Hassan al Banna (14 Oktober 1906 - 12 Februari,
1949, merupakan seorang mujadid dalam dunia islam, reformis sosial dan
politik Mesir yang terkenal sebagai pengasas gerakan Jamiat al-Ikhwan
al-Muslimun.
Hassan al Banna dilahirkan pada 14
Oktober 1906 di desa al-Mahmudiyyah di daerah al-Bahriyyah,
Iskandariah, Mesir (barat laut Kaherah). Beliau berasal dari sebuah
perkampungan petani yang terkenal kuat mentaati ajaran dan nilai-nilai
Islam, serta keluarga ulama yang dihormati.
Bapanya, Syeikh Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna, merupakan seorang ulama, imam, guru dan seorang pengarang terkenal, lulusan Universiti Al-Azhar, yang menulis dan menyumbang menulis kitab-kitab hadis dan fiqh perundangan Islam dan juga memiliki kedai membaiki jam dan menjual gramophone. Syeikh Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna turut mengkaji, menyelidik dan mengajar ilmu-ilmu agama seperti tafsir al-Qur'an dan hadis kepada penduduk tempatan, dan dia banyak dipengaruhi oleh fikrah serta cita-cita perjuangan Syeikh Muhammad Abduh dan Sayyid Jamaluddin al-Afghani.
Sungguhpun Syeikh Ahmad al-Banna dan isterinya memiliki sedikit harta, mereka bukannya orang yang kaya dan bertungkus lumus untuk mencari nafkah, terutama selepas berpindah ke Kaherah pada 1924; sebagaimana yang lain, mereka mendapati bahawa pendidikan Islam dan kealiman seseorang tidak lagi dihargai di ibu negara itu, dan hasilkerja tangan mereka tidak mampu menyaingi industri besar-besaran.
Ketika Hassan al-Banna berusia
dua belas tahun, beliau menjadi pemimpin badan Latihan Akhlak dan Jemaah
al-Suluka al-Akhlaqi yang dikelolakan oleh gurunya di sekolah. Pada
peringkat ini beliau telah menghadiri majlis-majlis zikir yang diadakan
oleh sebuah pertubuhan sufi, al-Ikhwan al-Hasafiyyah, dan menjadi ahli
penuh pada tahun 1922. Melalui pertubuhan ini beliau berkenalan dengan
Ahmad al-Sakri yang kemudian memainkan peranan penting dalam penubuhan
Ikhwan Muslimin.
Ketika berusia tiga belas tahun, Hassan al Banna menyertai tunjuk perasaan semasa revolusi 1919 menentang pemerintahan British.
Pada tahun
1923, pada usia 16 tahun dia memasuki Dar al 'Ulum,(Universiti Kaherah)
sekolah latihan guru di Kaherah. Kehidupan di ibu negara menawarkannya
aktiviti yang lebih luas berbanding di kampung dan peluang bagi bertemu
dengan pelajar Islam dan ulama terkemuka (kebanyakannya dengan bantuan
kenalan ayahnya), tetapi dia amat terganggu dengan kesan Kebaratan yang
dilihatnya disana, terutamanya peningkatan arus sekular seperti
parti-parti politik, kumpulan-kumpulan sasterawan dan
pertubuhan-pertubuhan sosial sekular terdorong ke arah melemahkan
pengaruh Islam dan meruntuhkan nilai akhlak muslim.
Dia
turut kecewa dengan apa yang dilihatnya sebagai kegagalan sarjana Islam
di Universiti al-Azhar untuk menyuarakan bangkangan mereka dengan
peningkatan liberalism, atheism dan pengaruh pendakwah Kristian yang
dibawa oleh penjajah british laknatullahialaih.
Beliau
kemudian menganggotai pertubuhan Jama'atul Makram al-Akhlaq
al-Islamiyyah yang giat mengadakan ceramah-ceramah Islam. Melalui
pertubuhan ini, Hasan al-Banna dan rakan-rakannya menjalankan dakwah ke
serata pelosok tempat, di kedai-kedai kopi dan tempat-tempat perhimpunan
orang ramai.
Pada peringkat inilah beliau bertemu dan mengadakan hubungan dengan tokoh-tokoh Islam terkenal seperti Muhibbuddin al-Khatib, Muhammad Rashid Reda, Farid Wajdi dan lain-lain.
Di tahun akhirnya di Dar al-'Ulum,
dia menulis bahawa dia bercadang menzuhudkan dirinya menjadi mursyid
"penasihat dan guru" bagi golongan dewasa dan kanak-kanak, agar dapat
mengajar mereka "matlamat agama dan sumber kegembiraan dan keriangan
dalam kehidupan". Dia mendapat ijazah pada tahun 1927 dan diberikan
jawatan sebagai guru bahasa Arab di sekolah rendah kebangsaan di
Isma'iliyya, terletak di Zon Terusan Suez.
Al-Imam Hassan al-Banna kemudaiannya menubuhkan gerakan Ikhwan Muslimin di bandar Ismailiyyah pada Mac 1928. Ketika itu beliau berusia 23 tahun.
Di
Ismailiyya, sebagai tambahan kepada kelas siangnya, dia melaksanakan
matlamatnya memberi kelas malam bagi keluarga anak muridnya. Dia juga
berceramah di masjid, malah dikedai kopi, yang masa itu masih baru dan
dipertikaikan nilai moralnya. Pada awalnya, sesetengah pandangannya
berkenaan perlaksanaan Islam yang mudah mendorong kepada tentangan hebat
dengan elit keagamaan tempatan, dan dia mengamalkan polisi mengelakkan
kontrovesi (khilafiyah).
Dia sedih dengan
tanda-tanda jelas pengawalan ketenteraan dan ekonomi di Isma'iliyya: kem
ketenteraan British, kemudahan awam dimiliki oleh kepentingan luar, dan
tempat tinggal mewah milik pekerja Syarikat Terusan Suez, bersebelahan
dengan rumah haram pekerja Mesir.
Setelah
berkhidmat 19 tahun dalam bidang perguruan, beliau meletakkan jawatan
pada tahun 1946 untuk menyusun kegiatan dakwah dengan berkesan dalam
masyarakat di bandar itu. Pengalaman ahli jemaah yang dikumpulkan sekian
lama menjadikan Ikhwan Muslimin sebuah gerakan yang berpengaruh.
Ternyata Hassan al-Banna adalah pemimpin yang bijak mengatur organisasi. Ikhwan Muslimin disusun dalam tiga peringkat iaitu, memperkenalkan Ikhwan (wadah memperjuangkan islam) dan menyebarkan dakwah asas melalui ceramah serta kegiatan kebajikan. Kemudian membentuk keperibadian anggota agar bersedia menjalani jihad seterusnya melaksanakan cita-cita perjuangan Islam dengan tegas. Ikhwan Muslimin berjaya menjadi sebuah gerakan yang menggegarkan Mesir terutama selepas perang dunia kedua apabila gerakan itu turut bertanding di dalam perebutan kuasa politik. Ikhwan Muslimin juga melahir pejuang di palestine bersama dengan Briged Izzudin Al-Qassam.
Pengaruh Ikhwan yang kian kuat amat
dikhuatiri oleh kerajaan Mesir yang diketuai oleh al-Nukrasi Bassa dari
parti al-Sa'di yang bertindak mengharamkan Ikhwan Muslimin pada 1948
atas tuduhan merancang satu pemberontakan untuk menjatuhkan kerajaan.
Sungguhpun begitu Hassan al-Banna tidak ditahan dan beliau cuba sedaya
upaya menyelamatkan Ikhwan. Malangnya usaha beliau belum berhasil
sehinggalah ditembak pada waktu Zohor 12 Februari 1949, ketika keluar
dari bangunan Ikhwan Muslimin. Beliau menghembuskan nafas terakhir di
hospital dan pembunuhan beliau didakwa dirancang oleh polis rahsia
kerajaan berikutan diikuti kematian perdana menteri yang dibunuh oleh
seorang pelajar yang kecewa dengan pembubaran Ikhwan Muslimin.
Jenazah
al-Imam Hassan Al-Banna telah dikebumikan dengan kawalan kereta-kereta
kebal dan perisai. Orang ramai tidak dibenarkan menghadiri upacara
pengebumiannya, yang hadir hanya keluarganya sendiri.
Selepas kematian As-Syahid Hasan Al-Banna, perjuangan
dan fikrahnya tidak terhapus, ia terus hidup. Suatu ketika ia menjadi
gerakan bawah tanah. Pada 1980,Ikhwan Muslimin kembali di terima oleh
orang Mesir dan kerajaan mesir serta telah juga menjadi sebuah parti
politik. Fikrahnya juga telah tersebar keseluruh dunia islam, juga
mempengaruhi dan disambung lagi oleh gerakan islam di malaysia.
‘Al-Ma’thurat’ Susunan Wirid,Zikir dan Surah-Surah Al-Quran Oleh Imam Hassan Al-Banna. Untuk dijadikan amalan.