Hassan Al-Banna (1906-1949)
seorang pendidik dan pengasas Ikhwanul Muslimin berjaya menterjemahkan intipati
politik dalam perjuangan dakwah dengan menetapkan pendirian: ''Islam adalah
sebuah sistem sejagat yang lengkap dan mencakupi seluruh aspek hidup dan kehidupan.
Islam adalah negara dan tanah air, pemerintahan dan rakyat, akhlak dan kekuatan, kasih sayang dan keadilan, peradaban dan undang-undang, ilmu dan kesaksamaan, bahan dan sumber kuasa alam, usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah, tentera dan pemikiran, sebagaimana Islam adalah akidah yang lurus dan ibadah yang benar, tidak kurang dan tidak lebih."
Keluasan sudut pandangan itulah
menjadikan setiap tindakan yang dilaksanakan oleh Ikhwanul Muslimin cepat
mendapat perhatian sehingga dalam masa yang begitu singkat ia telah menjangkau
hampir ke seluruh Mesir.
Beberapa hari lagi, tentunya
ramai penyokong Ikhwanul Muslimin akan mengingati tarikh kematian tragis
pengasas mereka Hasan al-Banna pada 12 Februari 1949. Ini kerana, walaupun
Ikhwanul Muslimin pernah dibubarkan oleh pemerintah, sokongan dan perhatian
masyarakat Mesir begitu besar sehingga pada Jun 2012, Parti Kebebasan dan
Keadilan (FJP) menang dalam pilihan raya Presiden.
Kemenangan itu memberikan
sentuhan emosi kepada parti-parti politik pembangkang di Malaysia dan dijadikan
sebagai membangkit semangat untuk menumbangkan kerajaan yang memerintah dalam
PRU-13.
Jika meneliti sejarah perjuangan
Hasan al-Banna, ternyata Ikhwanul Muslimin tidak pernah menggunakan kekerasan
sehinggalah organisasi itu banyak dipengaruhi oleh Sayyid Qutb setelah kematian
Hasan al-Banna.
Hasan al-Banna walaupun
kemenangannya dalam pilihan raya di Ismailiyyah pernah dinafikan, organisasi
Ikhwanul Muslimin dan sekolah-sekolah kendaliannya ditutup, manakala penerbitan
akhbar dihentikan, beliau tidak pernah mengesyorkan penyokong-penyokong
berhimpun dan melakukan tunjuk perasaan.
Pendekatan itu menyebabkan
Ikhwanul Muslimin terus dihormati dan kaedah berpolitik yang diasaskan oleh
Hasan al-Banna lebih menjuruskan kepada kehendak Islam berbanding perilaku
pemimpin-pemimpin politik pembangkang di Malaysia.
Cara berpolitik yang
diterjemahkan oleh Hasan al-Banna tidak mempengaruhi corak perjuangan sebuah
parti pembangkang yang mendakwa perjuangan mereka adalah untuk memerintah berdasarkan
prinsip syariah, kerana setiap kali bermasalah, parti itu sering menyalahkan
parti lawan dan melancarkan serangan dengan melabelkan parti berkenaan
"membuang Islam" manakala pentadbiran yang telah memberikan rakyat
kebebasan serta mempertahankan keamanan negara sebagai zalim.
Belum pernah berlaku dalam
sejarah politik Malaysia kemenangan parti lawan dinafikan dan kebebasan untuk
memerintah disekat. Inilah yang berbeza secara jelas antara tekanan yang
dihadapi oleh Ikhwanul Muslimin sehingga tertubuhnya Parti Kebebasan dan
Keadilan setelah ramai calon Ikhwanul Muslimin bertanding atas platform bebas
sebelumnya tidak disenangi oleh pemerintah Mesir.
Kebangkitan rakyat Mesir mendesak
peletakan jawatan Hosni Mubarak pada akhir 2010 dan berjaya dilakukan pada 12
Februari 2011, seharusnya menjadi teladan terbaik bagi umat Islam di Malaysia.
Meskipun FJP diisytiharkan menang dan Dr. Mohamed Morsi dilantik sebagai
Presiden lebih enam bulan lalu, keadaan Mesir masih belum aman.
Dengan mengambil iktibar daripada
Arab Spring, boleh dirumuskan bahawa kemenangan dalam sesuatu perjuangan bukan
boleh menjamin keadaan selepasnya menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Mesir
terus dibelenggu ketakutan dan ketidakstabilan politik serta pertumbuhan
ekonominya merudum.
Usaha Morsi untuk meneruskan
perjuangan Ikhwanul Muslimin pada masa ini terus menerima tentangan hebat
daripada kelompok liberal, saki-baki penyokong Hosni dan kumpulan politik
berhaluan kiri Islam.
Hal seperti ini turut berlaku di
Malaysia apabila parti-parti politik pembangkang berusaha meraih sokongan
dengan mempertajamkan persepsi masyarakat dengan mengusung kekeliruan dan
penafian peluang yang terbuka untuk mereka berpolitik secara budiman.
Politik adaptasi yang sedang
berkembang dalam pakatan pembangkang misalnya menyebabkan pemimpin akar umbi
mempersoalkan kewajaran penyebaran dakwah yang telah dilaksanakan dalam konteks
tahaluf siyasi (kerjasama politik). Kerjasama yang terjalin tidak membuktikan
adanya kompromi yang lebih baik, sebaliknya menjadikan satu pihak terpaksa akur
dan bersetuju walaupun ia bukan memberikan kebaikan kepada Islam.
Apabila berlakunya
"pelanggaran prinsip", kewajaran yang dianggap sebagai tragedi kepada
umat Islam itu akhirnya cuba ditutupi dengan mudah oleh pemimpin parti yang
pada mulanya pernah melabelkan parti lawan yang bekerjasama dengan bukan Islam
sebagai kafir dan menimbulkan ketakutan rakyat. Persoalannya, itukah bentuknya
perjuangan politik di jalur dakwah atau berdakwah melalui politik?
Ibnul Qayyim Al Jauzi yang
menulis kitab Ath Thuruq al Hukmiyyah berpendapat, "Allah Ta'ala mengutus
para Rasul dengan menurunkan kitab-kitab suci-Nya, dengan tujuan agar manusia
dapat menegakkan keadilan sesuai dengan prinsip-prinsip langit dan bumi. Jika
keadilan muncul dan terlihat dalam bentuk apa pun, maka itulah syariat Allah
dan agama-Nya".
Kata Ibnul Qayyim lagi:
"Bahkan Allah Ta'ala telah menjelaskan bahawa garis-garis yang telah
ditetapkan itu dimaksudkan untuk menyemarakkan keadilan dalam kalangan
hamba-hamba-Nya dan agar manusia berlaku adil di muka bumi. Dengan cara apa pun
yang diambil, jika sesuai dengan garis- garis yang telah dijelaskan untuk
mewujudkan keadilan, adalah sebahagian dari agama dan tidak bertentangan
dengannya. Jadi tidak dapat dikatakan bahawa keadilan politik itu bertentangan
dengan apa yang dikatakan oleh syariah, melainkan ia sesuai dengan apa yang
dibawa oleh syariah dan bahkan sebagian bersepadu dengannya."
Maknanya, apabila ada cadangan
untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan umat Islam dengan menyatukan kelompok
politik yang berpecah, maka hasrat tersebut sepatutnya disambut dengan
berlapang dada. Tetapi, lebih menyedihkan apabila usaha itu cuba dirintis,
parti yang mempertahankan emosi marahnya terus menyatakan "pintu rundingan
sudah tertutup" manakala kerjasama tidak boleh berlaku dalam bidang
politik.
Maksudnya, parti berkenaan
sendiri tidak mahukan perpaduan dan telah mencemari perspektif bahawa
"politik dan agama tidak boleh dipisahkan" kerana Islam adalah addin
dan bukannya boleh dipisah-pisahkan sebagaimana dilakukan oleh parti politik
sekular.
Istilah politik atau siyasah
tidak ditemui dalam al-Quran dan hadis tetapi beberapa keadaan dan konteks yang
boleh memberikan gambaran bagaimana bentuknya berpolitik bagi memperkasakan
dakwah dan dengan berdakwah, politik menjadi suatu kaedah yang terbaik dan
bukan saling menyerang atau berperang.
Siyasah jika dikembangkan sebagai
satu seni dan sekali gus kemahiran, ia mengandungi kebolehan mengurus,
melakukan dan melaksanakan perubahan, membangunkan kebaikan awam, prihatin
terhadap kehidupan dan masalah rakyat, dan yang lebih diutamakan ialah tidak
mewujudkan sekumpulan pemimpin yang hanya tahu mencari salah, mengecam dam
menyalahkan orang lain bagi menyembunyikan kelemahan sendiri.
Berpolitik seringkali dikaitkan
dengan parti politik tetapi setiap kali melaksanakan aktivitinya, ramai yang
lupa untuk mengaitkannya dengan dakwah. Dalam merumuskan hubungan itu, Hasan
al-Banna berpendapat untuk mengatasi masalah kemunduran dan perpecahan umat,
kita memerlukan terapi bersepadu dan komprehensif, ia sepatutnya diajukan
dengan "gagasan memperbaiki kebaikan hubungan umat", agar mencapai
kehormatan dan kemuliaan.
Maknanya, dalam berpolitik dakwah
mestilah berhemah. Ketika berdakwah, politiknya mestilah beretika agar dapat
melahirkan umat yang budiman, iaitu umat yang menghormati dan menghayati bahawa
Islam dipenuhi elemen kasih sayang. Islam bukanlah kaedah berpolitik mengancam
dan saling menyerang, walaupun berbeza ideologi. ia meletakkan kesatuan umat di
tangga teratas.
Oleh : Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd Tahir
Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim).