5 May 2013


        Zaman mutakhir ini memperlihatkan kepada kita pelbagai kepincangan berlaku antaranya merosotnya akhlak dan tersebarnya kemaksiatan.Sebahagian manusia hilang rasa malunya kepada orang lain. Disebabkan hilangnya perasaan malu, pelbagai tingkah laku tidak senonoh ditonjolkan.
Malu adalah sebahagian daripada iman. Sifat malu sangat penting untuk dimiliki setiap Muslim. Malah Nabi sendiri adalah insan yang sangat pemalu.Diriwayatkan oleh Bukhari, Rasulullah lebih malu sifatnya dari seorang gadis. Itulah pentingnya memiliki sifat malu kerana jika ada perasaan malu, seseorang Muslim dapat mencegah dirinya dari membuat perkara yang dilarang.
Mereka akan malu untuk melakukan perkara tidak senonoh, maksiat dan malu untuk pergi ke tempat yang tidak sepatutnya. Dari Abu Mas’ud Uqbah bin Amr Al-Anshari Al-Badri, beliau berkata: Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya sebahagian ajaran yang masih dikenal umat manusia dari perkataan para nabi terdahulu adalah: ‘Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu.” (Hadis riwayat Bukhari)

Malu adalah antara ajaran yang tidak luput hingga sekarang. Ia menunjukkan malu mempunyai nilai yang tinggi di dalam agama. “Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu” bukanlah kata-kata galakan kepada manusia untuk melakukan sesuka hati mereka.
Ia bermaksud ancaman buat manusia yang tidak mempunyai perasaan malu untuk berbuat kerosakan dan kemaksiatan. Maksud ayat itu juga adalah untuk memberitahu malu adalah perisai kepada diri seseorang.
Pernah diriwayatkan, terdapat seorang Ansar yang memberikan nasihat kepada sahabatnya mengenai sifat malu. Beliau menyalahkan sahabatnya yang selalu malu dalam banyak hal.
Kebetulan ketika itu Rasulullah sedang lalu dan terdengar perbualan mereka berdua. Baginda berpesan, “Biarkanlah dia, kerana malu itu sebahagian daripada iman.
Hadis riwayat Abu Hurairah, beliau berkata: Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Iman itu ada tujuh puluh cabang lebih. Dan malu adalah salah satu cabang iman.” (Sahih Muslim No.50)
Hadis riwayat Imran bin Husaini, beliau berkata: Nabi pernah bersabda: “Malu itu tidak datang ke
cuali dengan membawa kebaikan.” (Sahih Muslim No.53)

Dalam masyarakat kita, ada anak yang berani meninggikan suara dan bersifat kurang ajar terhadap ibu bapa mereka. Ia berlaku kerana kepincangan nilai serta hilangnya rasa malu dari dalam diri.
Begitu juga, pelajar mula tidak menghormati gurunya, lelaki melangkah ke tempat maksiat, perempuan yang tidak sopan di khalayak ramai, pasangan bercinta berjumpa dan bercanda serta ada di kalangan masyarakat mula dihinggapi perasaan ingin popular seperti artis.
Pemimpin pula menganggap jawatan dan amanah sebagai batu loncatan mengaut keuntungan dan melakukan kezaliman akibat hilangnya perasaan malu.
Pendek kata, apabila rasa malu mula sedikit demi sedikit hilang dari seseorang, maka terbukalah pintu kemaksiatan dan fitnah bakal bermaharajalela.
Sebab itu, sifat malu penting untuk dipelihara dan dijaga. Jangan terpengaruh dengan sistem pendidikan barat yang mengajar anak mereka supaya tidak malu.
“Just do it” antara kata-kata popular di kalangan remaja dan masyarakat. Walaupun ada kebaikannya kepada diri dan masyarakat namun ia perlu diperhalusi.
Namun dalam bab menuntut ilmu dan menyatakan yang hak kita seharusnya tidak boleh malu. Malah, wanita pada zaman Rasulullah tidak menghalang diri mereka dari bertanya dan mendalami ilmu pengetahuan.



Sifat itu wajar kita contohi malah pepatah Melayu ada mengatakan “Malu bertanya sesat jalan”. Ia menunjukkan, bagi mengeluarkan seseorang dari kejahilan dan kekaburan, jangan malu untuk bertanya dan menimba ilmu.


Rasa malu untuk melakukan kebaikan tidak patut ada di dalam diri manusia kerana Allah menyuruh hamba-Nya berlumba-lumba melakukan kebaikan.
Antara dimensi malu yang perlu diberi perhatian ialah:
  1. Rasa malu kerana meninggalkan kewajipan (hal yang berhukum fardu dan wajib meliputi iman dan semua kewajipan agama).
  2. Rasa malu untuk kerana meninggalkan sunnah (hal yang berhukum sunnah yang dianjurkan berdasarkan contoh dari Rasulullah).
  3. Rasa malu kerana meninggalkan kemuliaan (hal termasuk kategori sifat dan sikap mulia selain yang jelas berhukum wajib dan sunnah).
  4. Rasa malu kerana melakukan pelanggaran, kemaksiatan dan hal yang diharamkan dalam syariah Islam.
  5. Rasa malu kerana melakukan hal yang melanggar adab dan etika di tengah-tengah masyarakat 6-Rasa malu kerana melakukan hal berhukum syubhat dan makruh.


RECENT POSTS

Top Popular Posts