Daripada Abu Hurairah r.a bahawa seorang lelaki telah berkata kepada nabi SAW yang maksudnya: Berwasiatlah kepadaku. Sabda Rasulullah SAW: Jangan kamu marah. Maka lelaki itu mengulangi kata-katanya berulang kali. Sabda Rasulullah SAW: Jangan kamu marah..
Hasan al-Basri pernah berkata: Empat perkara jika sesiapa memilikinya
maka Allah memeliharanya daripada syaitan dan mengharamkan ke atasnya
api neraka: (iaitu) Sesiapa yang mampu mengawal dirinya ketika dalam
keghairahan, ketakutan, syahwat dan kemarahan. Sesungguhnya kemarahan
akan mengumpulkan segala keburukan. Reaksi seorang yang sedang marah
dapat dilihat pada wajah dan anggota badannya seperti warna mukanya
bertukar merah, urat-urat lehernya menegang, tubuh badan seakan-akan
menggigil kerana geram, suara menjadi nyaring manakala lidah mula
mengeluarkan perkataan yang buruk sama ada mengutuk atau mengeji.
Ada kemungkinan patah-patah perkataan itu berupa penghinaan atau yang
seumpama dengannya yang haram diucapkan termasuklah menuduh orang lain
sebagai kafir dan lai-lain. Selain itu, seseorang itu juga akan
melakukan perbuatan yang di luar kawalannya sendiri seperti memukul,
menumbuk, menampar dan sebagainya. Semua ini berkemungkinan akan
mendorong kepada perbuatan yang menyakitkan orang lain yang akhirnya
mewujudkan permusuhan dan kebencian di antara satu sama lain. Justeru
walaupun sifat marah adalah sifat semula jadi manusia namun sebagai
seorang Muslim kita hendaklah berusaha untuk menjauhkan diri daripada
segala sebab yang menyebabkan kemarahan.