|  | |
| Ini adalah spesis burung hud-hud yang masih wujud hingga kini. | 
      Banyak kisah ditampilkan di dalam Al Quran memiliki pengajaran yang  
relevan sepanjang zaman dengan kehidupan sosial kita. Al Quran telah  
menampilkan sejumlah tokoh-tokoh tauladan dan tokoh-tokoh pengajaran  
agar dijadikan renungan tentang akibatnya kepada masyarakat. Ada kisah  
pembela kebenaran yang terdiri dari Para Nabi, Rasul dan orang-orang  
yang soleh, ada juga tokoh pelopor kezaliman seperti Firaun, Tsamud,  
‘Ad, dan Abrahah. 
Selain dari tokoh-tokoh dari bangsa manusia, ada juga kisah yang menampilkan pelajaran dari bangsa haiwan. Kisah Nabi Sulaiman dan burung Hud-Hud merupakan salah satu contoh kisah pengajaran yang terkandung di dalam Al Quran. Allah SWT berfirman dalam Surah An-Naml ayat 20-28, bermaksud,
Selain dari tokoh-tokoh dari bangsa manusia, ada juga kisah yang menampilkan pelajaran dari bangsa haiwan. Kisah Nabi Sulaiman dan burung Hud-Hud merupakan salah satu contoh kisah pengajaran yang terkandung di dalam Al Quran. Allah SWT berfirman dalam Surah An-Naml ayat 20-28, bermaksud,
20. dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta Dalam tenteranya) lalu berkata: “Mengapa Aku tidak melihat burung hud-hud? Adakah ia dari mereka yang tidak hadir? 21. “Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya Dengan seksa yang seberat-beratnya, atau Aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaKu alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab ia tidak hadir)”. 22. burung hud-hud itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): “Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang Engkau tidak cukup mengetahuinya, dan Aku datang kepadamu dari negeri Saba’ Dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya. 23. “Sesungguhnya Aku dapati seorang perempuan memerintah mereka dan ia telah diberikan kepadanya (serba sedikit) dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan) dan ia pula mempunyai singgahsana yang besar. 24. “Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari Dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah, dan Syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar); oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk, 25. “(Mereka dihalangi oleh Syaitan) supaya mereka tidak sujud menyembah Allah yang mengeluarkan benda yang tersembunyi di langit dan di bumi, dan yang mengetahui apa yang kamu rahsiakan serta apa yang kamu zahirkan. 26. “Allah! – tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar “. 27. Nabi Sulaiman berkata: Kami akan fikirkan dengan sehalus-halusnya, Adakah benar apa yang Engkau katakan itu, ataupun Engkau dari golongan yang berdusta. 28. “Pergilah bawa suratku ini, serta campakkanlah kepada mereka, kemudian berundurlah dari mereka; Dalam pada itu perhatikanlah apa tindak balas mereka”.
Kisah ini dirakamkan di dalam surah An Naml ayat 20 hingga 28 supaya ia 
menjadi pengajaran kepada manusia, kisah mengenai sebuah kerajaan yang 
tidak akan dimiliki oleh seseorangpun setelah kewafatan Nabi Allah 
Sulaiman A.S.
Wahai Tuhanku! Ampuni kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tiada taranya dan) yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurniaNya” – Surah As Shad:35, Al Quranul Karim
Pada satu ketika, Nabi Sulaiman A.S mengumpulkan seluruh 
pengikut-pengikutnya dan memeriksa mereka baik dari kalangan manusia, 
jin dan haiwan. Sesudah diteliti, ternyata burung Hud-Hud didapati tidak
 hadir sehingga menyebabkan Nabi Sulaiman A.S murka kepada Hud-Hud dan 
bertekad akan menyembelihnya sebagai hukuman. Tidak lama kemudian, 
Hud-Hud datang menghadap Nabi Sulaiman dengan penuh pengaduan, 
menjelaskan sebab-musabab keterlewatannya di dalam majlis perhimpunan 
yang diwajibkan oleh Baginda Sulaiman. Hud-Hud menjelaskan kepada 
Baginda bahawa ia terserempak dengan seorang wanita bernama Balqis, 
seorang ratu kerajaan Saba’ yang memiliki singgahsana yang besar, tetapi
 malangnya ratu tersebut tidak beriman dan tunduk kepada Allah Taala.
Pengaduan Hud-Hud diterima oleh Nabi Sulaiman, lantas Baginda 
mengarahkan Hud-Hud untuk menyiasat perkara itu dan membawa surat 
perutusan dari Baginda. Diringkaskan di sini bahawa Hud-Hud adalah 
seekor makhluk kecil yang memiliki kepekaan dan prihatin terhadap 
peristiwa yang berlaku di sekelilingnya. Keistimewaan yang dimiliki oleh
 Hud-Hud adalah taat kepada pemimpin dan dahagakan maklumat. Walaupun 
Hud-Hud menyedari kelewatannya bertemu Nabi Sulaiman, Hud-Hud tetap 
hadir dengan membawa amanah untuk dihadapkan kepada pemimpinnya.
Keterlewatan Hud-Hud bukan alasan untuknya tidak hadir bertemu Nabi 
Sulaiman. Ini menunjukkan Hud-Hud memiliki sifat berani biarpun 
kemungkinan yang bakal berlaku ialah Hud-Hud akan dihukum oleh Nabi 
Sulaiman.
Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab ia tidak hadir) An Naml: 21, Al Quranul Karim
Sekali imbas ancaman yang dituturkan oleh Nabi Sulaiman A.S kepada 
Hud-Hud tersebut adalah amat menggerunkan, apalagi jika ucapan tersebut 
ditujukan kepada manusia yang melalaikan perintahnya. Seolah-olahnya 
Nabi Sulaiman mengeluarkan ‘pekeliling surat berhenti kerja 24 jam’ 
kepada Hud-Hud, tetapi sambungan ayat selanjutnya menyerlahkan sisi lain
 yang walaupun disampaikan dalam keadaan murka, namun rasional masih 
menguasai diri Nabi Sulaiman, “…Kecuali jika dia datang kepadaku dengan 
alasan yang jelas”.
Apa yang benar, Hud-Hud tidak terbang ke negeri Saba’ untuk 
bersiar-siar, makan angin ataupun melanggar prinsip-prinsip umum seperti
 mengabaikan perintah pemimpin dan sebagainya, sebaliknya Hud-Hud 
terbang dan kembali ke perbarisan Nabi Allah Sulaiman. Kelewatan Hud-Hud
 adalah kerana ingin mendapatkan maklumat berkaitan keadaan politik di 
negeri Saba’. Misi yang dibawanya juga adalah misi yang besar, iaitu 
misi men-tauhidkan umat manusia, bukannya misi-misi berbentuk sekunder 
seperti masalah khilafiyyah, permusuhan peribadi dan tuduh-menuduh, 
tetapi misi menyelamatkan manusia dari menjadi ‘parasit’ kekufuran.
Namun, tindakan Hud-Hud pula janganlah dijadikan alasan untuk bersikap 
tidak Wala’ kepada pimpinan, iaitu wabak ‘meroyan’ dan ‘hilang kawalan’ 
dan ‘emosional‘, atau watak mengutamakan pendapat sendiri berbanding 
keputusan pimpinan dalam melakukan gerak kerja jamaah sehingga tidak 
selari dengan dasar dan matlamat gerakan Islam. Kisah ini tidak 
seharusnya dijadikan sandaran dalil kepada aktivis gerakan Islam untuk 
buat ‘kepala sendiri’ atau ingin berperanan sebagai Hud-Hud sahaja, 
iaitu mahu meninjau ‘kawasan’ sahaja tanpa melakukan kerja lain. Ini 
kerana yang terbang ke sana sini barangkali bukannya Hud-Hud milik Nabi 
Sulaiman, tetapi mungkin seekor gagak hitam yang merayau-rayau meninjau 
timbunan sampah.
Hud-Hud tetap meletakkan ketaatan kepada Nabi Sulaiman kerana ketaatan 
kepada pemimpin adalah perkara dasar (thawabit) dalam berjamaah, bukan 
mengabaikannya. Sikap yang ditunjukkan Hud-Hud juga memperlihatkan 
bahawa seorang perajurit Islam mestilah memiliki kepekaan terhadap 
amanah, sikap mengkaji dan teliti, bersemangat untuk menyedarkan kaum 
walaupun dengan kemampuan dan peranan yang kecil. Begitulah juga dalam 
ilmu dakwah, kategori penyampaian boleh dilakukan dengan pelbagai dari 
setinggi-tinggi kaedah penyampaian sehingga serendah-rendah daya 
kemampuan, bermula dari kuasa dan arahan, kemudiannya percakapan, 
penulisan dan seterusnya akhlak yang baik. Baginda Nabi Muhammad S.A.W 
sendiri sebelum dikenal sebagai pemidato di pentas dakwah dan politik, 
Baginda S.A.W pada awalnya dikenal melalui akhlak yang mulia sehingga 
digelar oleh sahabat dan musuh sebagai “Al Amin”.
Manakala dari sisi pengajaran yang dapat kita amati dari sikap Nabi 
Allah Sulaiman pula, seorang pemimpin mestilah memiliki sifat tegas dan 
sentiasa mencari jalan penyelesaian yang terbaik, bukannya bertindak 
semberono dan menuduh tanpa pemeriksaan yang nyata. Ketelitian Nabi 
Sulaiman dapat dilihat melalui katanya di dalam surah An Naml ayat 27: 
Nabi Sulaiman berkata; Kami akan fikirkan dengan sehalus-halusnya, 
adakah benar apa yang engkau katakan itu, ataupun engkau dari golongan 
yang berdusta
Ketegasan ini menunjukkan kepada setiap pemimpin agar jangan segera 
percaya dengan setiap alasan yang diberikan tanpa penelitian. Dalam 
lapangan politik, seorang pemimpin memang wajar bersikap buruk sangka 
kepada barisan yang dipimpinnya, tetapi bukanlah dengan hanya bersikap 
buruk sangka sahaja tanpa mencari jalan penyelesaiannya. Periksa 
betul-betul setiap laporan yang dikemukakan, kerana khuatir maklumatnya 
ditokok-tambah, sedangkan realitinya ‘jauh panggang dari api’. Ini 
kerana informasi yang tepat & boleh dipercayai sangat penting untuk 
meneruskan kelancaran organisasi agar visinya mampu bergerak laju tanpa 
‘tempang’.
Itulah yang ditekankan oleh Nabi Allah Sulaiman, Baginda tidak terus 
melulu menerima setiap patah kata-kata Hud-Hud, sebaliknya memeriksa 
intipati kebenarannya:
Pergilah bawa suratku ini, serta campakkanlah kepada mereka, kemudian berundurlah dari mereka; dalam pada itu perhatikanlah apa tindak balas mereka” - An Naml:28, Al Quranul Karim
Imam Al Qurtubi di dalam tafsirnya mengatakan,
Ayat ini adalah dalil yang menunjukkan perlunya pengiriman 
surat-surat kepada orang-orang musyrik dan menyampaikan dakwah tauhid 
kepada mereka, dan mengajak mereka masuk Islam. Rasulullah S.A.W juga 
telah menulis surat kepada kerajaan Caesar Romawi dan Kisra Parsi dan 
kepada beberapa raja yang zalim” [Rujuk Tafsir Qurtubi 13/189]
Di dalam Surah An Naml ayat 28, sikap yang ditunjukkan oleh Nabi 
Sulaiman juga mengajarkan bahawa seseorang pemimpin itu mestilah merasai
 kehilangan anggota pengikutnya sekiranya tidak hadir. Seorang pemimpin 
harus memerhatikan siapa yang tidak hadir dalam setiap pertemuan dan 
kegiatan kerana ia merupakan tanggungjawab yang mesti dilakukannya 
sebagaimana seorang imam memerhatikan kehadiran para makmum-nya. Kata 
Umar Al Khattab R.A,
 
Selidiklah sahabatmu di waktu solat. Jikalau mereka tidak hadir kerana 
sakit, engkau jenguklah. Dan sekiranya dalam keadaan sihat-sihat sahaja 
maka patutlah untuk dicela.
Nabi Sulaiman juga mengajarkan kepada bakal pemimpin negara supaya tidak
 meremehkan perkara kecil, kerana seringkali sesuatu yang besar bermula 
dari awalnya nampak kecil. Tugas yang dimainkan oleh Hud-Hud hanya kecil
 jika dibandingkan dengan jin Ifrit yang menanggung beban berat 
singgahsana Balqis, tetapi sumbangan jentera kecilnya bernama Hud-Hud 
tetap direkodkan di dalam Al Quran kerana “kejujuran”nya. Selain itu, 
sebagai manusia kita perlu merasa malu dengan Hud-Hud, spesis burung 
yang kecil tetapi hidupnya digunakan untuk misi besar iaitu mengajak 
manusia mentauhidkan Allah, bahkan dia melakukan tugasan mulia tersebut 
tanpa menunggu arahan khusus.
Jika kita telusuri dunia penciptaan yang berjaya mewujudkan peradaban di
 dunia, kita dapat melihat banyak karya-karya penciptaan dan hasil-hasil
 penemuan awalnya dirintis oleh individu tidak ternama seperti Ibnu 
Firnas (W.887) yang mencipta bingkai pesawat yang hanya boleh 
dikendalikan oleh seorang manusia sahaja. Kemudian hasil ujikaji 
tersebut didukung oleh Wright brothers iaitu Oliver Wright dan Wilbur 
Wright pada tahun 1903 sehingga berjaya menghasilkan pesawat secanggih 
kita saksikan pada hari ini. Demikan juga dalam medan dakwah, pada 
awalnya ia bermula daripada kekentalan seorang individu, kemudian 
akhirnya nanti ia menjadi garapan organisasi sebagaimana kejayaan dakwah
 Nabi Muhammad S.A.W yang bermula dari era pembinaan umat di Madinah, 
tetapi impak mutakhirnya Baginda berjaya mencipta pelbagai versi tamadun
 kerajaan dan ketokohan manusia yang berkiblatkan dakwah Islam.
Hasil kejayaan itu semuanya terangkum kepada kata kunci “Misi & 
Visi”. Jika haiwan sekecil Hud-Hudpun memiliki visi dan misi-nya iaitu 
“MENTAUHIDKAN ALLAH”, maka apatah lagi manusia yang diberikan kudrat 
menundukkan seluruh makhluk yang diciptakan Allah di muka bumi ini. 
Dengan visi dan misi inilah Salahuddin Al Ayyubi dapat menguasai kembali
 Baitul Maqdis, dengan visi dan misi ini Saifuddin Qutuz berjaya 
menewaskan tentera Tatar yang dianggap umat Islam waktu itu sebagai 
Ya’juj wa Ma’juj, dengan visi dan misi ini juga menyebabkan Khalid Al 
Walid tidak berkecil hati dengan perlucutan jawatannya sebagai panglima 
perang oleh Khalifah.
Marilah kita tanamkan visi dan misi kehidupan kita semata-mata 
mentauhidkan Allah Taala. Elakkan cara berfikir “ia bukan kerja saya”, 
sebaliknya bertindaklah seperti Hud-Hud yang walaupun dia hadir dengan 
‘lewat’nya, tetapi komitmen-nya, ke-ikhlasannya, kejujurannya dan gerak 
kerjanya dipertaruhkan semata-mata demi usaha mentauhidkan Allah Taala. 
Kita belajar ilmu untuk mentauhidkan Allah. Kita bekerja untuk 
mentauhidkan Allah Taala. Kita menceburkan diri dalam dunia politik dan 
kepartian untuk mentauhidkan Allah Taala, hatta dalam sekecil-kecil 
perkara sekalipun seperti menulis di “wall facebook” dan sebagainya juga
 demi mentauhidkan Allah Taala.
Ini kerana, jika anda benar-benar jujur, kesalahan bukanlah ukuran 
seseorang itu melakukan kederhakaan, tetapi adalah kejayaan yang akan 
menjadi renungan pada hari ‘esok’. Kejujuran adalah sifat para pendokong
 kemenangan. Hal ini dapat kita pelajari dari kekalahan umat Islam di 
perang Mu’tah, iaitu ketika ketiga-tiga orang panglima perang yang 
dilantik Rasulullah S.A.W gugur syahid bernama Zaid bin Harithah, Jaafar
 bin Abi Talib, dan Abdullah bin Rawahah; Khalid al-Walid mengambil alih
 tempat ketua tentera, atas permintaan beberapa individu di dalamnya. 
Khalid Al Walid melihat bilangan tentera Islam terlalu sedikit jika 
dibandingkan dengan tentera Rom. Oleh itu, Khalid membuat keputusan 
membawa tentera pulang ke Madinah. Apabila mereka hampir dengan Madinah,
 mereka telah disambut taburan tanah daripada orang ramai sambil 
berkata, “Wahai orang-orang yang melarikan diri. Kamu telah lari 
daripada medan jihad di jalan Allah”.
Lantas Rasulullah S.A.W membela Para Sahabatnya yang jujur, “Mereka 
bukanlah orang yang melarikan diri tetapi mereka adalah orang yang akan 
mengulangi peperangan, Insya Allah”
[ Rujuk Sirah Ibnu Hisyam 4/292 ]
[ Rujuk Sirah Ibnu Hisyam 4/292 ]
Sumber Rujukan:
[1] Min Fiqhil Aulawiyyat, Dr. Majdi Hilali
[2] Feqh Nasr wa Tamkin, Dr. Mohamad Ali As Solabi
Sumber:http://www.tarbawi.my diaksess:7 Mac 2012:11:05AM)
