Pada akhir tahun 1979 Masjidil Haram yang di dalamnya mempunyai Kaabah 
yang menjadi kiblat kepada jutaan umat Islam sejak berkurun lama telah 
diserang dan ditawan oleh lebih kurang 500 orang penyerang yang diketuai
 oleh Juhaiman ibn Muhammad ibn Saif al Utaibi seorang pengikut fanatik 
ajaran dan fahaman Wahhabi.
Menurut sumber, beliau telah mengiktiraf abang iparnya Abdullah Hamid 
Mohammed Al-Qahtan sebagai Imam Mahdi dan beliau  mempunyai kepercayaan 
bahawa semua ketua-ketua kerajaan di dunia Islam pada masa itu adalah 
korup dan menjadi proksi kepada kuasa barat terutamanya Amerika Syarikat
 dan beliau mahu keluarga Di Raja As- Saud yang memerintah Arab Saudi 
digulingkan. Dengan perancangan teliti dan rapi beliau dan pengikutnya 
telah menyerang Masjidil Haram pada 20 November 1979 dan menjadikan 
ribuan jemaah yang sedang melakukan ibadah di dalamnya telah dijadikan 
sebagai tebusan. Inilah pertumpahan darah yang pertama di dalam sejarah 
moden kota Mekah.
Tarikh 20 November 1979 dipilih Juhaiman kerana ianya bersamaan pada 
hari pertama tahun 1400 Hijrah. Ini kerana terdapat ramalan bahawa Imam 
Mahdi akan muncul dan ditabalkan pada hari tersebut. Beberapa hari 
sebelum serangan , mereka telah menyembunyikan senjata , peluru dan 
bekalan makanan yang secukupnya di dalam bilik-bilik bawah tanah 
Masjidil Haram. Senjata yang diperolehi mereka itu dicuri dari depot 
senjata Tentera Pengawal Kebangsaan Arab Saudi beberapa bulan 
sebelumnya. Untuk mencuri dan menyeludup senjata adalah perkara mudah 
bagi Juhaiman kerana beliau dan beberapa pengikutnya pernah berkhidmat 
di dalam Tentera Pengawal Kebangsaan Arab Saudi selama 18 tahun.
|  | 
| Masjidil Haram ketika serangan subuh 20 November 1979 | 
Sebagai tindak balas dari serangan tersebut Tentera Pengawal Kebangsaan dan Tentera Arab Saudi cuba merempuh masuk perkarangan Masjidil Haram menggunakan kereta kebal menerusi pintu masuk utama tetapi gagal kerana kekukuhan pintu tersebut. Tentera dibawah arahan Juhaiman juga diletakkan di atas menara masjid lengkap dengan sniper (penembak curi). Akibat dari tentangan kuat dari pihak Juhaiman dan korbanyang tinggi dari pihak tentera Arab Saudi, serangan balas itu dihentikan.
Ketika itu telah timbul masalah dari segi syara' mengenai penggunaan 
senjata api di dalam perkarangan Masjidil Haram. Majlis Ulama' Arab 
Saudi pada awalnya menghalang penggunaan senjata kerana ia akan 
mencemarkan kesucian Kaabah tetapi atas desakan tentera dan kerajaan  
akhirnya Majlis Ulama' Arab Saudi mengizinkannya dengan mengeluarkan 
satu fatwa untuk membenarkan penggunaan senjata api untuk melawan 
Juhaiman.
Setelah serangan awal untuk menawan kembali Masjidil Haram gagal, 
kerajaan Arab Saudi terpaksa meminta bantuan dari Pasukan Anti Keganasan
 Peranchis (GIGN) dan seramai tiga orang anggota GIGN dihantar ke Arab 
Saudi. Di lapangan terbang Jeddah , Majlis Ulama' Arab Saudi menetapkan 
syarat supaya ketiga-tiga anggota GIGN secara rahsia memeluk Islam bagi 
membolehkan mereka menjejakkan kaki ke dalam kawasan 'tanah haram' 
Mekah. Walaupun mereka “telah memeluk Islam” kehadiran anggota komando 
Peranchis ini dirahsiakan pihak Arab Saudi bagi menutup kegagalan mereka
 dalam usaha menamatkan pengepungan yang telah berlanjutan hampir dua 
minggu itu.
|  | 
| Komando GIGN Perancis yang "masuk Islam" untuk operasi pembebasan Masjidil Haram | 
Antara rancangan awal GIGN ialah membanjiri bilik bawah tanah Masjidil 
Haram yang digunakan sebagai tempat penahanan tebusan dan tempat 
persembunyian para pengikut Juhaiman. Selepas bilik-bilik ini dibanjiri 
kabel hidup yang mempunyai voltan tinggi akan dijatuhkan kedalamnya 
tetapi rancangan ini ditolak kerana ia boleh membawa kepada kematian 
ramai tebusan. Akhirnya mereka mengambil kata putus untuk menebuk 
lubang-lubang pada lantai masjid dan menjatuhkan bom tangan terus ke 
bilik-bilik bawah tanah tersebut.
| Kesan selepas operasi serangan | 
Selepas hampir dua minggu, peristiwa serangan dan pengepungan Masjidil 
Haram berjaya ditamatkan pada 4 Disember 1979. Mengikut laporan rasmi 
dari pihak berkuasa Arab Saudi menyatakan bahawa seramai 127 orang telah
 terbunuh dan 451 yang lainnya tercedera. Jumlah ini termasuklah para 
jemaah yang dijadikan tebusan, anggota pasukan keselamatan Arab Saudi 
dan juga pengikut-pengikut Juhaiman. Namun ada yang percaya angka 
sebenar kematian ialah 255 orang dan 560 orang lagi tercedera. Setelah 
menyerah diri Juhaiman , Abdullah Hamid Mohammed Al-Qahtani dan para 
pengikutnya yang masih hidup telah dijatuhkan hukuman pancung oleh 
Kerajaan Arab Saudi.
| 
Abdullah Hamid Mohammed Al-Qahtan yang  mendakwa "Imam Mahdi" terbunuh dalam serangan. | 
Rata-rata umat Islam seluruh dunia marah dengan keengganan kerajaan Arab
 Saudi untuk memenuhi permintaan dan tuntutan Juhaiman dan seterusnya 
menghalalkan pembunuhan serta penggunaan senjata di perkarangan masjid. 
Ramai yang berpendapat bahawa keputusan itu banyak menyebelahi Amerika 
Syarikat dan akibatnya beberapa kedutaan Amerika Syarikat seperti di 
Pakistan dan Libya telah dibakar oleh para perusuh dalam tunjuk 
perasaan. Demonstrasi dan protes juga diadakan di Filipina, Turki, UAE ,
 Bangladesh dan India bagi membantah tindakan dan keputusan yang telah 
dibuat oleh Raja Faisal. Bagi kebanyakan orang Islam tindakan keluarga 
As-Saud itu membuktikan kebenaran yang mereka itu hanyalah boneka 
Amerika Syarikat.
| Pengikut Juhaiman yang telah ditahan | 
Ketika peristiwa itu berlaku, Masjidil Haram sedang dalam proses 
pengubahsuaian dan pembesaran masjid. Kerja-kerja pengubahsuaian ini 
dilakukan oleh kontraktor yang dilantik oleh kerajaan Arab Saudi iaitu  
Syarikat Pembinaan Ben Laden. Ianya adalah syarikat milik kepada bapa 
Osama Bin Laden. Insiden ini juga telah membakar semangat Osama dan 
beberapa tahun kemudian beliau telah diusir keluar dari Arab Saudi 
kerana kelantangannya mengkritik keluarga As-Saud. Selebihnya kita telah
 tahu dengan apa yang telah tercatat di dalam lipatan sejarah.