Sarajevo - Seorang lelaki Islam Bosnia yang berjalan kaki untuk
menunaikan ibadah haji di Mekah pada tahun lalu memberitahu agensi
berita AFP bahawa dia tiba di kota suci tersebut selepas merentasi tujuh
buah negara termasuk Syria yang kini dilanda perang saudara.
"Saya tiba di Mekah pada Sabtu lalu. Saya tidak letih, ini merupakan hari paling bahagia dalam hidup saya," kata Senad Hadzic menerusi satu temu bual telefon.
Senad Hadzic ketika di masjid Nabawi
Lelaki berusia 47 tahun itu memberitahu, dia berjalan kaki sejauh 5,700
kilometer (km) selama 314 hari merentasi Bosnia, Serbia, Bulgaria,
Turki, Syria dan Jordan untuk ke Mekah dengan membawa beg sandang
seberat 20 kilogram.
Hadzic
memaparkan perjalanan tersebut dalam akaun Facebook miliknya termasuk
gambar dia memperoleh kad masuk dan keluar Syria yang dikeluarkan oleh
kementerian dalam negeri kepada
warga asing.
warga asing.
"Saya merentasi Syria pada April lalu. Saya berjalan sekitar 500km dalam tempoh 11 hari. Saya melintasi bandar raya Aleppo dan Damsyik serta sejumlah pos kawalan tentera rejim dan pemberontak tetapi saya tidak pernah ditahan.
"Di sebuah pos kawalan tentera Presiden Bashar Al-Assad, beberapa askar mengarahkan saya mengosongkan beg sandang saya. Apabila saya menunjukkan al-Quran dan menyatakan saya berjalan kaki ke Mekah, mereka melepaskan saya," ujar Senad.
"Saya berjalan kerana Allah, untuk Islam, untuk Bosnia-Herzegovina, untuk ibu bapa dan saudara perempuan saya," tambah lelaki itu.
Di laman Facebooknya,
dia memberitahu, Tuhan telah menunjukkan jalan ke Mekah dalam mimpinya
termasuk menuju ke kota suci itu melalui Syria dan bukan Iraq.
Semasa perjalanannya, Senad berdepan suhu sejuk antara -35° darjah
Celsius di Bulgaria hingga kepanasan mencecah 44° darjah Celsius di
Jordan.
Menurutnya, dia terpaksa menunggu di Istanbul selama beberapa minggu
untuk mendapatkan kebenaran bagi merentasi Jambatan Bosphorus dengan
berjalan kaki, selain dua bulan di sempadan Jordan dan Arab Saudi bagi
mendapatkan visa untuk mengerjakan ibadah haji. - AFP
Dari Umar bin Khathab r.a : Rasulullah
saw bersabda, “Tiap-tiap amal harus disertai dengan niat. Balasan bagi
setiap amal manusia ialah pahala bagi apa yang diniatkannya. Barangsiapa
(niat) hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, maka baginya pahala hijrah
kerana Allah dan Rasul-Nya.
Dan
barangsiapa (niat) hijrahnya kerana dunia yang hendak diperolehnya atau
kerana perempuan yang hendak dikahwininya, maka (pahala) hijrahnya
sesuai dengan niatnya untuk apa dia hijrah.”
Sumber: International Herald Tribune