Jom kenali Brigade Izzuddin al Qassam / " Briged Al-Qassam ". Jika 
di Britain mempunyai British Special Air Service (SAS), Amerika Syarikat
 dengan Navy Seals nya dan Israel dengan Shayetet 13.
Manakala Palestin mempunyai kelas tersendiri dengan 
tentera penggempurnya yang berani mati, Briged Ezzedeen Al-Qassam atau 
lebih dikenali sebagai Al-Qassam yang amat digeruni oleh rejim Zionis.
Al-Qassam, sebuah sayap tentera Hamas, dipelopori penubuhannya oleh 
pejuang Palestin seperti Sheikh Ahmad Yassin, Dr. Ibrahim Al-Maqadema 
dan Sheikh Salah Shehada pada tahun 1984.
Nama Al-Qassam adalah sempena nama pejuang yang syahid berdekatan Jenin pada tahun 1935, Ezzedeen Al-Qassam.
Baru-baru ini, penulis yang berada di Gaza atas tujuan rakaman siri 
dokumentari dijemput oleh kerajaan pemerintah Gaza, Hamas untuk 
mengunjungi pusat latihan Al-Qassam bagi menyaksikan satu demonstrasi 
latihan taktikal serangan briged itu. Difahamkan, peluang itu jarang 
sekali dibuka kepada rakyat Palestin apatah lagi orang luar.
Penulis diberi taklimat oleh komander yang tidak mahu dikenali atas 
tujuan keselamatan. Beliau berkata, briged elit itu dianggotai oleh 
pemuda berusia 30 tahun dan ke bawah sahaja.
"Objektif utama penubuhan Al- Qassam adalah mempertahankan tanah suci 
Palestin daripada penjajahan Zionis yang zalim, membebaskan tanah 
Palestin dan seluruh tanahnya yang dirampas di Tebing Barat serta 
memantapkan semangat jihad dalam kalangan orang Palestin," katanya.
Apabila ditanya jumlah tentera Al-Qassam pada masa ini, komander 
tersebut yang pada mulanya enggan menjawab memberitahu, bilangannya 
dalam lingkungan 25,000 orang.
Peraturan " Briged Al-Qassam ".
"Peraturan kami yang paling ketat ialah setiap tentera mesti solat lima waktu sehari secara berjemaah," ujarnya.
Tambah beliau, Al-Qassam juga mempunyai skuad wanita tetapi bukanlah barisan yang paling penting.
"Kami menggunakan wanita apabila keadaan memaksa. Contohnya, pernah 
sekali tentera kami dikepung oleh tentera Israel dalam sebuah masjid. 
Kami menghantar tentera wanita untuk masuk ke dalam masjid bagi 
menyerahkan baju lain kepada anggota yang terperangkap. Kemudian mereka 
berlakon keluar seperti orang biasa.
"Walaupun kami kehilangan tiga wanita dalam operasi itu, kami tetap 
berjaya kerana begitu ramai askar yang dapat diselamatkan," katanya.
Sudah menjadi perkara biasa apabila kedengaran letupan dan bunyi 
tembakan di Gaza bukan kerana serangan tentera Israel sebaliknya sesi 
latihan Al-Qassam.
"Di daerah Al-Zaytun, tentera Israel hanya memerlukan 10 minit untuk 
memasuki tanah Gaza dengan kereta kebal. Oleh itu, kami terpaksa 
bersedia setiap masa," kata seorang tentera Al-Qassam.
Briged ini juga terkenal dengan roket Al-Qassam, roket artileri buatan 
sendiri yang dikeluarkan dalam tiga model sepanjang tahun 2001 hingga 
2011. Roket itu ditembak dari Gaza dan sering membawa kemusnahan yang 
dahsyat sehinggakan media Israel menggelarkan setiap roket yang memasuki
 Semenanjung Barat sebagai Qassam.
Penulis disajikan dengan satu demonstrasi selama lima minit dengan 20 
tentera yang memainkan pelbagai peranan. Demo teknikal itu membabitkan 
dua kumpulan yang menyerang sebuah rumah kosong manakala sebuah kumpulan
 lain bertindak sebagai pasukan bantuan. Satu lagi pasukan akan 
memastikan tiadanya bantuan daripada tentera musuh (Israel).
Demonstrasi itu menggunakan peluru hidup, bom tangan, mesingan, senapang
 AK-47 dan roket grenad. Demonstrasi itu cukup membuktikan betapa 
hebatnya generasi muda ini dan wajarlah tentera Israel seramai 700,000 
orang cukup gerun dengan Al-Qassam.
Sesudah sesi latihan itu, kesemua askar tersebut berkumpul dan bersujud 
syukur - satu amalan penting setiap kali sesudah satu peperangan melawan
 tentera Zionis.
Penulis juga dibawa berjumpa dengan beberapa tentera Al-Qassam sebelum 
mereka bergegas untuk menunaikan solat Asar. Namun, penulis diberitahu 
rakaman gambar tidak dibenarkan kerana ingin merahsiakan identiti setiap
 anggota mereka.
Penulis terkejut apabila mereka membuka topeng hitam mereka, kesemuanya 
mempunyai muka bersih dan bersinar, jelas nampak keikhlasan untuk 
menjadi tentera Islam yang tidak takut mati.
Salah seorang tentera bertanyakan negara asal penulis dan apabila 
disebut Malaysia, beliau menjawab: "Tanah ini milik kamu juga."
Jawapannya membuat penulis terkedu kerana maknanya sangat mendalam.
Sejak Intifada pada tahun 2000, seramai 800 askar Al-Qassam telah mati 
syahid. Bahkan apabila seseorang tentera Al-Qassam pulang daripada 
peperangan, mereka sering akan bertanyakan kepada diri sendiri.. 
'Mengapakah saya tidak Syahid?
