10 May 2013


         Niat dalam solat merupakan rukun qalbi tetapi turut termasuk dalam rukun fi'li. Niat solat mempunyai tiga bahagian yang disyaratkan dalam solat fardhu tetapi hanya dua sahaja bagi solat sunat manakala untuk solat sunat mutlak (tiada sebab dan bila-bila masa), hanya satu daripadanya disyaratkan.
Bahagian niat mempunyai tiga iaitu:
  1. Qasad ( قصد ) - Menyengajakan solat
  2. Ta'ridh ( تعرض ) - Menyengajakan fardhu
  3. Ta'yiin ( تعيين ) - Menyengajakan waktu
Untuk melihat bahagian-bahagian yang diaplikasikan dalam niat solat, berikut adalah contoh:

Sahaja aku solat fardhu Zuhor empat rakaat kerana Allah Ta'ala

  • Sahaja aku solat - Qasad
  • Fardhu  - Ta'ridh
  • Zuhur  - Ta'yiin
Apakah hukum niat?

Niat adalah wajib. Tidak sah solat tanpa niat. Kewajipan niat adalah berdasarkan sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam; “Sesungguhnya segala amalan bergantung kepada niat. Sesungguhnya bagi setiap diri apa yang diniatkannya”. (Riwayat Imam Muslim dari Saidina ‘Umar–radhiyallahu ‘anhu-)

Bagaimana cara berniat bagi solat fardhu?

Apabila kita hendak mengerjakan solat fardhu, hadirkan di dalam hati kita;
  1. Kehendak untuk mengerjakan solat
  2. Meniatkan bahawa solat yang hendak dikerjakan itu adalah solat fadhu
  3. Menentukan mana solat satu fardhu yang hendak dilakukan; subuh atau zohor atau sebagainya.
  4. Jika kita berjamaah, niatkan di dalam hati mengikuti orang lain.
Niat yang diwajibkan ialah di dalam hati. Adapun melafazkan dengan lidah, ia hanya sunat sahaja mengikut mazhab Syafi’ie. Ada ulamak berpandangan; bid’ah melafazkannya dengan lidah kerana tidak pernah dilakukan oleh Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- atau para sahabat.

Bagaimana cara berniat bagi solat sunat?

Solat sunat ada dua jenis;
  1. Solat sunat yang tidak berwaktu atau bersebab (iaitu solat sunat mutlak)
  2. Solat sunat berwaktu dan bersebab; contohnya; solat sunat Dhuha, solat sunat Qabliyah atau Ba’diyah, solat sunat Kusuf (gerhana), solat sunat hari raya dan sebagainya.
Bagi jenis pertama, memadai dengan kita berniat di dalam hati kehendak untuk mengerjakan solat.

Adapun bagi jenis kedua (yakni solat sunat berwaktu dan bersebab), niatnya hendaklah merangkumi;
  1. Kehendak hati untuk mengerjakan solat
  2. Meniatkan jenis solat solat yang hendak dikerjakan.
Contohnya; jika kita ingin mengerjakan solat Dhuha, maka niatkan di dalam hati keinginan kita untuk mengerjakan solat dan bahawa solat yang hendak dikerjakan itu ialah dhuha.

Bilakah masanya kita perlu menghadirkan niat?

Niat hendaklah dihadirkan semasa mengucapkan takbir. Tidak harus niat dihadirkan sebelum takbir atau selepas habis takbir. Ini adalah pandangan mazhab Syafi’ie. Ada di kalangan ulamak berpendapat; harus didahulukan niat dari takbir asalkan jarak masa antara niat dan takbir itu tidak lama, iaitu sebaik sahaja berniat, hendaklah terus melafazkan takbir tanpa menunggu lagi. Pandangan kedua ini merupakan mazhab Imam Ahmad dan juga Abu Hanifah. (Al-Mughni, 1/332).

Lafaz-lafaz niat sembahyang fardhu adalah seperti berikut :

1) Niat solat subuh
أُصَلِّى فَرْضَ الْصُبْحِ رَكْعَتَيْنِ أَدَاءً مَأْمُوْمًا / إِمَامًا ِللهِ تَعَالىَ
“Sahaja aku sembahyang fardhu subuh dua rakaat sebagai (makmum/imam ) kerana Allah Taala.”

2) Niat Solat Zuhur
أُصَلِّى فَرْضَ الْظُهْرِ أَرْبَعَ رَكْعَاتٍ أَدَاءً مَأْمُوْمًا / إِمَامًا ِللهِ تَعَالىَ
“Sahaja aku sembahyang fardhu zuhur empat rakaat sebagai (makmum/imam) kerana Allah Taala.”

3) Niat Solat Asar
أُصَلِّى فَرْضَ الْعَصْرِ أَرْبَعَ رَكْعَاتٍ أَدَاءً مَأْمُوْمًا / إِمَامًا ِللهِ تَعَالىَ
“Sahaja aku sembahyang fardhu asar empar rakaat sebagai (makmum/imam) kerana Allah Taala.”

4) Niat solat Maghrib
أُصَلِّى فَرْضَ الْمَغْرِبِ ثَلاَثَ رَكْعَاتٍ أَدَاءً مَأْمُوْمًا / إِمَامًا ِللهِ تَعَالىَ
“Sahaja aku sembahyang fardhu maghrib tiga rakaat sebagai (makmum/imam) kerana Allah taala.”

5) Niat Solat Isya`
أُصَلِّى فَرْضَ الْعِشَاءِ أَرْبَعَ رَكْعَاتٍ أَدَاءً مَأْمُوْمًا / إِمَامًا ِللهِ تَعَالىَ
“Sahaja aku sembahyang fardhu isya` empat rakaat sebagai (makmum/imam) kerana Allah taala”.

WaAllahu'alam. Insha'Allah akan bersambung dalam tajuk lain pula..

 



RECENT POSTS

Top Popular Posts