Oleh: Ustaz Ahmad Adnan Fadzil (Ahli Penal Syariah HPA)
Soalan:         
Assalammualaikum, tersebar dalam internet mengenai tanda-tanda sebelum ajal menjelang bagi umat Islam seperti 100 hari sebelum mati badan akan mengalami getaran sesudah asar, 40 hari sebelum meninggal akan berdenyut pusat, juga berlaku sesudah asar. soalannya, sejauh manakah kesahihan tanda-tanda ini sedang tidak diketemui sebarang nas atau dalil dari Al-Quran atau Sunnah. Sedang ada yang mengatakan ia pandangan segelintir ulama. Dan apakah hukum jika ia dijadi iktiqad? dan apakah hukum jika menolaknya? Sekian.
Jawapan:
Sesuatu yang tidak 
sabit dengan nas dari al-Quran atau as-Sunnah, tidak harus dijadikan 
iqtiqad. Termasuklah juga perkara-perkara ghaib. Urusan aqidah dan 
kepercayaan adalah urusan agama. Oleh itu, tiada siapapun harus mendakwa
 sesuatu itu sebagai keyakinan agama atau amalan agama melainkan ia 
wajib mendatangkan dalil yang soheh dari al-Quran atau as-Sunnah. 
Sabda Nabi -sallallahu alaihi wasallam-; 
 Sesiapa mereka-reka dalam urusan kami ini (yakni urusan agama) apa-apa yang bukan darinya, maka ia adalah tertolak.
Adapun suatu dakwaan 
yang dibuat atas dasar pengalaman, kajian, penelitian dan sebagainya 
-bukan atas dasar agama-, itu terserah kepada setiap individu sama ada 
untuk menerima atau menolaknya berpandukan penilaian akal masing-masing.
Kesimpulannya, orang 
yang mendakwa tanda-tanda kematian itu adalah dari agama, wajiblah ia 
mendatangkan dalil dari al-Quran atau as-Sunnah. Jika ia mendakwa ianya 
dari pengalaman atau penelitian, terserahlah kepada masing-masing untuk 
mempercayainya atau tidak.
Apa yang jelas terdapat nas tentagnya ialah tanda-tanda kematian yang baik (husnul-khatimah) iaitu;
Tanda-tanda kematian yang baik (husnul-khatimah)
1. Mati dengan mengucap kalimah syahadah
Sabda Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-;
 مَنْ كَان آخِرَ كَلامِه لا إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ دَخَلَ الجَنَّةَ
Sesiapa yang ucapan terakhirnya (sebelum mati) ialah Lailahaillallah, maka ia akan masuk syurga. (Riwayat Imam al-Hakim dari Mu’az bin Jabar –radhiyallahu ‘anhu-. Kata al-Hakim; Hadis ini sanadnya soheh.)
2. Berpeluh di dahi
Sabda Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-;
اَلْمُؤْمِنُ يَمُوْتُ بِعَرَقِ الْجَبِيْنِ
Seorang mukmin mati dengan berpeluh dahinya.
 (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, an-Nasai dan al-Hakim dari Buraidah 
–radhiyallahu ‘anhu. Kata Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan. Menurut 
al-Hakim; hadis ini adalah soheh. Tashih al-Hakim itu dipersetujui Imam 
az-Zahabi. (Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 9145)
Maksud hadis di atas 
ialah; jika kelihatan pada dahi si mati renik-renik peluh, maka itu 
tanda bahawa ia mati dalam iman. Sebab terjadinya renik-renik peluh itu 
menurut sebahagian ulamak ialah kerana malunya kepada Allah yang memberi
 rahmat kepadanya sedangkan masih ada dosanya kepada Allah. 
Sebahagian ulamak pula
 berkata; orang mukmin tidak terlepas dari merasai kepayahan ketika 
mati, namun kepayahan yang dihadapinya ringan sahaja iaitu hanya sekadar
 kepayahan yang menerbitkan peluh yang berpercikan pada dahi. 
(Faidhul-Qadier, hadis no. 9145)
Dalam satu hadis yang lain, Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda;
لَقِّنُوْا مَوْتَاكُمْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ 
اللهُ فَإِنَّ نَفْسَ الْمُؤْمِنِ تَخْرُجُ رَشْحًا وَنَفْسُ الْكَافِرِ 
تَخْرُجُ مِنْ شِدْقِهِ كَمَا تَخْرُجُ نَفْسُ الْحِمَارِ
Ajarilah orang yang hampir mati di antara kamu Lailahaillallah. Sesungguhnya ruh orang beriman akan keluar dengan bercucuran peluhnya. Adapun ruh orang kafir akan keluar dari rahangnya sebagaimana keluarnya ruh kaldai. (Riwayat Imam at-Thabrani dari Abdullah bin Mas’ud –radhiyallahu ‘anhu-. Kata Imam al-Haithami; sanad hadis ini adalah hasan. (Lihat; al-Asas Fi as-Sunnah, Sa’id Hawa, jil. 3, hlm. 1164, hadis no. 1112)).
3. Mati ketika sedang melakukan amal soleh 
Sabda Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-;
مَنْ قَالَ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ 
اِبْتِغَاْءَ وَجْهِ اللهِ خُتِمَ لَهُ بِهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ 
صَامَ يَوْمًا اِبْتِغَاْءَ وَجْهِ اللهِ خُتِمَ لَهُ بِهَا دَخَلَ 
الْجَنَّةَ وَمَنْ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ اِبْتِغَاْءَ وَجْهِ اللهِ خُتِمَ 
لَهُ بِهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ 
Sesiapa mengucapkan Lailahaillallah semata-mata kerana mengharapkan 
keredhaan Allah, lalu ia mati dengan kalimah itu, maka ia akan masuk 
syurga. Sesiapa berpuasa pada satu hari kerana mengharapkan keredhaan 
Allah, lalu ia mati ketika sedang berpuasa itu, maka ia akan masuk 
syurga. Sesiapa bersedekah dengan satu sedekah kerana mencari redha 
Allah, lalu ia mati sesudah bersedekah itu, maka ia akan masuk syurga.
 (Riwayat Imam Ahmad dari Huzaifah –radhiyallahu ‘anhu-. Berkata Imam 
al-Haithami di dalam Majma’ az-Zawaid; “Para perawi hadis ini adalah 
tsiqah”. Menurut Syeikh al-Albani; hadis ini adalah soheh. (Lihat; Ahkam
 al-Janaiz))
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1.Rahsia Kematian, Alam Barzakh & Roh, Ustaz Ahmad Adnan bin Fadzil.

