dan
dilakukan serupa dengan khin’zir betina tadi.

Setelah selasai tugasnya, barulah orang itu melayan Nabi Musa dan lalu bertanya,
“Wahai saudara, apa agama kamu ?”.
“Tauhid agamaku”, jawab orang itu iaitu agama Islam.
“Mengapa kamu membela khin’zir, kita dilarang berbuat begitu”, kata Nabi Musa.
“Wahai tuan hamba, sebenarnya kedua-dua ekor khin’zir itu adalah kedua ibu-bapaku”,
terang orang itu. “Oleh kerana kedua-dua mereka telah melakukan dosa besar, Allah SWT
telah menukarkan rupa mereka kepada khin’zir. Soal dosa mereka dengan Allah adalah
urusan mereka dan urusan Allah. Aku sebagai anaknya akan berbakti dan tetap
melaksanakan kewajipan sebagai anak sepertimana yang tuan hamba lihat tadi walaupun
mereka telah bertukar menjadi khin’zir”, jelas dengan orang itu lagi. 

“Setiap hari aku berdoa kepada Allah SWT agar dosa mereka diampunkan serta menukarkan
wajah mereka seperti manusia biasa”, tambah orang itu lagi.
Maka ketika itu juga Allah SWT menurunkan wahyuNya kepada Nabi Musa.
“Wahai Musa inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di syurga nanti, daripada hasil
baktinya yang terlalu tinggi kepada kedua ibu-bapanya, walau pun telah berubah kepada
khin’zir. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak yang soleh di sisi Kami. Oleh kerana
dia telah berada dimaqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami makbulkan doanya.”
  

Itulah berkat doa anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa kedua ibu-bapa.
Walau macam mana buruk kedua ibu-bapa dan dosa kedua ibu-bapa kita, itu adalah bukan
urusan kita. Urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sepertimana
mereka menjaga kita sewaktu masih kecil lagi hinggakan dewasa. Walau banyak mana dosa
yang dilakukan, urusan kita ialah memohonkan ampun kepada Allah SWT, semoga mendapat
tempat di akhirat dan alam kubur. Erti kasih sayang kepada ibu bapa bukanlah wang ringgit,
cukuplah dengan doa agar mendapat tempat di sisi Allah SWT.



RECENT POSTS

Top Popular Posts