Ibu bapa merupakan insan yang paling rapat dan dihormati dalam
institusi keluarga. Mereka banyak berkorban dalam membesarkan dan
memberi didikan kepada anak-anak. Mereka tidak pernah meminta atau
mengharapkan balasan atau bayaran terhadap penat lelah, pengorbanan dan
kasih sayang yang mereka berikan.
Dewasa ini ramai anak-anak yang tidak menghormati ibu bapa mereka.
Perkara ini amat serius terutamanya di negara Barat yang telah rosak
dalam sistem sosial dan kekeluargaan. Anak-anak telah hilang rasa
hormat, sering bercakap dengan nada tinggi dan kasar, bahkan ada yang
berani memukul kerana tidak sependapat atau berselisih faham.
Yang lebih teruk, ada yang tidak segan silu menyaman ibu bapa mereka
jika menyentuh hal peribadi mereka. Inilah kelemahan sistem manusia yang
sering dikatakan untuk memenuhi hak asasi manusia tetapi tidak pernah
mampu mendidik dan membentuk peribadi yang mulia.
Islam mengajar agar anak-anak menghormati ibu bapa dan menghargai
pengorbanan mereka. Perintah ini banyak dimuatkan dalam al-Quran yang
menunjukkan bahawa perkara ini amat penting.
“Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada
kedua orang tuanya, ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah
yang bertambah-tambah, dan menyusukannya selama dua tahun, bersyukurlah
kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu, hanya kepada Aku kembalimu” (Luqman, 31: 14)
“Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua- dua ibu bapa…” (al-Ahqaf, 46: 15)
Menghormati dan taat kepada ibu bapa akan mewujudkan suasana yang
harmoni, damai dan tenang dalam keluarga. Hadith RasulAllah di bawah
wajar diperhati sebagai peringatan kepada kita dalam menjaga adab dengan
ibu bapa.
“Bukanlah daripada golongan kamu, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami.” (Hadis riwayat Tabrani).
RasululAllah tidak mengiktiraf mereka yang tidak menghormati ibu bapa
mereka termasuk dalam golongan muslim. Dalam hadis yang lain, perbuatan
derhaka kepada kepada ibu bapa merupakan maksiat yang akan di balas
dengan segera di dunia ini.
“Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia adalah zina dan menderhaka kepada dua ibu bapa.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Sebagai contoh mudah, cerita lama si tanggang yang sombong dan
mengina ibunya setelah menjadi nahkoda kapal, mendapat balasan dengan
ditukar menjadi batu setelah ibunya merintih dan berdoa kepada Allah
akan memberi pengajaran kepadanya.
Menderhaka kepada kedua ibu bapa merupakan dosa yang besar dan sangat
dimurkai oleh Allah. Perkara ini diberikan contoh yang lebih mendalam
dan lebih kecil sehingga kepada perkataan dan ucapan seharian.
Allah melarang anak-anak melawan ibu bapa mereka dengan nada yang
kasar yang boleh menyentuh hati seperti perkaaan ‘ah’, ‘cis’, ‘uh’ dan
sebagainya.
“Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain
Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang tua. Jika salah
seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah
sekali-kali engkau berani berkata ‘ah’ terhadap mereka dan janganlah
engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan
lemah lembut.” (al-Isra’, 17: 23 )
Perkara ini mungkin nampak kecil, namun Allah tetap menekannya agar
manusia mengambil peringatan dalam menjaga adab dan sebagai batas-batas
dan aturan yang perlu diikuti demi keharmonian hidup.
Sebagai anak, wajar kita sentiasa bertutur dengan lemah lembut dan
mengucapkan kata-kata yang baik dan menyenangkan hati mereka. Dan
lebih-lebih lagi kita dituntut agar mendoakan kesejahteraan mereka.
“Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, “Wahai Tuhanku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka telah mendidik aku pada waktu kecil” (al-Isra’, 17: 24)
Menghormati dan berbakti kepada ibu bapa merupakan suatu perkara yang
sangat disukai oleh Allah dan termasuk dalam perbuatan yang menjadi
keutamaan yang tinggi.
Diriwayatkan daripada Bukhri dan Muslim, Ibnu Umar berkata: Saya
telah bertanya kepada Nabi Muhammad: Apakah perbuatan disukai oleh
Allah? Lalu baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Kemudian apa?
tanya saya lagi. Baginda menjawab: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Saya
bertanya: Apa lagi. Jawab baginda: Berjihad pada jalan Allah.
Ketika ditanya oleh seorang sahabat daripada kaum Ansar mengenai
masih adakah tanggungjawabnya terhadap ibu bapa yang sudah meninggal
dunia, Rasulullah menjawab dengan sabdanya bermaksud:
“Ada, iaitu
berdoa, beristighafar untuk kedua-duanya, menyempurnakan janji,
memuliakan sahabat taulan kedua-duanya dan menyambungkan silaturahim
yang tidak sempat dijalinkan oleh kedua-duanya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).
Marilah kita bersama-sama menyemai kasih sayang dan mewujudkan
keharmonian dalam keluarga sehingga diberkahi dan mendatangkan sakinah.
Semoga keharmonian dalam keluarga akan menyemarakan lagi kesejahteraan
dan kualiti hidup bermasyarakat.
Photo by: www.nikaizu.com