Istanbul atau yang dulunya dikenali sebagai Costantinople, adalah salah 
sebuah bandar nostalgia dunia. Tidak setakat tercatat oleh tinta Sejarah
 Islam, bahkan statusnya sebagai salah sebuah bandar utama dunia, pasti 
mengundang seisi alam manusia untuk meninjau dan menghubungkan sejarah 
kegemilangan masing-masing dengannya Istanbul diasaskan pada tahun 330M 
oleh Maharaja Byzantine iaitu Costantine I.
Kedudukannya yang strategik, diungkapkan oleh Napoleon Bonapart kalaulah
 dunia ini sebuah negara, maka Costantinople inilah yang paling layak 
menjadi ibu negaranya. Costantinople telah pun menjadi ibu negara 
Empayar Byzantine semenjak penubuhannya. Ini menjadikan bandar berkenaan
 sebagai salah sebuah bandar terbesar dan utama dunia.
|  | 
| Kedudukan Istanbul (Constantinople) yang strategik | 
Kedudukan Costantinople yang sedemikian rupa, meletakkan ia di kedudukan
 yang istimewa apabila umat Islam memulakan agenda pertembungan mereka 
dengan Empayar Byzantine. Rasulullah SAW telah pun beberapa kali 
memberikan khabar gembira tentang pembukaan kota ini di tangan umat 
Islam seperti yang dinyatakan oleh Baginda SAW di dalam peperangan 
Khandak. Sabda baginda SAW : ”Sesungguhnya Costantinople itu pasti akan 
dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera 
adalah tenteranya”.
Terdapat banyak lagi hadith lain seperti ini dan ia menimbulkan 
keghairahan para khalifah dan pemimpin Islam untuk berusaha menawan kota
 Costantinople berkenaan. Usaha pertama dilancarkan pada tahun 44H iaitu
 di zaman Muawiyah bin Abi Sufian RA. Akan tetapi, usaha berkenaan gagal
 dan Abu Ayyub Al-Ansari yang merupakan salah seorang sahabat Nabi yang 
menyertainya, syahid di pinggir kota Costantinople berkenaan. Manakala 
di zaman Sulaiman bin Abdul Malik pula, Khilafah Umayah telah 
menyediakan pasukan terhandal untuk menawan kembali kota berkenaan pada 
tahun 98H tetapi masih belum diizinkan oleh Allah SWT. (rujuk Al-Ibar 
oleh Ibnu Khaldun 3 / 70 dan Tarikh Khalifah bin Khayyath ms. 315)
Selepas kejatuhan Baghdad tahun 656H, usaha menawan Costantinople 
diteruskan pula oleh kerajaan-kerajaan kecil di Asia Minor (Anatolia) 
terutamanya Kerajaan Seljuk. Pemimpin masyhurnya, Alp Arslan (455-465H /
 1063-1072M) telah berjaya mengalahkan Maharaja Rum, Dimonos, pada tahun
 463H / 1070M. Beliau telah menangkap lalu memenjarakannya sebelum 
dibebaskan dengan persetujuan untuk membayar jizyah tahunan kepada 
Kesultanan Seljuk. Peristiwa ini telah meletakkan sebahagian besar 
Empayar Rom di bawah pengaruh Kerajaan Islam Seljuk.
Bagaimana pun, selepas daripada merosot dan jatuhnya Kerajaan Seljuk 
berkenaan, terbentuk pula beberapa kerajaan kecil di Anatolia. Antaranya
 ialah kerajaan Seljuk Rum yang telah berjaya meluaskan kekuasaannya 
sehingga ke pantai Laut Ege di barat, seterusnya melemahkan pengaruh dan
 kekuasaan Empayar Rom.
Costantinople Dan Daulah ‘Uthmaniyyah
Di awal kurun ke-8 hijrah / 14M, Daulah Uthmaniyyah telah mengadakan 
persepakatan bersama Seljuk Rum yang ketika itu berpusat di bandar 
Konya. Persepakatan ini memberikan nafas baru kepada usaha umat Islam 
untuk menawan Costantinople. Usaha awal yang dibuat ialah di zaman 
Sultan Yildrim Beyazid yang mana beliau telah berjaya mengepung kota itu
 pada tahun 796H / 1393M. Peluang yang ada telah digunakan oleh Sultan 
Beyazid untuk memaksa Maharaja Byzantine menyerahkan Costantinople 
secara aman kepada umat Islam. Akan tetapi, usahanya itu menemui 
kegagalan dengan kedatangan bantuan Eropah dan dalam masa yang sama, 
tentera Mongol di bawah pimpinan Timurlank telah menyerang Daulah 
‘Uthmaniyyah. Serangan itu dikenali sebagai Perang Ankara dan ini telah 
memaksa Sultan Beyazid untuk menarik balik tenteranya bagi 
mempertahankan negara dari serangan Mongol. Dalam peperangan itu, beliau
 telah ditawan dan kemudiannya meninggal dunia pada tahun 1402M. 
Kejadian itu telah menyebabkan idea untuk menawan Costantinople terhenti
 untuk beberapa ketika.
|  | 
| Empayar Uthmaniyah dan Empayar-empayar Eropah | 
Selepas Daulah ‘Uthmaniyyah mencapai ke peringkat yang lebih maju dan 
tersusun, roh jihad telah hidup semua dengan nafas baru. Semangat dan 
kesungguhan yang ada itu telah mendorong Sultan Murad II (824-863H / 
1421-1451M) untuk meneruskan usaha menawan Costantinople. Beberapa usaha
 telah berjaya dibuat untuk mengepung kota itu tetapi dalam masa yang 
sama berlaku pengkhianatan di pihak umat Islam. Mahajara Byzantine telah
 mengambil peluang ini untuk menabur fitnah dan mengucar-kacirkan saf 
tentera Islam. Usaha Sultan Murad II itu tidak berjaya sampai ke 
sasarannya sehinggalah di zaman anak beliau, Sultan Muhammad Al-Fatih, 
sultan ke-7 Daulah ‘Uthmaniyyah.
|  | 
| Sultan Muhammad Al-Fatih | 
Semenjak kecil, Sultan Muhammad Al-Fatih telah meneliti dan meninjau 
usaha ayahnya menawan Costantinople. Bahkan beliau terus mengkaji 
tentang usaha-usaha yang pernah dibuat sepanjang sejarah Islam ke arah 
itu, sehingga menimbulkan keazaman yang kuat untuk beliau meneruskan 
cita-cita umat Islam zaman berzaman itu. Ketika menaiki takhta pada 
tahun 855H / 1451M, beliau telah mula berfikir dan menyusun strategi 
untuk menawan kota berkenaan..
Kekuatan Sultan Muhammad Al-Fatih banyak terletak pada ketinggian 
peribadinya. Semenjak kecil, beliau telah ditarbiah secara intensif oleh
 para ulamak terulung di zamannya. Di zaman ayahnya, iaitu Sultan Murad 
II, Asy-Syeikh Muhammad bin Ismail Al-Kurani telah menjadi murabbi Amir 
Muhammad (Al-Fatih). Ketika itu, Amir Muhammad adalah ketua bagi kawasan
 Manisa. Sultan Murad II telah menghantar beberapa orang ulamak untuk 
mengajar anaknya sebelum itu, tetapi tidak diendahkan oleh Amir 
Muhammad. Lalu, beliau menghantar Asy-Syeikh Al-Kurani dan memberikan 
kuasa kepadanya untuk memukul Amir Muhammad jika beliau membantah tunjuk
 ajar gurunya. Apabila beliau menemui Amir Muhammad dan menjelaskan 
tentang hak yang diberikan oleh baginda Sultan, Amir Muhammad ketawa 
lalu dipukul oleh Asy-Syeikh Al-Kurani dengan begitu kuat sekali. 
Peristiwa ini telah menimbulkan kesan yang mendalam pada diri Amir 
Muhammad lantas selepas itu beliau terus menghafal Al-Quran dalam masa 
yang singkat
Tarbiah yang diberikan oleh para ulamak murabbi itu memberikan pengaruh 
yang besar, bukan hanya kepada peribadi Sultan, bahkan kepada corak 
pemerintahan dan adat resam Daulah ‘Uthmaniyyah itu sendiri. Sekiranya 
Sultan melakukan kesilapan, murabbinya itu akan menegur. Sultan juga 
dipanggilnya dengan nama dan apabila bersalam, Sultan yang akan mencium 
tangan ulamak yang menjadi murabbinya itu.Dengan tarbiah yang teliti dan
 penuh terhormat seperti ini, tidak hairanlah jika peribadi-peribadi 
yang unggul seperti Muhammad Al-Fatih lahir menempa nama di persada 
sejarah..
Asy-Syeikh Ak Semsettin
Dalam masa yang sama Asy-Syeikh Ak Samsettin (Syamsuddin) merupakan 
murabbi Sultan Muhammad Al-Fatih yang hakiki. Namanya yang sebenar ialah
 Muhammad bin Hamzah Ad-Dimasyqi Ar-Rumi yang mana nasabnya sampai 
kepada Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA. Beliau mengajar Amir Muhammad 
ilmu-ilmu asas iaitu Al-Qur’an, Al-Hadith, Feqah, Linguistik (Arab, 
Parsi dan Turki) dan juga ilmu kemahiran yang lain seperti Matematik, 
Falak, Sejarah, Ilmu Peperangan dan sebagainya.
Semenjak kecil, Syeikh Ak Semsettin berjaya meyakinkan Amir Muhammad 
bahawa beliau adalah orang yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW di dalam
 hadith pembukaan Costantinople berkenaan. Apabila beliau menaiki 
takhta, Sultan Muhammad segera menemui Syeikh Ak Semsettin bagi 
menyiapkan bala tentera ke arah penawanan Costantinople, demi 
merealisasikan hadith Rasulullah SAW berkenaan. Peperangan yang maha 
hebat itu memakan masa selama 54 hari.
Sultan Muhammad Al-Fatih sangat menyayangi Syeikh Ak Semsettin. Beliau 
mempunyai kedudukan yang istimewa pada diri Sultan Muhammad Al-Fatih dan
 ini sangat jelas dinyatakan oleh beliau ketika pembukaan Istanbul, 
“…sesungguhnya kamu semua melihat aku gembira sekali. Kegembiraanku ini 
bukanlah semata-mata kerana kejayaan kita menawan kota ini, akan tetapi 
ia adalah kerana hadirnya di sisiku syeikhku yang mulia, dialah 
pendidikku, Asy-Syeikh Ak Semsettin.”
Persediaan Ke Arah Penawanan
Sultan Muhammad Al-Fatih telah membuat persediaan yang besar ke arah 
mencapai matlamatnya menawan Costantinople. Beliau telah menyediakan 
mujahid seramai kira-kira 250,000 dan ini merupakan angka yang begitu 
besar jika dibandingkan dengan tentera negara lain di zaman itu. Para 
mujahid berkenaan diberikan latihan intensif dan sentiasa diperingatkan 
dengan pujian Rasulullah SAW kepada tentera yang akan menawan 
Costantinople itu nanti.
Beliau telah membina Kota Rumeli (Rumeli Hisari) di tebing Eropah Selat 
Bosphorus iaitu di bahagian tersempit antara tebing Asia dan Eropah. 
Kota yang berhadapan dengan kota binaan Sultan Beyazid di sebelah tebing
 Asia ini, mempunyai peranan yang besar dalam usaha mengawal lalu lintas
 di selat tersebut. Maharaja Byzantine telah berusaha gigih untuk 
menghalang Sultan Muhammad Al-Fatih daripada membina kota berkenaan 
tetapi gagal menghalangnya.
Sultan Muhammad Al-Fatih juga berusaha untuk mempertingkatkan 
kelengkapan senjatanya. Beliau telah menapatkan khidmat pakar membina 
meriam bernama Orban. Beberapa meriam telah dibina termasuk Meriam 
Diraja yang masyhur. Catatan menceritakan betapa meriam ini adalah yang 
terbesar di zaman berkenaan. Beratnya beratus tan dan memerlukan beratus
 tenaga tentera untuk mengangkutnya. Beliau juga menyediakan kira-kira 
400 buah kapal laut untuk tujuan yang sama.
|  | 
| Raja Constantine XI Palaeologus, (1405-1453) Sumber: Wikipedia | 
Sebelum serangan dibuat, Sultan Muhammad Al-Fatih telah mengadakan 
perjanjian dengan musuh-musuh yang lain. Ini merupakan strategi yang 
penting supaya seluruh tenaga dapat ditumpukan kepada musuh yang satu 
tanpa ada sebarang ancaman yang berada di luar jangkaan. Antaranya ialah
 perjanjian yang dibuat dengan kerajaan Galata yang berjiran dengan 
Byzantine. Perkembangan ini sangat membimbangkan Maharaja Byzantine 
iaitu Raja Constantine XI Palaeologus, (1405-1453, memerintah 1449 - 
1453) lantas pelbagai cubaan dibuat untuk menawan hati Sultan Muhammad 
Al-Fatih supaya membatalkan hasratnya. Hadiah dan rasuh cuba dibuat 
untuk tujuan berkenaan. Akan tetapi semuanya menemui kegagalan.
Keazaman yang begitu kuat pada diri Sultan Muhammad Al-Fatih telah 
mendorong Maharaja Byzantine berusaha mendapatkan pertolongan daripada 
negara-negara Eropah. Tanpa segan silu, beliau memohon pertolongan dari 
kepimpinan gereja Katholik, sedangkan ketika itu semua gereja di 
Costantinople bermazhab Orthodoks. Atas dasar bermuka-muka demi 
mengekalkan kuasanya, Maharaja Byzantine telah mengaku bersetuju untuk 
menukar mazhab di Costantinople demi menyatukan kedua-dua aliran yang 
saling bermusuh itu. Wakil telah dihantar dari Eropah ke Costantinople 
untuk tujuan berkenaan. Beliau telah berkhutbah di Gereja Aya Sofya 
menyatakan ketundukan Byzantine kepada Katholik. Akan tetapi hal ini 
telah menimbulkan kemarahan penduduk Costantinople yang bermazhab 
Orthodoks. Sehinggakan ada di antara pemimpin Orthodoks berkata,
Situasi ini telah mencetuskan pemberotakan rakyat terhadap keputusan maharaja yang dianggap khianat.
"Sesungguhnya aku lebih rela melihat di bumi Byzantine ini serban para orang Turki (muslim) daripada aku melihat topi Latin!”
Situasi ini telah mencetuskan pemberotakan rakyat terhadap keputusan maharaja yang dianggap khianat.
Serangan
Costantinople mempunyai keistimewaannya yang tersendiri dari aspek 
geografi. Ia dikelilingi oleh lautan dari tiga penjuru iaitu Selat 
Bhosphore, Laut Marmara Dan Perairan Tanjung Emas (Golden Horn) yang 
dihalang pintu masuknya oleh rantai besi raksasa. Ia berfungsi 
menghalang kapal daripada masuk ke pintu utama Kota Costantinople.
Selepas melalui proses persiapan yang teliti, akhirnya Sultan Muhammad 
Al-Fatih telah tiba di hadapan kota Costantinople pada hari Khamis 26 
Rabiul Awal 857H bersamaan 6 April 1453M. Di hadapan tentera yang 
menjangkau jumpa 250 ribu, Al-Fatih telah menyampaikan khutbah 
mengingatkan para mujahid tentang kelebihan jihad, kepentingan 
memuliakan niat dan harapan kemenangan di hadapan Allah SWT dsb. Beliau 
juga membacakan ayat-ayat Al-Quran mengenainya serta hadith Nabi SAW 
tentang pembukaan kota Costantinople. Ini semua memberikan kesan 
semangat yang tinggi dan jitu pada bala tentera itu lantas mereka 
menyambutnya dengan zikir, pujian dan doa kepada Allah SWT. Kehadiran 
para ulamak di tengah-tengah saf para mujahid itu juga menebalkan lagi 
keazaman mereka untuk menunaikan kewajipan jihad tersebut.
Keesokan harinya, Sultan Muhammad Al-Fatih telah menyusun dan 
membahagikan tenteranya kepada tiga kumpulan. Pertamanya adalah kumpulan
 utama yang bertugas mengawal kota yang mengelilingi Costantinople. Di 
belakang kumpulan utama itu adalah tentera simpanan yang bertugas 
menyokong tentera utama di hadapan. Meriam Diraja telah dihalakan ke 
pintu Topkapi. Pasukan pengawal juga diletakkan di beberapa kawasan 
strategik seperti kawasan-kawasan bukit di sekitar Kota Byzantine itu. 
Kapal-kapal laut ‘Uthmaniyyah juga diletakkan di sekitar perairan yang 
mengelilingi Costantinople. Akan tetapi kapal-kapal berkenaan tidak 
berjaya memasuki perairan Tanjung Emas disebabkan oleh kehadiran rantai 
raksasa yang mengawal pintu masuk.
Semenjak hari pertama serangan, tentera Byzantine telah berusaha keras 
menghalang tentera ‘Uthmaniyyah daripada merapati pintu-pintu masuk kota
 mereka. Tetapi serangan strategik tentera Islam telah berjaya 
mematahkan halangan itu, ditambah pula dengan serangan meriam dari 
pelbagai sudut. Bunyi meriam itu telah menimbulkan rasa takut yang amat 
sangat kepada penduduk Costantinople sehingga menjejaskan semangat 
mereka untuk bertahan.
Tentera Laut ‘Uthmaniyyah telah mencuba beberapa kali untuk melepasi 
rantai besi di pintu masuk Tanjung Emas. Dalam masa yang sama, panahan 
diarahkan kepada kapal-kapal Byzantine danEropah yang tiba untuk 
membantu. Walau bagaimana pun usaha ini tidak berjaya, dan ini 
memberikan semacam semangat di awalnya kepada penduduk Costantinople. 
Para paderi berjalan di lorong-lorong kota, mengingatkan penduduk supaya
 membanyakkan sabar serta terus berdoa kepada Jesus dan Maryam supaya 
menyelamatkan Costantinople. Maharaja Byzantine juga berulang-alik ke 
Gereja Aya Sofya untuk tujuan yang sama.
Perjanjian Al-Fatih Dengan Maharaja Costantine
Maharaja Costantine mencuba sedaya upayanya untuk menundukkan Al-Fatih. 
Pelbagai hadiah dan tawaran dikemukakan demi untuk menyelamatkan 
kedudukannya itu. Akan tetapi Al-Fatih tidak menerima kesemua tawaran 
itu sebaliknya memberi kata putus supaya Costantinople diserahkan kepada
 Daulah ‘Uthmaniyyah secara aman. Al-Fatih berjanji, jika Costantinople 
diserahkan secara aman, tiada seorang pun yang akan diapa-apakan bahkan 
tiada gereja dan harta benda penduduk Costantinople yang akan 
dimusnahkan. Antara isi kandungan risalahnya itu, “… serahkan empayar 
kamu, kota Costantinople. Aku bersumpah bahawa tenteraku tidak akan 
mengancam sesiapa sama ada nyawa, harta dan kehormatannya. Mereka yang 
mahu terus tinggal dan hidup dengan amat sejahtera di Costantinople, 
bebas berbuat demikian. Dan sesiapa yang mahu meninggalkan kota ini 
dengan aman sejahtera juga dipersilakan”.
Walaupun begitu, kepungan tentera Al-Fatih masih belum sempurna 
disebabkan oleh rantai besi yang melindungi pintu masuk Tanjung Emas 
itu. Dalam pada itu, para mujahid tetap terus melancarkan serangan demi 
serangan dan pada 18 April 1453M, pasukan penyerang ‘Uthmaniyyah telah 
berjaya memecah tembok Byzantine di Lembah Lycos yang terletak di 
sebelah barat kota. Tentera Byzantine telah berusaha sedaya upayanya 
untuk mempertahankan kota dari serangan itu. Pertempuran sengit berlaku 
bersama iringan hujan anak panah yang amat dahsyat.
Pada hari yang sama, beberapa buah kapal laut ‘Uthmaniyyah telah cuba 
merempuh rantai besi di Tanjung Emas. Akan tetapi, gabungan tentera laut
 Byzantine dan Eropah telah berjaya menangkis serangan itu bahkan 
beberapa buah kapal laut ‘Uthmaniyyah telah musnah menyebabkan yang lain
 terpaksa pulang ke kawasan masing-masing untuk mengelakkan kemusnahan 
yang berterusan. 
Dua hari selepas serangan itu, berlaku sekali lagi serangan laut antara 
kedua belah pihak. Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri mengawasi misi 
berkenaan dari pantai. Beliau telah menghantar utusan kepada tentera 
laut yang sedang berperang. Katanya, “.. sama ada kamu tawan kapal-kapal
 itu atau pun kamu tenggelamkan sahaja kesemuanya. Sekiranya kamu gagal,
 maka jangan pulang kepada kami sedangkan kamu semua hidup!”.
|  | 
| Serangan tentera Al-Fatih yang membawa kepada kejatuhan Costantinople pada hari Khamis 26 Rabiul Awal 857H bersamaan 6 April 1453M | 
Ketika itu juga, Sultan Muhammad Al-Fatih menunggang kudanya sehingga ke
 gigi laut sambil menjerit dengan sekuat hati nama ketua misi berkenaan,
 Palta Oglu, untuk memberikan semangat. Kesungguhan Al-Fatih itu, 
menaikkan semangat tenteranya. Namun, tentera kristian berjaya juga 
mematahkan serangan mujahidin walaupun mereka bersungguh- sungguh 
melancarkan serangan demi serangan. Kegagalan tersebut menyebabkan 
Sultan Muhammad Al-Fatih menjadi begitu marah lalu memecat Palta Oglu 
dan digantikan dengan Hamzah Pasha.
Kegagalan serangan tersebut telah memberikan kesan yang besar kepada 
tentera ‘Uthmaniyyah. Khalil Pasha yang merupakan wazir ketika itu cuba 
untuk memujuk Al-Fatih supaya membatalkan serangan serta menerima sahaja
 perjanjian penduduk Costantinople untuk tunduk kepada Daulah 
‘Uthmaniyyah tanpa menakluknya. Cadangan itu ditolak mentah-mentah oleh 
Al-Fatih. Kini tiba masanya beliau berfikir tentang helah untuk tentera 
laut ‘Uthmaniyyah berjaya membolos Tanjung Emas…
Keajaiban Tentera ‘Uthmaniyyah. 
Sultan Muhammad Al-Fatih telah menemui satu kaedah luar biasa untuk 
membawa kapalnya masuk ke perairan Tanjung Emas. Kaedah yang tidak 
pernah terfikir oleh mana-mana tentera sebelumnya untuk melakukannya. 
Beliau telah memanggil tenteranya dan menyarankan kepada mereka supaya 
membawa kapal-kapal itu masuk ke perairan Tanjung Emas melalui jalan 
darat! Malam itu juga, tentera ‘Uthmaniyyah dengan semangat dan kekuatan
 luar biasa telah berjaya menarik 70 kapal dari pantai Besiktas ke 
Galata melalui bukit yang begitu tinggi dengan jarak melebihi 3 batu! 
Sesungguhnya kejadian ini sangat luar biasa dan di luar bayangan manusia
 hingga ke hari ini.
Pagi 22 April itu, penduduk Costantinople dikejutkan dengan laungan 
takbir dan nasyid para mujahidin di Tanjung Emas. Tiada siapa yang dapat
 membayangkan bagaimana semua itu boleh berlaku hanya pada satu malam. 
Bahkan ada yang menyangka bahawa tentera Al-Fatih mendapat bantuan jin 
dan syaitan! Yilmaz Oztuna di dalam bukunya Osmanli Tarihi menceritakan 
bagaimana seorang ahli sejarah Byzantine berkata, “Tidaklah kami pernah 
melihat atau mendengar hal ajaib seperti ini. Muhammad Al-Fatih telah 
menukar darat menjadi lautan, melayarkan kapalnya di puncak gunung dan 
bukannya di ombak lautan. Sesungguhnya Muhammad Al-Fatih dengan usahanya
 ini telah mengatasi Alexander The Great!”
Costantine telah bermesyuarat dengan para pemimpin kerajaan Byzantine 
tentang strategi seterusnya, tetapi mereka gagal mencapai kata sepakat. 
Costantine menolak cadangan supaya beliau sendiri pergi mendapatkan 
pertolongan daripada umat kristian di Eropah bahkan tetap dengan 
keputusannya untuk mempertahankan Costantinople hingga ke titisan darah 
yang terakhir.
Serangan Besar-besaran Mujahidin.
Dengan kedudukan tentera ‘Uthmaniyyah yang sudah semakin mantap, Sultan 
Muhammad Al-Fatih telah melancarkan serangan besar-besaran ke benteng 
terakhir Byzantine. Tembakan meriam yang telah memusnahkan sebuah kapal 
dagang di Tanjung Emas, menyebabkan tentera Eropah yang lain lari 
ketakutan. Mereka telah meninggalkan pertempuran melalui kota Galata. 
Semenjak kejayaan kapal mujahiden memasuki perairan Tanjung Emas, 
serangan dilancarkan siang dan malam tanpa henti.
Laungan takbir “Allahu Akbar, Allahu Akbar!” yang mengisi ruang angkasa 
Costantinople telah memberikan semacam serangan psikologi kepada 
penduduk kota berkenaan. Seakan mendengar panahan petir, semangat mereka
 terus luntur dengan ancaman demi ancaman kalimah tauhid tentera 
Al-Fatih itu. Dalam masa yang sama, Al-Fatih dan tenteranya sentiasa 
mengejutkan mereka dengan seni perang yang baru sehingga menggawatkan 
pertahanan tentera salib itu.
Ketika ribut yang ada belum reda, penduduk Costantinople menyedari 
bahawa tentera Islam telah mengorek terowong untuk masuk ke pusat kota. 
Ketakutan melanda penduduk sehingga mereka curiga dengan bunyi tapak 
kaki sendiri. Merasakan yang bila-bila masa sahaja tentera ‘Turki’ akan 
keluar dari perut bumi berikutan dengan pembinaan terowong itu.
Usaha Damai Terakhir
Sultan Muhammad Al-Fatih yakin bahawa kemenangan semakin hampir. 
Kecintaannya kepada Costantinople yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW, 
mendorong beliau untuk terus berusaha agar Costantine menyerah kalah 
tanpa terus membiarkan kota itu musnah. Sekali lagi beliau menghantar 
utusan meminta Costantine supaya menyerahkan Costantinople secara aman. 
Apabila utusan berkenaan sampai kepadanya, Costantine telah berbincang 
dengan para menterinya. Ada yang mencadangkan supaya mereka menyerah 
kalah dan ada pula yang mahukan pertahanan diteruskan hingga ke penamat.
 Costantine akhirnya bersetuju dengan pandangan kedua lantas menghantar 
maklum balas dengan katanya,”… syukur kepada Tuhan kerana Sultan mahukan
 keamanan dan bersedia menerima pembayaran jizyah. Akan tetapi 
Costantine bersumpah untuk terus bertahan hingga ke akhir hayatnya demi 
takhta… atau mati sahaja dan dikuburkan di kota ini!”. Apabila jawapan 
Costantine ini diterima, Al-Fatih menjawab, “Baiklah… tidak lama lagi 
akan terhasil bagiku di Costantinople itu sama ada takhta atau 
keranda…!”.
Perbincangan dilakukan oleh Al-Fatih tentang strategi seterusnya. 
Pelbagai kemungkinan dipertimbangkan dan akhirnya keputusan dibuat untuk
 meneruskan rancangan menawan Costantinople sebagaimana yang telah 
disusun.
Hari Kemenangan
Pada 27 Mei 1453, Sultan Muhammad Al-Fatih bersama tenteranya telah 
berusaha keras membersihkan diri di hadapan Allah SWT. Mereka 
membanyakkan solat, doa dan zikir dengan harapan Allah SWT akan 
memudahkan kemenangan. Para ulamak pula memeriksa barisan tentera sambil
 memberi semangat kepada para mujahidin. Mereka diperingatkan tentang 
kelebihan jihad dan syahid serta kemuliaan para syuhada’ terdahulu 
khususnya Abu Ayyub Al-Ansari RA. “…sesungguhnya apabila Rasulullah SAW 
tiba di Madinah ketika kemenangan hijrah, baginda SAW telah pergi ke 
rumah Abu Ayyub Al-Ansari. Sesungguhnya Abu Ayyub telah pun datang (ke 
Costantinople) dan berada di sini!” Kata-kata ini telah membakar 
semangat tentera Al-Fatih hingga ke kemuncaknya.
Dalam masa yang sama, penduduk Costantine melakukan upacara peribadatan 
secara bersungguh-sungguh dengan harapan Tuhan akan membantu mereka…
Tepat jam 1 pagi hari Selasa 20 Jamadil Awal 857H / 29 Mei 1453M, 
serangan utama dilancarkan. Para mujahidin diperintahkan supaya 
meninggikan suara takbir kalimah tauhid sambil menyerang kota. Penduduk 
Costantinople telah berada di kemuncak ketakutan mereka pagi itu. 
Mujahidin yang sememangnya menginginkan syahid, begitu berani menyerbu 
tentera salib di kota itu.
Tentera ‘Uthmaniyyah akhirnya berjaya menembusi kota Costantinople 
melalui Pintu Edirne dan mereka telah mengibarkan bendera Daulah 
‘Uthmaniyyah di puncak kota. Costantine yang melihat kejadian itu berasa
 putus asa untuk bertahan lantas menanggalkan pakaian maharajanya supaya
 tidak dikenali musuh. Akhirnya beliau menemui ajal dalam keadaan yang 
amat mengaibkan.
Berita kematian Costantine telah menaikkan lagi semangat tentera Islam 
untuk menyerang. Begitu juga sebaliknya, bagaikan pokok tercabut akar, 
tentera salib menjadi kucar kacir apabila berita kematian maharajanya 
tersebar. Kesungguhan dan semangat juang yang tinggi di kalangan tentera
 Al-Fatih, akhirnya berjaya sampai ke cita-cita mereka. Kejayaan 
menguasai Costantinople telah disambut dengan penuh rasa syukur oleh 
Al-Fatih serta… seisi langit dan bumi. Beliau bertitah, “.. 
Alhamdulillah, semoga Allah merahmati para syuhada’, memberikan 
kemuliaan kepada mujahidin, serta kebanggaan dan syukur buat rakyatku”
Sebaik-baik Ketua Dan Tentera.
Pada hari itu, majoriti penduduk Costantinople bersembunyi di 
gereja-gereja sekitar kota. Sultan Muhammad Al-Fatih berpesan kepada 
tenteranya supaya bermuamalah dengan baik kepada penduduk Costantinople 
sambil mengucapkan tahniah kepada tenteranya yang berjaya merealisasikan
 sabda Rasulullah SAW:
Sesungguhnya Costantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya.
Dengan penuh rasa syukur dan tawadhu, Sultan Muhammad Al-Fatih telah 
sujud ke bumi mengucapkan sebesar-besar syukur ke hadrat Allah atas 
kemenangan bersejarah itu.
Beliau kemudiannya menuju ke Gereja Aya Sofya yang ketika itu menjadi 
tempat perlindungan sejumlah besar penduduk kota berkenaan. Ketakutan 
jelas terbayang di wajah masing-masing bilamana beliau menghampiri 
pintu. Salah seorang paderi telah membuka pintu gereja, dan Al-Fatih 
meminta beliau supaya menenangkan sekalian mereka yang ada. Dengan 
toleransi Al-Fatih, ramai yang keluar dari tempat persembunyian 
masing-masing bahkan ada di kalangan paderi yang terus menyatakan 
keislaman mereka.
|  | 
| Gereja Aya Sofya yang ditukar menjadi masjid ketika pemerintahan Al-Fatih tetapi dikristiankan kembali oleh Kamal Attaturk | 
Selepas itu, Sultan Muhammad Al-Fatih telah mengarahkan supaya gereja 
berkenaan ditukar menjadi masjid supaya Jumaat pertama nanti akan 
dikerjakan solat di masjid ini. Para pekerja bertugas bertungkus lumus 
menanggalkan salib, patung dan gambar-gambar untuk tujuan berkenaan. 
Pada hari Jumaat itu, Sultan Muhammad Al-Fatih bersama para muslimin 
telah mendirikan solat Jumaat di Masjid Aya Sofya. Khutbah yang pertama 
di Aya Sofya itu telah disampaikan oleh Asy-Syeikh Ak Semsettin. Pada 
hari itu juga Sultan Muhammad Al-Fatih telah bersumpah bahawa 
barangsiapa yang menukar Masjid Aya Sofya kembali kepada gereja, maka 
akan berolehlah kutukan dan laknat darinya dan Tuhan Masjid Aya Sofya 
itu.
Nama Costantinople kemudiannya ditukar kepada “Islam Bol”, yang 
bermaksud “Bandar Islam” dan kemudiannya dijadikan sebagai ibu negara 
ketiga Khilafah ‘Uthmaniyyah selepas Bursa dan Edirne . Kekallah bumi 
yang mulia itu sebagai pusat pemerintahan, ketamadunan, keilmuan dan 
keagungan Islam berkurun lamanya.. sehinggalah Khilafah ‘Uthmaniyyah 
ditamatkan sejarahnya oleh Mustafa Kemal Ataturk secara rasminya pada 
tahun 1924M.
|  | 
| Antara gambar-gambar syirik di dinding Aya Sofya | 
ISLAM TIDAK AKAN BANGKIT SELAGI UMAT TIDAK MENGUBAH PEMIKIRAN MEREKA!
WaAllahu 'alam,
Sumber artikel: irfanirsyad.wordpress.com

