30 March 2013



        Banyak salah faham mengenai status Islam itu sendiri. Al-Quran memberi pedoman, “Innaddeen ‘indallah hil Islam" - agama yang diredai ALLAH ialah agama Islam - bukan sekadar suatu sistem kepercayaan, tetapi cara hidup. Agama-agama lain ada sistem kepercayaan masing-masing tetapi tidak memiliki cara hidup.

Agama-agama lain memiliki etika dan nilai-nilai tertentu dalam bentuk falsafah dan kepercayaan. Dalam Islam sistem kepercayaan memberi asas aqidah dan ibadah supaya terbina iman dan takwa. Islam juga menentukan jalur syariah supaya amalan dan cara hidup terpandu dan terpedoman.
Islam amat memberi keutamaan kepada binaan akhlak. Ia adalah puncak kepada binaan rijal atau manusia. Rasulullah SAW dihantar kepada manusia untuk menyempurnakan akhlaknya. Al-Quran diturunkan kepada manusia kerana kaitannya dengan binaan akhlak.
Saidatini Aishah bila ditanyakan oleh para sahabat mengenai akhlak Rasulullah SAW menghubungkannya sebagai khuluq al-Quran atau akhlak al-Quran.
Rasulullah SAW tidak saja mendidik kita dengan asas aqidah dan rohaniah yang tinggi tetapi melakukan manifestasi aqidah dan rohaniah supaya produktiviti amal juga meningkat sama. Dakwah yang dilakukan, jihad yang dikerjakan, sirah dan sunnah yang ditinggalkan adalah gambaran jelas mengenai maksud Islam itu sendiri.
Konsep tauhidik itu sifatnya harus merentasi supaya ia dirasai dalam sistem kepercayaan dan diamalkan dalam sistem ilmu dan amalan. Keindahan Islam tidak hanya terlihat pada lafaz dan niat tetapi kehebatan Islam itu tercermin kepada peribadi, watak dan amali.
Seorang Islam yang berilmu dan berketerampilan memiliki upaya untuk menterjemahkan Islam dalam model dan sistem. Dengan semangat jihadnya yang tinggi, ia mampu menterjemahkan Islam dalam praktis dan aplikasi serta memberi manfaat kepada manusia.
Sebab itu umat Islam perlukan ilmu-ilmu yang berteraskan tasawwur Islami yang sifatnya menyeluruh dan penguasaan ilmu berbanding yang bermanfaat kemudian diolah dengan bijaksana supaya ia menjadi sebahagian daripada rangkaian ilmu yang memberi manfaat.
Usaha integrasi dan Islamisasi ilmu amat penting dilakukan dalam sistem keilmuan dan pendidikan kita supaya jenis sumber daya insan terbangun dengan tasawwur atau pandangan semesta yang menyeluruh dan melihat ilmu dan pendidikan itu dalam suatu kesatuan.
Kesatuan tasawwur yang berpaksikan tauhid mampu mencerna sistem ilmu dan pendidikan sehingga ia menjadi wadah amat berkesan membangunkan rijal yang akhirnya memiliki potensi untuk merealisasikan Islam sebagai suatu cara hidup.
Tamadun Islam yang terbangun pada zaman Abasiyyah, Andalusia, Uzbekistan, Othmaniah memperlihatkan kehebatan integrasi ilmu berlaku dan menghasilkan ulama serta ilmuwan yang tidak saja hebat dalam ilmu diniah atau agamanya tetapi hebat dalam ilmu-ilmu Matematik, Sains, teknologi, astronomi, perubatan dan lain-lain.
Oleh itu umat Islam tidak hanya sekadar nostalgik mengenai kecapaian silam, tapi harus reflektif dengan jatuh bangun tamadun dan mengambil iktibar daripadanya. Bersifat nostalgik semata-mata tidak memadai untuk membangkitkan suatu kesedaran baru untuk merintis jalan ke arah tamadun baru yang Islami.
Ia harus mendorong ilmuwan terkini meneliti keperluan zaman dan cabaran lingkungan. Ada asas-asas kukuh kecapaian silam dikaji dan diteliti dan terdapat asas-asas kecapaian kini dikaji dan diteliti dengan kritis dan kreatif.
Hasilnya, wujudkan simbiosis supaya berlaku sinergi akan sumber kekuatan silam dan manfaat berbanding yang terdapat kini. Sinergi ini amat penting dicari supaya olahan ilmu berada dalam kerangka tasawwur yang Islami atau tidak bercanggah dengan maqasid syariah kita.
Justeru,  menampilkan Islam melepasi batasan ritual dan rohaniah adalah sesuatu yang amat dituntut. Ilmu mengurus diri dan ilmu mengurus sistem harus berjalan seiring. Kekuatan akal, hati dan jasad harus dibangunkan dengan ilmu mengurus diri seperti aqidah , ibadah, syariah dan akhlak. ALLAH kurniakan sumber rahmah dan nikmah yang banyak seperti hasil bumi yang kaya. Sekiranya ilmu mengurus sistem seperti sains dan teknologi dikuasai, ia bakal melengkapi lagi binaan sistem ke arah sebuah tamadun.

Oleh : Prof Dr. Sidek Baba
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/



RECENT POSTS

Top Popular Posts