Peperangan Yarmouk adalah pertempuran yang berlaku antara tentera Islam 
dan tentera Rom Byzantine di Jordan. Ketika itu, 41’000 tentera Islam 
yang dipimpin oleh Khalid al Walid, berjaya menewaskan 70’000 battalion 
Rom yang terkenal dengan kelengkapan artileri.
Peperangan Yarmouk
Kekalahan tentera Rom di Yarmouk menjadikan peluang penguasaan umat 
Islam terhadap Baitul Maqdis terbuka luas. Rom ingin menamatkan 
penguasaan mereka di Timur Tengah dengan menyerahkan Kota al Quds. 
Bagaimanapun, Patriarch Sophronius seorang protagonis uskup yang 
mempertahan Jerusalem, enggan menyerahkan Baitul Maqdis kepada umat 
Islam dengan pertumpahan darah.
Sophronius memberikan syarat supaya Khalifah Islam iaitu Umar ibn al 
Khattab sendiri yang hadir menemui penduduk Iliya’ (Iliya’, nama 
Jerusalem ketika itu) dengan jaminan keselamatan.
Pada sangkaan Sophronius, umat Islam akan menolak syarat tersebut dan 
melakukan penjarahan terhadap Kota al Quds sebagaimana empayar-empayar 
yang pernah wujud sebelum Islam seperti Parsi dan Rom. Ternyata jangkaan
 mereka silap.
"Sesiapa dari kalangan penduduk Iliya' yang mahu pergi dengan hartanya bersama-sama orang Rom maka mereka selamat sehinggalah mereka sampai ke tempat perlindungan. Sesiapa dari kalangan penduduk bumi ini yang mahu kekal maka hendaklah dia membayar jizyah sebagaimana penduduk Iliya' dan sesiapa yang mahu berada di bawah Rom dan sesiapa yang mahu kembali kepada keluarganya tidak diambil daripada mereka sesuatu pun sehinggalah mereka menuai tanaman mereka. Sesungguhnya apa yang ada di atas tulisan ini adalah janji yang bertunjang kepada Allah, Rasul dan para Khulafa' dan orang-orang Mukmin jika mereka membayar jizyah yang diwajibkan ke atas mereka".
  
Abu Ubaidah bin Jarrah yang ketika itu sudah mengepung Jerusalem, dengan
 sikap toleransi memenuhi permintaan Sophronius dan rakyat Iliya’. 
Beliau menerima syarat tersebut dan menjemput Khalifah Umar al Khattab 
menuju ke Kota Jerusalem.
Sebelum Khalifah Umar berangkat menuju ke Jerusalem, Umar telah 
bermusyawarah bersama Para Sahabatnya tentang permintaan Sophronius. 
Uthman ibn Affan radhiAllahu anhu mencegah Khalifah Umar dari menuruti 
kehendak uskup tersebut, tetapi Saidina Ali memberikan cadangan lain 
yang kemudiannya diterima oleh Umar; Iaitu melakukan rapat umum bersama 
rakyat Iliya’ kerana Jerusalem juga merupakan salah satu bandar suci 
bagi kepercayaan umat Islam selain Yahudi dan Nasrani.
Di sinilah hikayat kisah agung pembukaan Kota al Quds yang dilakukan 
Khalifah Umar al Khattab. Khalifah Islam ke-2 yang pernah mendapat 
gelaran al Faruq ini, dipuji Baginda salallahualaihi wasalam sebagaimana
 sabdanya yang bermaksud, 
"Sesungguhnya Allah Taala menempatkan kebenaran pada ucapan Umar dan hatinya".
Khalifah Umar al Khattab tidak pergi ke Baitul Maqdis dengan ketumbukan 
tentera, bukan juga dengan pakaian yang mewah-mewah dan kehebatan 
kerajaannya. Tetapi beliau datang dengan hanya menaiki seekor unta, dan 
ditemani oleh seorang P.A (personal assistant) / khadamnya sahaja. 
Perjalanan Umar dan khadamnya dari Madinah ke Kota al Quds, hanya cukup 
berbekalkan air, roti dan kurma.
Menurut riwayat, Umar dan khadamnya bergilir-gilir menaiki unta. Jika 
Umar menaiki unta, maka khadamnya pula akan berjalan sambil memandu 
pedati unta tersebut. Manakala jika khadamnya yang naik unta, Umar pula 
yang akan berjalan memandu pedati untanya. Setiap kali giliran 
dilakukan, mereka akan membaca surah Yassin sehingga tamat. Itulah yang 
dilakukan oleh Umar dan khadamnya sehingga sampai ke Kota al Quds.
Sebelum sampai ke Kota al Quds, Umar telah melalui khemah 
tentera-tentera Islam yang dipimpin oleh Abu Ubaidah bin Jarrah di 
Jabiya. Abu Ubaidah bin Jarrah merupakan salah seorang Sahabat Nabi yang
 termasuk dalam senarai 10 orang yang dijanjikan syurga. Turut bersama 
Abu Ubaidah ketika itu ialah Khalid bin al Walid.
Apabila tentera-tentera Islam menyedari kedatangan Umar al Khattab, 
mereka menyambutnya dengan penuh penghormatan. Ketika itu Umar yang 
memimpin pedati unta yang dinaiki oleh khadamnya. Berkali-kali khadamnya
 meminta agar Umar berada di atas unta sebelum sampai ke perkhemahan 
tentera, tetapi hal itu ditolak oleh Umar kerana kerendahan hati dan 
ketinggian budinya.
Apabila Abu Ubaidah melihat kaki Khalifah Umar sudah berceloreng dengan 
debu-debu tanah dan luka kerana perjalanan yang jauh, Abu Ubaidah dengan
 niat yang baik memberi cadangan kepada Umar untuk mengapitnya sehingga 
ke pintu Kota al Quds.
“Wahai Amiral Mukminin, jika kamu memerintah agar kami memapah dan 
memandu perjalananmu nescaya kami akan lakukan. Mereka (penduduk al 
Quds) tentu melihat kemegahan kamu sebagai Khalifah”
Tiba-tiba Umar al Khattab merenung Abu Ubaidah, salah seorang panglima 
Islam yang menewaskan tentera-tentera Rom Byzantine itu dengan wajah 
yang sangat murka atas apa yang diucapnya. Lalu terbitlah kata-kata Umar
 yang mahsyur kepada Abu Ubaidah, 
" Demi Allah. Jika 
bukan engkau yang mengucapkannya wahai Abu Ubaidah nescaya aku 
menghukummu sebagai pengajaran buat umat ini! Sesungguhnya kita semua 
ini adalah hina lalu kita dimuliakan Allah dengan Islam, sekiranya kita 
mencari kemuliaan selain Islam sudah tentu kita akan dihina oleh Allah".
Saidina Umar menolak cadangan Abu Ubaidah dan tidak memanjangkan dialog 
bersamanya. Umar bersama khadamnya terus berlalu pergi meninggalkan 
perkhemahan tentera Islam di Jabiya.
Mereka masih bergilir-gilir menaiki unta sambil menghabiskan bacaan 
surah Yassin. Apabila Kota al Quds semakin dekat, khadamnya memesan agar
 Umar terus kekal menaiki unta, sementara dia yang akan memegang pedati 
unta yang dinaiki Umar. Tetapi Umar tegas melarang dan mengarahkan 
pembantunya agar terus mengikut tempoh gantian yang ditetapkan. 
Kebetulan, apabila jarak mereka berdua hampir tiba ke gerbang Kota al 
Quds, waktu itu giliran Umar memegang tali pedati unta tersebut.
Kerumunan tentera-tentera Rom dan rakyat al Quds beragama Nasrani 
memenuhi Jerusalem. Mata mereka tertumpu kepada seorang pemimpin yang 
tidak pernah mereka lihat sepanjang sejarah peradaban dunia. Lazimnya 
penguasa-penguasa Rom akan membawa bala tentera dan sejumlah kebanggaan 
di raja seperti emas, mahkota, permaisuri, gundik-gundik dan sebagainya.
 Tetapi Umar sebagai khalifah, pemimpin terunggul yang berjaya 
menundukkan keangkuhan Rom, datang dengan baju kasar yang kurang 
kualitinya, lusuh dan berdebu, manakala kedua-dua kakinya berlumpur.
Umar berhenti apabila menjejaki gerbang Dimashq, salah satu pintu masuk 
ke Jerusalem. Kemudian terus berjalan meninggalkan unta dan khadamnya di
 situ, dengan penuh kehambaan kepada Allah Taala wajahnya bersemarak 
sinar keizzahan Islam.
Pembesar-pembesar Kristian terpegun melihat ketibaan Umar radhiAllahu 
anhu. Mereka semua mengandaikan Umar akan tiba dengan satu rombongan 
yang besar, sehebat reputasi dan namanya. Mereka terpedaya dengan 
sangkaan-sangkaan buruk mengenai Umar, sebaliknya Khalifah Umar hanya 
ditemani oleh seorang khadam setibanya di Jerusalem. Lebih mengharukan, 
mereka melihat Khalifah Umar yang menarik tali pedati yang ditunggang 
khadamnya. Mereka merasakan perbezaan yang jelas antara peribadi 
Khalifah Umar dengan semua Raja Kaisar yang pernah menakluk Jerusalem 
sebelum ini.
Seluruh rakyat Iliya’ dan pembesar-pembesar di Jerusalem memberikan 
penghormatan kepada Umar sambil menundukkan kepala. Kemudian Umar 
berteriak keras.
"Alangkah malangnya kamu semua! Angkat kepala kalian 
sesungguhnya kamu tidak perlu menundukkan kepala (sujud) seperti ini 
kecuali kepada Allah".
Patriarch Sophronius bersama uskup-uskup lain memakai pakaian yang 
mewah-mewah bergemerlapan, sedangkan orang yang ingin diberikan 
penghormatan hanya memakai pakaian seperti rakyat biasa. Sophronius malu
 melihat penampilah Khalifah sungguh sederhana, dalam hatinya berkata, 
“Jika beginilah pemimpin Islam, sesungguhnya kerajaan kamu (Umar) tidak akan tewas”.
Saat Sophronius teruja dan menitiskan air mata melihat kesederhanaan 
Umar, dia termanggu apabila teringat tanda-tanda pemilik sebenar Kota al
 Quds sebagaimana yang disebut di dalam Injil. Sophronius mara bertemu 
Umar sambil di tangannya memegang kunci Kota al Quds. Kemudian 
Sophronius berkata kepada Umar.
“Sesungguhnya orang yang akan aku serahkan kunci kota al Quds, 
seterusnya menguasai Baitul Maqdis memiliki tiga tanda. Petanda-petanda 
tersebut jelas disebutkan di dalam kitab Injil kami.
“Pertama, orang itu akan berjalan manakala khadamnya menunggang 
kenderaan miliknya. Kedua, orang itu datang dalam keadaan kedua-dua 
kakinya diselaputi debu-debu tanah (lumpur). Ketiga, orang itu datang 
dalam keadaan bajunya penuh dengan tampalan.
Setelah Sophronius melihat tanda-tanda tersebut ada pada Khalifah Umar 
al Khattab, kemudian dia meminta izin kepada Umar untuk mengira 
berapakah tampalan yang ada pada baju yang dipakainya. Ada 17 jahitan 
yang menampal pada baju Umar, dengan perasaan penuh debaran dan ta’ajub 
Sophronius berkata,"Inilah tanda yang ketiga, ya Tuhan. Tidak 
diberikan kunci-kunci Kota al Quds ini kecuali kepada seorang pemimpin 
yang memiliki tiga tanda keagungan di mana tanda-tanda inilah yang 
paling unggul dalam lembaran sejarah dan tidak ternilai harganya 
(seperti yang disebut di dalam Injil), (1) Khadamnya yang menunggang 
kenderaan. (2) Calitan debu-debu tanah. dan (3) Tampalan pada baju".
Menurut Sophronius, tanda-tanda ini menunjukkan bahawa kerajaan yang 
diperintah oleh Umar adalah kerajaan yang akan relevan sepanjang zaman, 
tidak akan musnah ditelan peredaran. Kemudian dia menambah lagi,"Aku
 tidak sedih (memberikan kunci kepada Umar) kerana kalian masuk ke kota 
ini sebagai orang yang memiliki kriteria tersebut (dalam Injil kami 
sebagai pembuka Kota Jerusalem), (aku tidak gelisah) kamu menakluki 
perbendaharaan dunia ini sedang kami dalam kawalan kalian.  Kamu tentu 
menguasai kota ini selamanya dengan aqidah Islam, pentadbiran Islam dan 
juga akhlak Islam".
Khalifah Umar menerima penyerahan kunci kota suci itu secara rasmi dari 
Sophronius. Kemudian Umar mengikat jaminan keamanan penganut Kristian 
yang akan tetap tinggal di Jerusalem (penduduk Iliya’).
"Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha penyayang; inilah
 apa yang telah diberikan hamba Allah Umar, Amirul Mukminin keamanan 
kepada penduduk Iliya'. Dia (Allah) telah memberikan keamanan untuk diri
 mereka, harta benda mereka, gereja-gereja mereka dan rumah-rumah ibadah
 mereka samaada yang elok atau rosak dan kepada seluruh penganut bahawa 
tidak sekali-kali gereja-gereja mereka dihuni (rampas) dan tidak 
sekali-kali dimusnahkan dan sekali-kali dilakukan kekerasan terhadap 
mereka samaada pada tubuh badan atau harta benda. Dan mereka sekali-kali
 tidak dipaksa untuk meninggalkan agama mereka dan tidak sekali orang 
Yahudi menghuni bersama mereka di Iliya'".
"Menjadi kewajipan ke atas penduduk Iliya'
 untuk membayar jizyah sebagaimana ahli agama lain membayarnya. Menjadi 
kemestian ke atas mereka untuk mengeluarkan orang Rom dan perompak, maka
 sesiapa dari kalngan mereka yang keluar maka dia dan hartanya selamat 
sehinggalah dia sampai ke tempat perlindungannya. Dan sesiapa dari 
kalangan mereka mahu kekal maka dia selamat tetapi mestilah dia membayar
 jizyah sebagaimana yang dilakukan oleh penduduk Iliya'"."Sesiapa dari kalangan penduduk Iliya' yang mahu pergi dengan hartanya bersama-sama orang Rom maka mereka selamat sehinggalah mereka sampai ke tempat perlindungan. Sesiapa dari kalangan penduduk bumi ini yang mahu kekal maka hendaklah dia membayar jizyah sebagaimana penduduk Iliya' dan sesiapa yang mahu berada di bawah Rom dan sesiapa yang mahu kembali kepada keluarganya tidak diambil daripada mereka sesuatu pun sehinggalah mereka menuai tanaman mereka. Sesungguhnya apa yang ada di atas tulisan ini adalah janji yang bertunjang kepada Allah, Rasul dan para Khulafa' dan orang-orang Mukmin jika mereka membayar jizyah yang diwajibkan ke atas mereka".
Inilah sebahagian dari jaminan hak dan keselamatan umat Islam kepada 
rakyat Iliya’. Rakyat Iliya’ diwajibkan membayar jizyah, manakala yang 
telah memeluk Islam wajib membayar zakat. Kota al Quds kemudiannya 
menjadi tanggungjawab umat Islam dan rakyat Iliya’ untuk memeliharanya 
daripada ancaman dan pencerobohan musuh. Perjanjian antara penganut 
Kristian dan masyarakat Islam ini dinamakan sebagai ‘Wathiqah Umariyyah’ (The Umariyyah Covenant).
Setelah selesai upacara menandatangani perjanjian perdamaian, Khalifah 
Umar berangkat menuju ke Baitul Maqdis, salah satu tempat yang menjadi 
wasiat Baginda salallahualaihi wasalam kepada umat Islam agar 
menziarahinya. Sehinggalah tiba waktu solat, Sophronius mempelawa 
Saidina Umar melaksanakannya di Holy Sepulchure / Gereja al Qiamah
 (tempat maqam suci Jesus yang didakwa oleh penganut Kristian). Tetapi 
ajakan itu ditolak kerana Umar khuatir perbuatan tersebut akan menjadi 
hujjah generasi Islam selepasnya untuk mengubah gereja menjadi masjid.
Saidina Umar kemudian meninjau sekitar kawasan Gereja al Qiamah dan 
berjalan sepanjang 500 meter menuju ke selatan, lalu beliau melakukan 
solat di tempat perhentiannya. Kawasan tersebut kini dikenali dengan 
nama Masjid Umar dan pernah dibakar oleh Yahudi dalam pada 21 Ogos 1969.
Genap 10 hari Saidina Umar bersama tentera-tentera Islam yang 
kemudiannya masuk ke Kota al Quds dengan aman. Kejayaan tersebut 
diraikan dengan menunaikan qiyam dan doa kesyukuran kepada Allah Taala. 
Sewaktu berdoa, Umar tiba-tiba menangis. Lalu salah seorang bertanya 
kepada 
Umar,”Wahai Umar adakah kamu menangis kerana kemenangan ini?”
“Iya, aku menangisi kemenangan ini. Aku teringat Baginda salallahualaihi wasalam pernah bersabda…
”
Maksudnya : "Demi Allah, bukanlah kemiskinan yang aku khuatirkan
 terhadap diri kalian. Tetapi yang aku khuatirkan adalah kesenangan 
dunia yang dibentangkan pada diri kalian semua sebagaimana yang 
diperolehi oleh orang-orang sebelum kalian. Lalu kamu semua saling 
pintas-memintas untuk mendapatkannya sebagaimana mereka, sehinggalah 
harta tersebut membinasakan kalian seperti mereka dibinasakan (kerana 
kelalaian terhadap dunia)".
Setelah itu, Umar kembali bersama khadamnya menuju Madinah. Datang dan 
perginya Khalifah Umar, hanya berperawakan seperti musafir biasa dan 
rakyat jelata.

 
 
 
 
 
 
 
