Pernahkah saudara mendengar tentang kisah Ta'labah? Salah seorang 
daripada para sahabat Nabi S.A.W. Seorang pemuda yang punya misi dan 
visi yang sangat agung.Seorang remaja yang begitu hebat di zaman Rasulullah S.A.W. Namanya 
Tha'labah bin Abdul Rahman, seorang remaja berusia 17 tahun. Setelah 
memeluk Islam, beliau selalu mengikut Rasulullah S.A.W mengajar. Jika 
Rasulullah berhajatkan sesuatu, Rasulullah S.A.W akan khabarkan kepada 
Ta'labah.
Suatu hari Rasulullah menyuruh Tha'labah mencari sesuatu. Ketika 
dalam perjalanan mencari barang yang Rasulullah hajati itu, Tha'labah 
telah melalui sebuah rumah yang pintunya terbuka. Angin yang bertiup 
membuatkan pintu tandas rumah tersebut juga terbuka, dan ketika itu 
Tha'labah terlihat akan seorang perempuan yang sedang mandi.
"A'uzubillah! Ya Allah aku takut nanti malaikat Jibril memberitahu 
kepada Rasulullah S.a.w! Ya Allah, aku takut turunnya ayat quran yang 
menyenaraikan aku dalam golongan orang yang berbuat dosa! Ya Allah..."
Rintihan Tha'labah
Dia merintih sehingga dia lupa akan barang yang dipesan oleh 
Rasulullah S.A.W. Dia melarikan diri dan terjumpa satu bukit di pinggir 
Madinah yang dipuncaknya ada sebuah gua. Tha'labah masuk ke dalam gua 
tersebut dan asyik menangis. Tha'labah menangis dan menangis, beliau 
kesal amat dengan dosanya.
Pada masa yang sama, Rasulullah S.A.W menanti kepulangan Tha'labah 
beberapa hari namun Tha'labah tidak kunjung tiba. Lalu Rasulullah S.A.W 
mengarahkan Saidina Umar R.a untuk mencari Tha'labah dan beliau terjumpa 
Tha'labah di tempat dia bersembunyi di puncak bukit.
Umar berkata "Tha'labah, Rasulullah mahu berjumpa kamu."
"Kenapa? Sudah turunkah ayat al-Quran tentang dosaku, sudah 
beritahukah Jibril kepada Rasulullah, aku tidak mahu masuk neraka, aku 
tidak mahu masuk neraka." Kata Tha'labah dalam ketakutan yang amat 
sangat.
Oleh sebab Tha'labah sudah tersangat lemah, Saidina Umar RA 
memimpinnya pulang ke rumah. Apabila Rasulullah SAW menziarah Tha'labah,
 Tha'labah sedang terlentang lalu Rasulullah SAW meriba kepala 
Tha'labah.
Tetapi Ta'labah mengetepikan kepalanya. Rasulullah bertanya, "kenapa wahai Tha'labah?"
"Wahai Rasulullah, kepala yang penuh dosa ini tidak layak untuk berada di ribamu," kata Tha'labah.
"Apa yang kamu mahu Tha'labah?"
"Ya Rasulullah, aku mahukan keampunan Allah"
Cita-citanya Hanya Syurga
"Apa cita-cita kamu wahai Ta'labah?"
"Cita-cita aku hanya syurga Allah. Tolonglah doakan moga Allah mengampunkan dosa-dosaku."
Lalu Rasulullah s.a.w berkata, "wahai Tha'labah aku menjamin kepadamu
 apa yang kamu mahu dan cita-citamu. Inilah bukti taubatmu."
Tidak lama selepas itu, Tha'labah menghembuskan nafasnya yang terakhir di riba Rasulullah SAW.
Ketika mayat Tha'labah siap dikafan dan tiba masa untuk dikebumikan, 
Rasulullah SAW datang agak lewat ketika itu. Para sahabat membuka jalan 
kepada Rasulullah untuk rapat ke kubur Tha'labah. 
Tetapi Rasulullah 
berjalan merapati kubur Tha'labah dalam keadaan berjalan yang perlahan, 
dan seperti tersekat-sekat.
Sahabat-sahabat bertanya, "wahai Rasulullah, kami telah membuka jalan, mengapa Rasulullah berjalan dengan tidak selesa?"
Rasulullah menjawab, "kamu tidak dapat melihat betapa ramainya malaikat yang hadir menghantar Tha'labah ke kubur." 
Itulah kisah hidup seorang remaja hebat bernama Tha'labah. Betapa 
takutnya beliau dengan azab Allah SWT walaupun beliau tidak sengaja 
terpandang perempuan yang sedang mandi itu. Begitu malu bertemu 
Rasulullah, begitu mengharap keampunan Allah SWT, dan akhirnya menhembus
 nafas yang terakhir di ribaan insan mulia bernama Muhammad bin 
Abdullah, dan jasadnya diiringi malaikat ke kuburan. Subhanallah!
Lihat diri kita. Apakah kita menyesal dan bertaubat setelah berbuat 
dosa yang sengaja? Apakah kita sedar, dan menyesal serta bertaubat 
setelah berbuat dosa yang tidak sengaja?
Tepuk dada, tanya iman. Moga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kita.


