Hidup di dunia adalah menumpang buat
sementara waktu saja. Lepas itu kita
akan menginap di satu tempat yang kekal di akhirat iaitu syurga atau
neraka.
Di dunia ini, kita ditugaskan mencari
seberapa banyak bekal untuk dibawa ke akhirat. Dunia bukan tempat bersenang-lenang.
Kesenangan di dunia sementara dan bersifat palsu. Begitu juga dengan kesusahan
di dunia - sementara dan palsu.
Perlulah kita fahami bahawa kesenangan di
dunia bukan betul-betul senang kerana kemungkinan sekali ia menjadi bala, sementara
kesusahannya pula mungkin menjadi satu rahmat dan kenikmatan pula.
Akhirat sahaja tempat yang kekal di mana
kesenangannya adalah 100% dan kesusahannya juga 100%. Menyedari hakikat ini, perlulah kita
menyediakan perbekalan untuk satu perjalanan yang sangat jauh. Kekurangan
bekalan akan amat menyulitkan perjalanan kita.
Dalam menjalani kehidupan seharian, kita
sering lupa akan matlamat kehidupan kita yang sebenarnya. Lantaran itu Allah seringkali
memberi peringatan (notis) supaya kita tidak lupa akan matlamat penghijrahan
kita ke alam Baqa’. Notis demi notis dikenakan ke atas diri kita, tetapi kita
tidak faham-faham atau tidak erti bahasa dan gembira malah semakin besar tawanya.
Kalau TNB memberi notis pemotongan elektrik, kita menjadi kelam-kabut, tetapi
bila Allah menghantar notis, kita buat acuh-tak-acuh saja.
Nabi Musa pernah memberitahu Malaikat
supaya segera memberitaunya sebelum mencabut nyawanya. Tetapi tatkala akan diambil
nyawanya, Nabi Musa bertanya kenapa Malaikat itu tidak memberitaunya lebih
awal. Malaikat segera menjawab, Allah telah banyak kali menghantar peringatan
demi peringatan.
Di antara peringatan (notis) yang
dihantar oleh Allah ialah semasa pertukaran rambut hitam menjadi putih, gigi
menjadi rongak, mata bertambah kabur, pendengaran bertambah kurang, badan segar
menjadi layu, kuat menjadi lemah, muda menjadi tua, kulit semakin kendur dan
sebagainya.
Ada 3 kategori manusia dalam
menghadapi kematian:
Pertama : Bila teringat akan mati, terasa
lapang hatinya. Hatinya menjadi suka. Kelompok manusia dalam kategori ini ialah
mereka yang benar-benar berilmu dan telah penuh keimanannya terhadap Allah dan
hari akhirat. Mereka telah mencapai makrifat terhadap Allah. Ini ialah maqam
tertinggi yang dimiliki oleh para wali.
Kedua: Apabila teringat mati, hatinya
menjadi takut, kecut dan gementar. Mereka ialah orang-orang kafir yang tidak sanggup
berjumpa dengan Allah. Mereka seumpama binatang-binatang liar kepunyaan
seseorang. Apabila tuannya hendak mengambilnya, dia cuba melarikan diri tetapi
dapat ditangkap secara paksaan. Kematian mereka amat menghinakan.
Ketiga: Golongan ini merasa dukacita dan
takut terhadap kematian. Tetapi apabila telah mengalami mati, dia berasa sukacita.
Malahan jika diberi pilihan, mereka tidak akan mahu kembali ke dunia semula.
Mereka telah dapat mengecapi dan menikmati alam yang lebih kekal dan lebih baik
daripada alam fana yang penuh dengan kesusahan dan kesengsaraan.
Golongan ini ibarat seorang bayi yang
baru lahir dari perut ibunya. Semasa akan keluar, bayi akan menangis kerana menyangka
hidup di dalam perut ibunya lebih baik dan nyaman daripada alam dunia. Tetapi
apabila telah lahir di dunia ini, dia tidak akan mahu kembali ke dalam perut
ibunya meskipun diberi pilihan. Manusia yang termasuk dalam golongan ini ialah
orang-orang beriman yang belum mencapai taraf tinggi atau orang mukmin
biasa.
Marilah kita berlumba-lumba mencari
bekalan untuk akhirat. Janganlah kita asyik berlumba-lumba mencari bekalan dunia
sehingga terlupa pertemuan kita dengan Allah. Kematian hanya penghijrahan atau
perpindahan alam; berpindah dari negeri binasa ke negeri yang kekal abadi.
Allah telah menghantar banyak notis kepada kita dan jadikanlah ia sebagai cemeti
untuk menyedarkan diri tentang kematian yang sudah tentu akan menemui
kita. Wallahu A'lam.
No comments:
Post a Comment