Apa yang dimaksudkan dengan solat yang sempurna?
Iaitu solat yang dilakukan dengan memenuhi segala rukun-rukun dan
sunat-sunatnya dalam keadaan tenang, khusyuk dan penuh penumpuan.
ciri-ciri solat yang sempurna ialah;
- Orang yang melakukannya meyakini bahawa solat yang dilakukannya adalah sebagaimana solat Nabi SAW.
- Setiap pergerakan di dalamnya dilakukan dengan toma’ninah (tenang, tertib, sopan dan tidak tergesa-gesa).
- Lidah menyebut dengan elok dan fasih bacaan-bacaan di dalam solat terutamanya ayat-ayat al-Quran.
- Bacaan-bacaan di dalam solat difahami maknanya sama ada bacaan itu berupa ayat-ayat al-Quran, zikir atau doa kerana memahami makna membawa kepada penghayatan terhadap apa yang dibaca itu.
- Hati dalam keadaan khusyuk dan memberi penumpuan kepada solat iaitu tidak lalai atau alpa.
Hukumnya adalah wajib kerana Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda (dalam bentuk perintah);
“Kerjakanlah solat sama sebagaimana kamu melihat aku mengerjakan solat”. (Riwayat Imam al-Bukhari dari Malik bin al-Huwairith –radhiyallahu ‘anhu-)
Untuk mengetahui kaifiyat solat Nabi, caranya ialah melalui
riwayat-riwayat yang soheh dari para sahabat yang menceritakan bagaimana
Nabi mengerjakan solat bermula dari niat dan takbiratul-ihram hinggalah
kepada memberi salam.
Apa persediaan yang perlu dilakukan sebelum menunaikan solat?
- Bersih dari hadas dan najis.
- Memakai pakaian menutup aurat
- Memastikan telah masuk waktu jika solat yang hendak dikerjakan itu solat fardhu atau solat sunat yang berwaktu seperti dhuha atau sebagainya.
- Memastikan arah qiblat.
- Persediaan batiniyah; iaitu melapangkan hati dan akal fikiran dari segala urusan dunia dan memberi tumpuan kepada solat sahaja.
Apa akibatnya jika solat tidak dilakukan dengan sempurna?
Menyebabkan solat tidak sah jika yang tidak disempurnakan itu adalah
perkara rukun dan hilang pahala jika yang tidak disempurnakan itu
perkara sunat. Di dalam sebuah hadis, Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-
menceritakan;
“Suatu hari Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- berada di dalam masjid. Masuk seorang lelaki, lalu mengerjakan solat. Kemudian ia datang kepada baginda dan memberi salam. Setelah menjawab salamnya, baginda berkata kepadanya; ‘Ulangi semula solat kamu. Sesungguhnya kamu belum mengerjakan solat’…” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa solat yang dilakukan tanpa
memenuhi rukun-rukunnya sama seperti tidak melakukannya, kerana itu
disuruh oleh Nabi supaya mengulanginya semula.
Oleh: Ustaz Ahmad Adnan Fadzil | http://fiqh-am.blogspot.com