19 April 2013

Dajjal Laknatullah - Siri 4 - Bentuk dan Rupa

Rupa Bentuk Dajjal

       Di akhir zaman, akan berlakunya peperangan yang besar, yang berlaku pada zaman pemerintahan Imam Mahdi. Pertempuran ketika itu antara Beliau dan as Sufyani. Setelah itu, muncullah Dajjal Laknatullah.

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : ( بَيْنَا أَنَا نَائِمٌ أَطُوفَ بِالْبَيْتِ ... ) فَذَكَرَ أَنَّهُ رَأَى عِيْسَى بنَ مَرْيَمَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ ، ثُمَّ رَأَى الدَّجَّالَ فَوَصَفَهُ فَقَالَ : ( فَإِذَا رَجُلٌ جَسِيْمٌ أَحْمَرٌّ جُعْدُ الرَّأْسِ أَعْوَرُ العَيْنِ ، كَأَنَّ عَيْنَهُ عِنَبَةٌ طَافِئَةٌ )

Daripada Ibnu Umar RA, bahawasanya Nabi SAW bersabda : “Ketika aku tertidur, aku bermimpi sedang tawaf di Kaabah …” Kemudian Baginda SAW mengatakan bahawa Baginda SAW bermimpi melihat Nabi Isa AS, kemudian bermimpi pula melihat Dajal Laknatullah, lalu Baginda SAW menyifatkannya : “Dia (Dajal) adalah seorang lelaki yang bertubuh besar, kemerah-merahan, rambut yang kerinting, cacat matanya, seolah-olah matanya seperti anggur yang timbul” (Shahih Bukhari : 6595)

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَكَرَ الدَّجَّالَ بَيْنَ ظَهْرَانَيْ النَّاسِ فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى لَيْسَ بِأَعْوَرَ أَلاَ وَإِنَّ الْمَسِيحَ الدَّجَّالَ أَعْوَرُ الْعَيْنِ الْيُمْنَى كَأَنَّ عَيْنَهُ عِنَبَةٌ طَافِئَةٌ

Daripada Ibnu Umar RA, bahawa Nabi SAW menyebut tentang Dajal Laknatullah di khalayak ramai : “Sesungguhnya Allah SWT tidak cacat matanya, tetapi Dajal Laknatullah cacat mata kanannya seolah-olah biji matanya seperti anggur yang timbul (terapung)” (Shahih Bukhari : 5218)

عَنْ النُّوَّاسِ بنِ سَمْعَانٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي وَصْفِ الدَّجَّالِ : إِنَّهُ شَابٌّ قَطَطٌ عَيْنُهُ طَافِئَةٌ كَأَنِّي أُشَبِّهُهُ بِعَبْدِ الْعُزَّى بْنِ قَطَنٍ

Daripada Nuwwas bin Sam’an RA, Nabi SAW bersabda ketika menyifatkan rupa bentuk Dajal Laknatullah : “Dia adalah seorang pemuda yang kerinting rambutnya (yang pendek), biji matanya timbul, seperti aku mengumpamakan seperti Abdul Izzi bin Qatni ” (Shahih Muslim : 5228)

عَنْ عُبَادَةَ بنِ صَامِتٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ، قَالَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ مَسِيحَ الدَّجَّالِ رَجُلٌ قَصِيرٌ أَفْحَجُ جَعْدٌ أَعْوَرُ مَطْمُوسُ الْعَيْنِ لَيْسَ بِنَاتِئَةٍ وَلاَ جَحْرَاءَ فَإِنْ أُلْبِسَ عَلَيْكُمْ فَاعْلَمُوا أَنَّ رَبَّكُمْ لَيْسَ بِأَعْوَرَ

Daripada Ubadah bin Shamit RA, Nabi SAW bersabda : “Sesungguhnya Dajal Laknatullah adalah seorang lelaki yang (kelihatan) pendek yang menjengkelkan, berambut kerinting, cacat yang tertutup matanya, tidak terkeluar (biji matanya) dan tidak pula berada di dalam soketnya (soket mata). Sekiranya dia (Dajal) berada di zaman kamu, ketahuilah bahawa Tuhan kamu (Allah SWT) tidaklah cacat matanya” (Sunan Abi Daud : 4322)


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ، قَالَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : وَأَمَّا مَسِيحُ الضَّلاَلَةِ فَإِنَّهُ أَعْوَرُ الْعَيْنِ أَجْلَى الْجَبْهَةِ عَرِيضُ النَّحْرِ فِيهِ دَفَأ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda : “…. Manakala al Masih (Dajal) yang sesat, sesungguhnya dia mengalami kecacatan mata, luas dahinya, besar lehernya dan terdapat bonjol (bongkok) (Musnad Imam Ahmad : 8124)

عَنْ حُذَيْفَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ، قَالَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : الدَّجَّالُ أَعْوَرُ الْعَيْنِ الْيُسْرَى جُفَالُ الشَّعَرِ

Daripada Huzaifah RA, Nabi SAW bersabda : “Dajal Laknatullah cacat mata kirinya, lebat rambutnya” (Shahih Muslim : 5222)

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ، قَالَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : وَإِنَّ بَيْنَ عَيْنَيْهِ مَكْتُوبٌ كَافِرٌ

Daripada Anas RA, Nabi SAW bersabda : “… Dan sesungguhnya di antara kedua matanya tertulis perkataan kafir” (Shahih Bukhari : 6598)

Rumusan beberapa hadis di atas dan beberapa hadis lain dan tafsiran ulama’, Dajal Laknatullah boleh disifatkan dengan sifat-sifat berikut :

1. Seorang Manusia Berbangsa Yahudi dan Mandul

Dajal Laknatullah adalah seorang manusia yang berketurunan Nabi Adam AS, bukanlah jin sepertimana yang dikatakan oleh beberapa pandangan. Dajal Laknatullah juga berbangsa Yahudi dan mandul, tidak boleh melahirkan anak.

2. Seorang Yang Pendek dan Gemuk

Dajjal adalah seorang yang pendek dan bertubuh besar (gemuk). Tubuh badannya agak pelik berbanding manusia yang lain.

3. Berkepala dan Berleher Besar
Kepalanya juga bersaiz besar tidak seperti saiz kepala manusia biasa. Dia juga memiliki leher yang besar, iaitu sehingga menutup bentuk dagunya. Seolah-olah kepalanya bersambung terus ke tubuhnya, kerana lehernya terlalu gemuk. Tidak kelihatan bentuk dagu, bawah kepalanya dan kawasan di atas dada.

4. Berwarna Putih Kemerah-merahan

Kulit tubuhnya berwarna putih, kelabu atau kemerah-merahan seperti warna pipinya. Warna coklatnya tidak terlalu kelihatan dan warna pada tubuhnya agak berbeza dengan warna kulit manusia biasa.

5. Rambutnya Lebat dan Kerinting

Rambut Dajal Laknatullah lebat dan kerinting, tetapi pendek. Kerinting tersebut agak berlainan dengan kekerintingan manusia biasa dan ia kelihatan agak kasar. (tidak lembut)

6. Botak Di Bahagian Atas Kepala

Di bahagian atas kepalanya adalah botak, iaitu kawasan satu perdua di bahagian atas. Seolah-olah mengalami keguguran rambut. Manakala sepertimana yang diceritakan sebelum ini, bahagian satu perdua di sebelah bawah agak lebat dan kerinting.

7. Sebelah Matanya Buta, dan Sebelah Lagi Cacat

Mata kanannya buta, bahkan bentuk matanya yang buta agak mencacatkan. Ia seolah-olah anggur yang timbul, mungkin biji matanya yang buta tersembul keluar atau sebagainya. Manakala mata kirinya yang dapat melihat berwarna kehijauan dan menjegil. Sangat buruk rupa bentuk matanya.

8. Tertulis “kafir” Di Antara Kedua Matanya

Selain itu, di antara kedua-dua belah matanya tertulis “kafir” dan tulisan tersebut tidak boleh dihilangkan. Tulisan tersebut juga dapat dilihat dengan jelas oleh mereka yang beriman dan turut difahami oleh mereka yang buta huruf. Ia tertulis dalam tulisan Arab iaitu Huruf Kaf, Fa dan Ra, yang bermaksud “kafir”.

9. Jarak Di Antara Kedua Betisnya Lebar

Jarak di antara dua betisnya agak lebar dan ada yang mengatakan kedua-dua kangkangnya agak lebar, jauh di antara satu sama lain. Seolah-olah kedua-dua kakinya sentiasa mengangkang dan tidak dirapatkan. Mungkin dengan sebab inilah, cara berjalannya kurang stabil.

10. Menunggang Seekor Keldai Yang Gagah dan Pantas

Dajal Laknatullah juga menunggang seekor keldai yang luar biasa. Di sana terdapat juga yang mengatakan bahawa ia adalah Kapal Terbang, atau Jet. Namun, apa yang disifatkan oleh Nabi SAW adalah sebuah kenderaan yang sangat ajaib yang boleh bergerak dalam kelajuan yang pantas ke seluruh dunia. Perkara ini telah dijelaskan di dalam bab kenderaan Dajjal.

11. Bersamanya Beberapa Ekor Syaitan Yang Bercakap Dalam Pelbagai Bahasa

Syaitan yang bersama-sama dengan Dajal Laknatullah berfungsi sebagai pengalih bahasa, atau membantu kefahaman bagi mereka yang mendengarnya. Setiap bangsa yang terdapat di dunia ini mampu memahami bahasa yang dituturkannya kerana kewujudan syaitan-syaitan ini. Walaupun bahasa isyarat sekalipun bagi mereka yang tidak mendengar.

12. Terdapat Dua Orang Malaikat Yang Memberi Peringatan Sebelum Ketibaannya

Sebelum ketibaan Dajal Laknatullah di sesebuah tempat, terdapat dua orang malaikat yang akan memberi peringatan kepada penduduk kawasan tersebut tentang kehadiran Dajal Laknatullah. Mereka adalah pemberi peringatan kepada penduduk kawasan tersebut supaya tidak terpedaya dengan tipu daya Dajal Laknatullah.

13. Mempunyai Ramai Pengikut Di Kalangan Yahudi Dan Pelbagai Kaum Lain

Kebanyakan pengikutnya adalah Yahudi, iaitu sekitar 70,000 orang, dan selebihnya adalah pelbagai kaum. Mereka memakai pakaian yang disangkut pada bahu, menutup tubuh dan tidak berjahit. Mereka juga dibekalkan dengan senjata dan kelengkapan-kelengkapan lain.

Kesimpulan

Demikianlah beberapa ciri-ciri Dajjal yang ditemui di dalam hadis-hadis Nabi SAW. Hakikatnya inilah rupa makhluk yang dapat dikenali. Ia jelas kelihatan apabila tertulis perkataan KAFIR di dahinya. Sekiranya dia mengaku sebagai tuhan, kenapakah dia tidak dapat menghilangkan tulisan KAFIR tersebut?

Selain itu, sepertimana hadis Nabi SAW, sekiranya terdapat seseorang mengaku sebagai tuhan, maka ketahuilah bahawa tuhan itu tidak dapat dilihat ketika kita masih hidup. Orang beriman akan diberi peluang melihat Allah SWT di dalam syurga.


عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ أَنَّهُ قَالَ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : فَاعْلَمُوا أَنَّ رَبَّكُمْ تَبَارَكَ وَتَعَالَى لَيْسَ بِأَعْوَرَ وَأَنَّكُمْ لَنْ تَرَوْنَ رَبَّكُمْ تَبَارَكَ وَتَعَالَى حَتَّى تَمُوتُوا قَالَ يَزِيدُ تَرَوْا رَبَّكُمْ حَتَّى تَمُوتُوا

Daripada Ubadah bin Samit, Rasulullah SAW bersabda : Ketahuilah bahawa Tuhan kamu bukanlah buta, dan kamu tidak akan melihat tuhan kamu sehinggalah kamu mati (Musnad Imam Ahmad : 21701)

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar | http://ibnuirfadzil.blogspot.com




RECENT POSTS

Top Popular Posts