13 March 2013


     Apabila kita membicarakan tentang dhab, semestinya difikiran kita akan terfikir akan seekor biawak yang saiznya lebih besar daripada biawak biasa, tetapi hidup di padang pasir dan bersifat herbivor, bahkan dikatakan bahawa usia seekor dhab boleh mencecah beratus-ratus tahun


Dhab merupakan haiwan yang amat sukar untuk mati walaupun telah disembelih dan mempunyai potensi yang besar dalam pasaran perubatan tradisional terutamanya dijadikan sebagai minyak dan juga dijadikan sebagai makanan.

Dhab Penyaksi Kenabian Baginda s.a.w

Wahai saudaraku yang dimuliakan, selain daripada perubatan dan pemakanan yang terkait dhab, terdapat seperkara lagi yang lebih penting dan lebih mulia untuk dibicarakan tentang dhab iaitu spesies haiwan tersebut pernah menjadi saksi kenabian Baginda s.a.w.. Baginda s.a.w. telah dikurniakan pelbagai kelebihan dan kemuliaan oleh Allah s.w.t. yang menunjukkan bahawa Baginda s.a.w. mempunyai kedudukan yang tinggi berbanding makhluq yang lain. Bahkan tingginya kemuliaan Baginda s.a.w. itu terserlah ketika peristiwa Mi’raj Baginda s.a.w. menghadap Tuhannya Pemilik Sekalian Alam di Sidrat al-Muntaha, yang mana tidak pernah dijejaki oleh makhluq-makhluq yang lain daripada malaikat, atau nabi-nabi sebelum Baginda s.a.w.. Ketahuilah bahawa kesemua kemuliaan Baginda s.a.w. itu menunjukkan bahawa kedalaman cinta Allah s.w.t. kepada hambaNya yang kita agungi iaitu, Muhammad s.a.w.

Sesungguhnya para pencinta Baginda s.a.w. tidak pernah jemu untuk menceritakan dan mengajarkan kepada umat Baginda s.a.w. hal yang berkaitan dengan kemuliaan Baginda s.a.w., untuk mendalamkan cinta umat Baginda s.a.w. kepada Baginda s.a.w., dan untuk menanam dalam hati mereka perasaan mengagungkan Baginda s.a.w..

Antara kisah berkaitan dengan kemuliaan Baginda s.a.w. yang dikurniakan Allah s.w.t. kepada Baginda s.a.w., ialah berimannya makhluq selain manusia kepada Baginda s.a.w. seperti pokok, batu, haiwan, bahkan jin juga beriman kepada Baginda s.a.w.. Begitu jugalah terdapat satu kisah dimana seekor dhab(biawak padang pasir) yang turut menjadi saksi kepada kenabian Baginda s.a.w. yang menjadi sebab keimanan orang yang memusuhi Baginda s.a.w.

Didalam kitab asy-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Mustofa karangan al-Imam al-Allamah al-Qadhi ‘Iyadh, menyebutkan satu kisah yang diriwayatkan oleh sayidina ‘Umar al-Khattab;

أن رسول الله (ص) كان في محفل من أصحابه إذ جاء أعرابي قد صاد ضباً فقال : من هذا قالوا : نبى الله ، فقال : واللات والعزى لا آمنت بك أو يؤمن بك هذا الضب وطرحه بين يدى النبي (ص(، فقال النبي (ص) له : ياضب ، فأجابه بلسان مبين يسمعه القوم جميعاً لبيك وسعديك يا زين من وافى القيامة ، قال : من تعبد ؟ ، قال : الذى في السماء عرشه وفى الأرض سلطانه وفى البحر سبيله وفى الجنة رحمته وفى النار عقابه : قال : فمن أنا ؟ ، قال رسول رب العالمين وخاتم النبيين وقد أفلح من صدقك وخاب من كذبك ، فأسلم الأعرابي

Maksudnya: “Sesungguhnya RasulAllah s.a.w. sedang berjalan bersama-sama para sahabat Baginda s.a.w., kemudian datang seorang A’rabiy (orang badwi) yang memburu dhab. Maka orang badwi tadi itu pun bertanya kepada kumpulan tersebut, “Siapakah lelaki ini?”. Mereka pun menjawab, “Nabi Allah”. Lalu orang badwi tadi itupun berkata, “Demi Tuhan Latta dan ‘Uzza! Tidak akan aku beriman kepadamu(Baginda s.a.w.), melainkan dhab ini beriman kepadamu”. Kemudian dia membaling dhab tersebut ke tangan Baginda s.a.w.. Maka Baginda s.a.w. pun bersabda, “Wahai dhab!”. Dhab tersebut pun menyahut seruan Baginda s.a.w. dengan perkataan yang jelas yang didengari oleh kesemua orang disitu, “Aku menyahut seruanmu dan membantumu wahai perhiasan yang menghubungkan hari Qiamat”. Baginda s.a.w. pun bersabda, “Siapakah yang engkau sembah?”. Jawab dhab tersebut, “Iaitu yang mana di langit ‘arasyNya, di bumi kekuasaanNya, di lautan jalanNya, di Syurga rahmatNya, dan di Neraka seksaanNya”. Kemudian Baginda s.a.w. bersabda, “Dan siapakah aku?”. Dhab itu menjawab, “Utusan Tuhan sekalian ‘alam, dan menutup bagi sekalian Nabi. Sesungguhnya berbahagialah orang yang membenarkan (risalah)mu, dan rugilah orang yang menolak(risalah)mu”. Maka ‘Arab badwi tadi pun memeluk Agama Islam”.[1]

Begitu juga di dalam kitab Dalail an-Nubuwwah karangan al-Imam al-Baihaqi yang meriwayatkan kisah keimanan dhob terhadap Baginda s.a.w. sebagaimana yang diriwayatkan oleh sayidina ‘Abdullah ibn ‘Umar radhiyAllahu ‘anhuma, daripada ayahnya, sayidina ‘Umar al-Khattab;


أن رسول الله كان في محفل من أصحابه إذ جاء أعرابي من بني سليم قد صاد ضبا وجعله في كمه ليذهب به إلى رحله فيشويه ويأكله فلما رأى الجماعة قال ما هذا قالوا هذا الذي يذكر أنه نبي فجاء حتى شق الناس فقال واللات والعزى ما اشتملت النساء على ذي لهجة أبغض إلي منك ولا أمقت ولولا أن يسميني قومي عجولا لعجلت عليك فقتلتك فسررت بقتلك الأسود والأحمر والأبيض وغيرهم فقال عمر بن الخطاب يا رسول الله دعني فأقوم فأقتله قال يا عمر أما علمت أن الحليم كاد أن يكون نبيا ثم أقبل على الأعرابي فقال ما حملك على أن قلت ما قلت وقلت غير الحق ولم تكرمني في مجلسي قال وتكلمني أيضا استخفافا برسول الله واللات والعزى لا آمنت بك أو يؤمن بك هذا الضب وأخرج الضب من كمه وطرحه بين يدي رسول الله فقال رسول الله يا ضب فأجابه الضب بلسان عربي مبين يسمعه القوم جميعا لبيك وسعديك يا زين من وافي القيامة قال من تعبد يا ضب قال الذي في السماء عرشه وفي الأرض سلطانه وفي البحر سبيله وفي الجنة رحمته وفي النار عقابه قال فمن أنا يا ضب قال رسول رب العالمين وخاتم النبين وقد أفلح من صدقك وقد خاب من كذبك قال الأعرابي لا أتبع أثرا بعد عين والله لقد جئتك وما على ظهر الأرض أبغض إلي منك وإنك اليوم أحب إلي من والدي ومن عيني ومني وإني لأحبك بداخلي وخارجي وسري وعلانيتي أشهد أن لا إله إلا الله وأنك رسول الله

Maksudnya: “Sesungguhnya RasulAllah s.a.w. sedang berjalan bersama para sahabatnya, kemudian datang seorang A’rabiy(Arab badwi) daripada Nabi Sulaim yang bersamanya seekor dhab disisipan lengan bajunya yang telah diburunya dan bercadang untuk dibakar dan dimakan. Apabila dia terlihat terdapatnya satu jamaah, dia pun bertanya, “Apakah ini?”. Orang disekitarnya pun menjawab,  “Itulah dia yang memberitahu bahawa dia adalah Nabi”. Maka orang ‘Arab badwi tadi pun meluru ke arah Rasulullah s.a.w. sambil menolak-nolak manusia disekelilingnya lalu berkata, “Demi tuhan Laata dan ‘Uzza! tidak ada orang yang dilahirkan oleh wanita lebih aku benci dan murkai daripadamu. Sekiranya bukan kerana memanggilku dengan tergesa-gesa, nescaya aku telah datang dan membunuhmu. Maka aku akan membahagiakan orang berkulit hitam, merah, putih dan lain-lainnya”. Mendengar ucapan ‘Arab badwi yang mencela Baginda s.a.w. itu telah menjadikan sayidina ‘Umar ibn al-Khattab marah lalu berkata, “Wahai RasulAllah! Biarkan sahaja aku untuk bangun dan membunuhnya”. Baginda s.a.w. pun bersabda, “Wahai ‘Umar! Apakah engkau mengetahui bahawa berlemah-lembut itu adalah hampir sahaja menjadikan seseorang itu Nabi?”. Baginda s.a.w. pun menerima kedatangan ‘Arab badwi yang tidak beradab itu lalu bertanya, “Apakah yang membuatkan kamu berkata bahawa apa yang telah aku katakan adalah bukanlah yang haq? Kamu juga tidak memuliakan aku di dalam majlisku”. ‘Arab badwi itu pun berkata dengan angkuh tanpa menghiraukan ucapan Baginda s.a.w., “Kamu harus bercakap kepadaku juga!”. “Demi tuhan Laata dan ‘Uzza! Tidak akan aku beriman kepadamu melainkan setelah dhab ini beriman kepadamu”. Maka dia pun mengeluarkan dhab tersebut dari sisipan lengannya dan melontarkan dhab tersebut ke hadapan Rasulillah s.a.w.. Baginda s.a.w. pun bersabda, “Wahai dhab!”. Dhab tersebut pun menjawab seruan Baginda s.a.w. dengan bahasa ‘Arab yang jelas yang didengari oleh kesemua kaum disitu, “Aku menyahut seruanmu dan membantumu wahai perhiasan yang menghubungkan hari kiamat”. Baginda s.a.w. pun bertanya, “Kepada siapakah kamu sembah?”. Jawab dhab tersebut, “Aku menyembah Dia yang mana di langit ‘ArasyNya, di bumi kekuasaanNya, di lautan jalanNya, di Syurga rahmatNya, dan di Neraka seksaanNya”. Baginda s.a.w. pun bertanya lagi, “Dan siapakah aku?”. Jawab dhab tersebut, “Engkau adalah pesuruh Tuhan sekalian ‘alam, dan penyudah bagi sekalian Nabi, dan sesungguhnya berbahagialah orang yang membenarkanmu dan rugilah sesiapa yang menolakmu”. Mendengar jawapan dhab tersebut, orang ‘Arab badwi tersebut pun berkata, “Sesungguhnya aku tidak akan mengikut lagi anutanku sebelum ini bermula sekarang. Demi Allah! Sesunguhnya aku telah datang kepadamu tadi dengan perasaan yang penuh kemarahan, dan sekarang kamulah orang yang paling aku cintai lebih daripada ibu bapaku, dan daripada harta-bendaku dan diriku. Bahkan aku mencintaimu dari dalam dan luar jiwaku, dan dari hatiku hinggalah zahirku”.

Setelah itu, beliaupun melafazkan keIslamannya di hadapan Baginda s.a.w., “Tiada tuhan(yang wajib disembah) melainkan Allah, dan sesungguhnya engkau adalah pesuruh Allah”[2].[3]

Lihatlah betapa tingginya kemuliaan Baginda s.a.w., sehinggakan haiwan yang tidak ber’aqal bahkan tidak mampu bersuara, dimuliakan Allah s.w.t. dengan kebolehan haiwan tersebut berkata-kata dan mengakui keRasulan Baginda s.a.w.. Amatlah rugi bagi sesiapa yang mendustai ketinggian darjat Baginda s.a.w. mengatasi segala makhluq, amatlah rugi bagi sesiapa yang terhijab daripada memandang kesempurnaan Baginda s.a.w..


Antara Sebab Baginda s.a.w. Tidak Memakan Dhab
Sebagaimana yang kita ketahui, bahawa Baginda s.a.w. tidak memakan dhab walaupun pernah dihidangkan kepada Baginda s.a.w., tetapi tidak melarang para sahabat untuk memakannya. Sayidina Ibn ‘Abbas radhiyAllahu ‘anhuma pernah menceritakan kepada Abu Umaamah ibn Sahl ibn Hunaif al-Ansoriy radhiyAllahu ‘anhu bahawasanya;

أَنَّ خَالِدَ بْنَ الْوَلِيدِ الَّذِي يُقَالُ لَهُ : سَيْفُ اللَّهِ أَخْبَرَهُ ، أَنَّهُ " دَخَلَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى مَيْمُونَةَ وَهِيَ خَالَتُهُ وَخَالَةُ ابْنِ عَبَّاسٍ ، فَوَجَدَ عِنْدَهَا ضَبًّا مَحْنُوذًا قَدْ قَدِمَتْ بِهِ أُخْتُهَا حُفَيْدَةُ بِنْتُ الْحَارِثِ مِنْ نَجْدٍ ، فَقَدَّمَتِ الضَّبَّ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَكَانَ قَلَّمَا يُقَدِّمُ يَدَهُ لِطَعَامٍ حَتَّى يُحَدَّثَ بِهِ وَيُسَمَّى لَهُ فَأَهْوَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدَهُ إِلَى الضَّبِّ ، فَقَالَتِ امْرَأَةٌ مِنَ النِّسْوَةِ الْحُضُورِ : أَخْبِرْنَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا قَدَّمْتُنَّ لَهُ ، هُوَ الضَّبُّ يَا رَسُولَ اللَّهِ ، فَرَفَعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدَهُ عَنِ الضَّبِّ ، فَقَالَ خَالِدُ بْنُ الْوَلِيدِ : أَحَرَامٌ الضَّبُّ يَا رَسُولَ اللَّهِ ؟ قَالَ : لَا ، وَلَكِنْ لَمْ يَكُنْ بِأَرْضِ قَوْمِي ، فَأَجِدُنِي أَعَافُهُ ، قَالَ خَالِدٌ : فَاجْتَرَرْتُهُ فَأَكَلْتُهُ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَنْظُرُ إِلَيَّ

Maksudnya: “Sesungguhnya Khalid ibn al-Walid yang memberitahu kepadanya(sayidina Ibn ‘Abbas), bahawa SaifUllah pernah memberitahu kepadanya(sayidina Khalid ibn Walid), dia pernah bersama Rasulillah s.a.w. untuk bertemu Maimunah, iaitu ibu saudara Baginda s.a.w. dan juga ibu saudara Ibn ‘Abbas. Maka dia dapati bersamanya seekor dhob yang dipanggang dan dibantu oleh kakaknya Hufaidah binti al-Haarith daripada Najd. Dia pun menghidangkan dhab tersebut kepada Rasulillah s.a.w., dan adalah Baginda s.a.w. seorang yang amat jarang menghulurkan tangannya untuk mengambil makanan sehinggalah Baginda s.a.w. dipersilakan bahawa makanan itu untuk Baginda s.a.w.. Apabila Baginda s.a.w. menghulurkan tangannya ke arah dhab tersebut, lalu berkata seorang wanita yang turut hadir, “Beritahulah kepada Baginda s.a.w. apa yang kalian hidangkan kepada RasulUllah s.a.w.”. Mereka pun memberitahu Baginda s.a.w., “Itu adalah dhab wahai RasulAllah!”. Baginda s.a.w. mengalihkan kembali tangan Baginda s.a.w. daripada dhab. Maka berkata Khalid ibn al-Walid, “Adakah dhab itu haram wahai RasulAllah?”. Baginda s.a.w. menjawab, “Tidak, akan tetapi ia tidak berada di kawasan kaumku. Maka aku tidak memakannya”. Sayidina Khalid berkata, “Maka aku pun mengambilnya lalu memakannya, dan RasulUllah s.a.w. memerhatikan ke arahku(yang sedang makan)”.[4]

Di dalam hadith yang lain pula diriwayatkan, bahawa sayidina ‘Abdullah ibn ‘Umar pernah mendengar Baginda s.a.w. bersabda;

الضَّبُّ لَسْتُ آكُلُهُ وَلَا أُحَرِّمُهُ

Maksudnya, “Dhab, aku tidak memakannya tetapi aku tidak mengharamkannya(untuk dimakan)”.[5]

Baginda s.a.w. merupakan seorang insan yang amat lembut hatinya kepada sesama manusia bahkan kepada selain manusia. Rahmatnya Baginda s.a.w. tidak terbatas, dan itulah tujuan Allah s.w.t. mengutuskan Baginda s.a.w. iaitu sebagai rahmat kepada sekalian ‘alam.

Sheikhna Sidi Yusuf al-Bakhour al-Hasani hafizahUllah Ta’ala wanafa’ana biasrarihi, telah memberitahu kepada para hadirin di dalam satu majlis Maulid ar-Rasul asy-Syarif berkenaan ketinggian adab Baginda s.a.w. terhadap haiwan termasuklah kepada dhab yang mana spesies haiwan tersebut pernah menjadi saksi kenabian Baginda s.a.w.;
“Kalian ingin mempelajari adab? Lihatlah kalian kepada Rasulillah! Lihatlah kalian kepada adab Baginda s.a.w. terhadap makluq yang ber’aqal dan juga kepada yang tidak ber’aqal seperti dhab, dan haiwan yang lain. Nescaya kalian akan dapati ketinggian adab Baginda s.a.w. yang tidak pernah terfikir oleh kita kerana kita tidak mempunyai hati yang selembut dan sesentitif Baginda s.a.w.. Pernahkah kalian mengetahui kenapa Baginda s.a.w. tidak memakan dhab? Sebabnya hanyalah kerana Baginda s.a.w. tidak sanggup memakan spesies haiwan yang mana telah berkata-kata dengan Baginda s.a.w., bahkan menjadi saksi kepada keNabian Baginda s.a.w. sehingga menyebabkan orang yang ber’aqal beriman kepada Baginda s.a.w.”. 


Sesungguhnya dhab yang tidak ber’aqal boleh beriman kepada Baginda s.a.w., bahkan mengetahui ketinggian dan kemuliaan Baginda s.a.w.. Apakah kita yang ber’aqal ini, tidak dapat memahami kemuliaan Baginda s.a.w. yang tidak mampu kita bayangkan di sisi Kekasihnya yang Agung, sebagaimana fahamnya dhab yang telah menyaksikan kenabian Baginda s.a.w.?

Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kepada kita semua hati yang suci yang benar-benar memahami ketinggian dan kemuliaan Baginda s.a.w., dan tergolong di kalangan orang yang mendapat serpihan cinta Baginda s.a.w.. 

waAllahua’lam bis sowab~
sumber: http://simusafirilahi.blogspot.com




RECENT POSTS

Top Popular Posts