Cuaca
sejuk di bumi United Kingdom masih berada di paras beku. Kehadiran
saya, suami dan anak-anak ke desa Coalbrookdale, Ironbridge di Telford
dua hari yang lalu, menyaksikan tanah yang sebelumnya berwarna
kehitaman, telah bertukar putih setelah dilitupi salju.
Bahkan,
lebih memukau pandangan apabila hujung ranting pada pohonan kayu juga
turut dibaluti salji. Semuanya serba putih. Suci. Bersih. Ia mencipta
pemandangan yang sungguh indah. Cantik mempesona. Mengasyikkan pastinya.
“Wah!
Snow.Bestnya!” teriak kak long, kak ngah dan Khalil. Hampir serentak.
Mereka mulai melangkah setapak demi setapak. Menelusuri jalan bersalji
dengan iringan senyum dan ketawa seiring.
“Hati-hati!” Saya menguatkan suara.
“Jambatan tu licin. Jangan lalu dekat penghadang besi di situ, ya? Nanti jatuh.” Saya mengingatkan mereka.
Saya
yakin, sesiapa pun yang menyaksikan muka bumi Telfolrd ketika ini, akan
teruja untuk merasai dan menikmati keseronokan bermain salji. Apabila
dipijak, derap derup bunyinya umpama bunyi rangup keropok saat dikunyah.
Sedap!
Walaupun gembira, namun kami perlu sentiasa berwaspada. Permukaan tanah yang telah lama bersalji, biasanya akan mengeras dan menjadi licin. Salah mendarat dan memijak, boleh menyebabkan kaki tergelincir. Badan terdorong ke hadapan. Tubuh akan hilang keseimbangan lantas jatuh tersembam.
Fuiyo 2009
Sebenarnya, saya dan anak-anak berada di sini kerana mengikuti suami yang sedang berprogram. Beliau dijemput sebagai penceramah utama program FUIYO(Fun With ILuvIslam’s Youth Overseas)bermula pada 22 hingga 25 Disember. Masa yang bersesuaian dengan cuti panjang masyarakat setempat menyambut perayaan Hari Natal.
Walaupun pertukaran tempat program berlaku pada saat-saat akhir, namun berkat kesungguhan pihak urusetia dengan kerjasama dan komitmen para peserta, program ini berjalan lancar dengan acaranya yang disusun rapi. Dengan jumlah peserta mencecah 100 orang lebih, ruang dewan kelihatan padat dan cukup terisi.
Sementara suami bersama peserta berkongsi ilmu dan pengalamannya, saya melayani ragam dan kerenah anak-anak. Namun kali ini, saya mendapat bantuan daripada ‘abang-abang dan kakak-kakak’ urusetia yang rajin melayan keletah keempat-empat permata hati saya, terutama Khalil dan Solehah yang manja.
Hanya seketika sahaja saya berkesempatan men-dengar ceramah suami. Selebihnya, masa saya banyak dihabiskan bersama anak-anak atau berada di dalam bilik. Itupun tidak boleh lama kerana Solehah asyik meminta keluar untuk berjalan-jalan memesrai keindahan persekitaran.
Penat berjalan di luar sambil melawan kedinginan, saya memujuk Solehah kembali semula ke bilik untuk menghangatkan badan. Sesekali, saya mencuri kesempatan untuk beramah mesra bersama peserta dan urusetia wanita yang ada. Sekadar mempererat ukhuwah dan berkongsi cerita sesama mereka.
Dingin di Hati
“Ustazah, boleh saya bercakap dengan ustazah sekejap?” Tiba-tiba saya disapa seseorang. Manis dan lembut wajahnya. Berbaju kurung sambil memegang fail di tangannya. Saya tersenyum dan mengangguk. Sebenarnya, saya amat menghargai kepercayaan dirinya untuk berbicara bersama.
“Tentang apa, ya? Kalau ada yang ustazah boleh bantu… insya-ALLAH ustazah cuba.” Saya menyatakan kesediaan. Kami mengambil posisi yang sesuai apabila para peserta telah keluar dewan.
“Hmm… begini, ustazah. Tentang ibu saya.” Dia memulakan bicara. Kelihatan wajahnya mulai muram seakan ada beban yang ditanggung.
Di luar, salji masih menghujani bumi. Sejuknya amat terasa. Dan mungkin, rasa dingin itu turut meresap jauh ke dalam hati. Dia masih diam. Saya mem-biarkan, sebelum dia menyambung cerita semula.
“Akhir-akhir ini, saya sering dimarahi ibu kerana minat dan hobi saya ini.” Dia menunjukkan beberapa aksesori. Memang unik dan cantik pada pandangan saya. Saya tersenyum dan mula me-mahami mengapa si ibu berleter panjang tentang kegemarannya itu.
Hargai Nasihat
“Ibu cakap apa?” Saya bertanya.
“Ibu kata saya macam nak tarik perhatian orang, sedangkan saya bukan begitu. Saya cuma meminati sesuatu yang lain daripada orang lain aje.” Dia menjawab sekaligus membela diri.
“Saya sering dimarahi seolah-olah semua yang saya lakukan adalah salah. Dan saya pula bagaikan tiada keistimewaan yang boleh dibanggakan.” Dia meluah rasa.
Saya cuma berdiam kerana belum mahu mem-berikan pandangan. Sebenarnya masih mencari jawapan yang sesuai untuk saya berikan kepadanya.
“Seorang ibu hanya mahukan kebaikan untuk anak-anaknya.” Saya memulakan kata-kata.
“Dan atas sebab itulah, ibu adik selalu membantah keinginan yang lain daripada yang lain ini. Mungkin baginya, minat itu tidak normal. Jauh daripada ke-biasaan yang sepatutnya. Hatinya bimbang dan risau jika kelainan itu akan mendatangkan keburukan dan bukan kebaikan.” Saya terus memberikan pandangan.
“Jadi, apa perlu saya buat, ustazah?”
“Cuba adik kurangkan aksesori ini. Pakai seada-nya. Cukup hanya satu dua utas sahaja. Seterusnya, banyakkan berbual dengan ibu tentang minat dan impian adik untuk masa depan. Tunjukkan adik menghargai dan menghormati nasihatnya. Dan dalam masa yang sama, minat adik tetap dapat di-teruskan,” usul saya mencadangkan.
Pada saya, perbezaan dan kelainan pada hobi dan minatnya itu tidak terlalu luar biasa. Masih terkawal dan boleh diterima.
Silap Faham
Jika direnung dan difikir semula, saya melihat ada sedikit kesilapan remaja dan ibu bapa dalam menangani konflik antara mereka. Sebagai seorang insan, fasa remaja sepertinya pernah saya lalui dan bukan sesuatu yang baru, apabila berlaku perbezaan sisi pandang (pendapat) antara seorang anak dan ibu.
Saya juga mempunyai pengalaman seperti itu. Akan tetapi, setelah menginjak usia dewasa dan kini telah punyai empat cahaya mata, sudut pandang saya mulai berubah. Hampir sama dengan apa yang pernah ibu saya utarakan dahulu.
Mungkin kerana saya juga seorang ummi, maka, saya berasakan setiap nasihat yang diberikan kepada anak-anak yang dianggap leteran, sebenarnya tanda prihatin dan kasihan belas seorang ibu. Tiada lain yang difikirkan melainkan usaha dan ikhtiar yang dilakukan agar buah hatinya dijauhkan daripada sebarang keburukan dan bencana.
Berasaskan kerisauan dan kebimbangan dengan suasana hari ini, ibu bapa banyak mengarah itu dan ini. Tujuannya, mahu memberi nasihat, pandangan dan buah fikiran buat pedoman anak-anak dalam kehidupan. Namun, tanpa disedari, mereka bagaikan mahu anak-anak bertindak, bergerak dan membesar mengikut acuan yang telah mereka tentukan.
Sementara anak-anak pula, sering menyalah-ertikan sikap prihatin yang ditunjukkan oleh ibu bapa. Tambahan pula, jika ibu bapa gagal meraikan pemikiran dan impian anak-anak sehingga ‘ambil berat’ mereka dinilai sebagai kongkongan. Lebih malang, ia dianggap sebagai penafian kepada bakat dan kebolehan anak-anak dalam membuat keputusan.
Itulah silapnya!
Titik Temu
“Terima kasih atas nasihat ustazah.” Gadis bertubuh lampai itu meminta izin untuk kembali mengikuti perbincangan dalam kumpulan.
Saya mengiringinya dengan doa dan senyuman. Saya mengakui bukan mudah mencari penyatuan. Seorang anak muda remaja akan bertindak atas minat, keinginan dan impian. Manakala ibu bapa pula, mengatur kehidupan anak-anak berpandukan pengalaman, pendirian dan harapan. Lalu, bagai-mana mahu mencari titik pertemuan?
Berbicaralah atas nama kasih dan cinta. Itu ajaran agama yang mulia. Memang benar, sewajarnya sebagai orang tua, ibu bapa bertanggungjawab mencongak risiko yang bakal berlaku kepada anak-anak mereka, sama ada risiko itu terhasil daripada tindakan atau keputusan yang dilakukan. Namun, itu tidak bermakna ibu bapa harus mengongkong, memerintah dan menuntut agar kata-kata mereka diturut, sedangkan pandangan anak-anak langsung tidak dinilai. Jangan begitu!
Impian Mereka, Harapan Kita
Lebih elok sekiranya anak-anak menghargai pan-dangan orang tua, manakala ibu bapa juga perlu menghormati impian anak-anak yang sedang meningkat dewasa. Selagi keinginan mereka itu tidak menyalahi ajaran agama, maka berlapang dadalah! Itu lebih baik daripada saling bermasam muka.
Sekalipun minat dan kegemarannya itu ternyata tidak memberi makna, maka, biarkan dia belajar dan menyedari kesilapannya itu.
Ingatlah, seseorang yang tidak pernah melakukan kesilapan, sebenarnya dia tidak pernah melakukan apa-apa perkara. Kehidupannya adalah statik dan tiada perubahan. Dia juga tidak mampu memberi sesuatu yang ber-guna buat dirinya, apatah lagi orang lain di sekitar-nya.
Seandainya tidak berdepan dengan risiko, bagaimana seseorang itu akan bertambah ilmu dan pengalamannya? Seorang anak tidak akan selamanya berada bersama ibu bapa, kerana sampai saatnya mereka akan pergi jua untuk berdikari dan mandiri menentukan haluan hidup sendiri.
Maka, bertindaklah umpama melihat anak-anak menyusuri jalan bersalji. Biarkan mereka menikmati keseronokan memijak permukaan yang putih memikat hati. Akan tetapi, ingatkan mereka agar sentiasa berwaspada terhadap sempadan dan batasan yang boleh dilalui. Seandainya suatu ketika mereka tergelincir, hulurkan tangan dan bantulah mereka untuk berdiri kembali. Semoga keseronokan bermain salji terus dapat dinikmati bersama.
Sesungguhnya saya kembali ke Leicester dengan pengalaman dan pengajaran yang amat berguna. Syukur. Alhamdulillah..