Ibn al-Baitar atau nama penuhnya Abu Muhammad Abdallah Ibn Ahmad Ibn
al-Baitar Dhiya al-Din al-Malaqi adalah salah seorang saintis terulung
Muslim Sepanyol. Beliau dilahirkan di sebuah kota dikenali Malaqa atau
Malaga di Sepanyol pada akhir kurun ke-12. Beliau merupakan seorang ahli
botani dan farmasi yang terkenal pada kurun pertengahan.
Beliau belajar ilmu botani daripada Abu al-Abbas al-Nabati. Perkara
pertama yang dilakukannya ialah mengumpul tumbuh-tumbuhan dari seluruh
Sepanyol. Pada tahun 1219, beliau meninggalkan Sepanyol untuk
menjalankan kerja-kerja mengumpul tumbuh-tumbuhan menerusi pengembaraan
di bahagian utara susur pantai benua Afrika. Pengembaraan itu menjangkau
sehingga ke benua Asia Kecil. Cara beliau mengembara sama ada di darat
atau laut tidak diketahui sehingga hari ini. Bagaimanapun antara
tempat-tempat yang beliau singgah dan lawati ialah Bugia, Qastantunia
(Constantinople), Tunis, Tripoli, Barqa and Adalia.
Selepas tahun 1224, beliau menyertai perkhidmatan al-Kamil kerajaan
Gabenor Mesir dan dilantik sebagai ketua pakar herba. Pada tahun 1227,
al-Kamil telah meluaskan kuasanya sehingga ke Damsyek manakala Ibn
al-Baitar mengiringinya ke sana yang mana ia turut menyumbang kepadanya
untuk mengumpul tumbuh-tumbuhan di Syria. Penyelidikannya mengenai
tumbuh-tumbuhan ketika itu turut diperluaskan ke beberapa kawasan lain
termasuk Arab Saudi dan Palestin.
Di kedua-dua negara itu, beliau berpeluang melawat stesen penyelidikan
dan mengumpul tumbuh-tumbuhan yang terdapat di situ. Beliau meninggal
dunia di Damsyek pada tahun 1248. Sumbangan utama Ibn Baitar ialah Kitab
al-Jami fi al-Adwiya al- Mufrada yang merupakan salah sebuah kompilasi
botani yang terhebat mengenai tumbuh-tumbuhan perubatan di Arab Saudi.
Statusnya sebagai pakar botani terus unggul di kalangan ahli botani lain sehingga kurun ke-16. Ini ada kaitan dengan kerja-kerjanya yang penuh sistematik terutama pada awal penglibatannya dalam dunia botani. Kritikan yang diterimanya ketika itu tidak mematahkan semangat beliau, sebaliknya menyuntik semangat kepadanya untuk menyumbang dalam bidang botani. Ensiklopedianya itu mengandungi kira-kira 1,400 pelbagai perkara yang sebahagian besarnya mengenai tumbuhan perubatan dan sayur-sayuran. Lebih mengagumkan, ensiklopedia itu mendedahkan kira-kira 200 jenis tumbuh-tumbuhan yang sebelum itu tidak dikenali.
Buku itu ditulis hasil rujukannya daripada 150 penulis lain yang
kebanyakannya dari Arab Saudi dan ia turut memetik kenyataan 20 ahli
sains terawal Greek. Ensiklopedia itu telah diterjemahkan ke dalam
bahasa Latin dan diterbitkan pada tahun 1758. Hasil karyanya yang kedua
ialah Kitab al-Mlughni fi al-Adwiya al-Mufrada iaitu sebuah ensiklopedia
perubatan.
Beberapa jenis dadah telah disenaraikan mengikut kesesuaiannya dengan
nilai-nilai terapeutik atau ilmu perubatan mengenai cara merawat atau
mengubati penyakit. Selain itu, terdapat 20 bab berlainan mengenai
tumbuh-tumbuhan yang mempunyai signifikan dengan penyakit berpunca dari
kepala, telinga, mata dan lain-lain. Beliau turut memetik kenyataan
daripada pakar bedah Muslim terkenal, Abul Qasim Zahrawi untuk dimuatkan
ke dalam bab berkaitan pembedahan.
Selain menggunakan bahasa Arab untuk menamakan tumbuh-tumbuhan yang
ditemuinya, Ibn Baitar turut menggunakan bahasa Greek dan Latin untuk
tujuan itu. Sumbangan Ibn Baitar dalam bidang ini lebih kepada karakter
hasil pemerhatian, analisis dan klasifikasinya terhadap tumbuh-tumbuhan.
Ia turut dilihat memiliki pengaruh dari Barat dan Timur dalam ilmu
botani dan perubatan. Sejak kitab Jami diterjemahkan ke dalam
bahasa-bahasa berkenaan, ramai ahli sains lain mula mengkaji isi
kandungannya dan seterusnya menjadikannya sebagai bahan rujukan. Ibnu
Baitar meninggal dunia di Damsyek pada tahun 1248.
Sumber: irfanirsyad.wordpress.com