"Kehidupan
 dunia ini (jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain 
hanyalah ibarat hiburan dan permainan, dan sesungguhnya negeri akhirat 
itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya, sekiranya mereka mengetahui."
 (Surah al-Ankabut , ayat 64)
Melihat kepada fenomena hari ini, terdapat pelbagai ragam manusia. 
Ada kehidupan mereka yang tidak berubah-ubah sedari kecil, remaja, 
dewasa, tua dan sehinggalah ajal datang menjemput. Tetapi ada juga yang 
berubah mengikut peredaran usia dan waktu serta keinginan hati mereka 
dalam 
mencari kebenaran dan arah tuju hidup.
KEINGINAN UNTUK BERUBAH
Sememangnya sudah fitrah manusia untuk kembali kepada kebenaran 
meskipun mereka adalah dari golongan seburuk-buruk dan sejahat-jahat 
manusia. Mungkin sukar untuk percaya, seorang yang digelar 'setan' itu 
jauh di sudut hatinya ingin menjadi seorang yang baik.
Keinginan untuk menjadi baik dan akhirnya menemui laluan ke arah 
kebaikan itulah sebenarnya yang dinamakan hidayah. Dengan kehendak 
Allah, hati yang telah ditutupi dan diselaputi dengan dosa dan noda, 
akan ada sedikit lubang kecil yang hanya dimuati laluan cahaya hidayah 
Allah untuk ditembusi terus ke dalam hati-hati manusia yang terpilih.
Sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nur ayat 35 yang bermaksud,
"Allah (memberi) nur 
(cahaya) langit dan bumi. Umpama cahaya-Nya seperti sebuah lubang di 
dinding rumah, di dalamnya ada pelita. Pelita itu di dalam gelas. Gelas 
itu seperti bintang yang berkilauan. Pelita itu dinyalakan dengan minyak
 pohon yang diberkati iaitu minyak zaitun yang (tumbuh) bukan di timur 
dan bukan di barat, minyak itu hampir bercahaya dengan sendirinya 
meskipun tiada disentuh api. Cahaya berdampingan dengan cahaya. Allah 
menunjuki sesiapa yang dikehendaki-Nya kepada cahaya-Nya itu. Allah 
menunjukkan beberapa contoh untuk manusia. Allah mengetahui setiap 
sesuatu."
BERSYUKUR
Tatkala kita merasakan kumpulan dosa terlalu banyak, janganlah kita 
berputus asa dari rahmat-Nya dan merasakan diri tiada tempat di sisi 
Allah untuk kembali ke pangkal jalan. Sebaliknya bersyukurlah, dengan 
terdetiknya sedikit penyesalan itu sebenarnya adalah satu bentuk hidayah
 Allah yang lahir tanpa kita sedari kecuali bagi mereka yang berfikir 
akan nikmat yang Allah berikan. Kerana dosa yang kita sedari itulah yang
 mendekatkan diri dengan Allah dan seterusnya melahirkan rasa kehambaan 
dalam diri dan mengakui kelemahan sebagai seorang manusia yang perlu 
bergantung kepada Sang Pencipta.
Berbanding dengan mereka yang berasa diri tidak pernah berbuat dosa 
dan sentiasa betul dalam kelakuan dan tindakan, ia cukup bahaya kerana 
tidak sedar diri mereka sudah berada jauh dari Allah. Mereka ini adalah 
golongan yang sombong dan tidak mengharapkan pertolongan Allah tetapi 
lebih kepada mengikut kata hati dan berbuat apa sahaja yang mendatang 
kebaikan dan keseronokan pada diri.
Apa yang terjadi hari ini, kita seringkali menolak seruan-seruan 
untuk kembali kepada Islam. Pelbagai alasan yang diberikan kerana 
merasakan diri masih muda dan belum tiba masanya untuk berubah. Alasan 
yang paling suka diberikan ialah 'belum sampai seru!' alasan tersebut 
langsung tidak munasabah. Mana mungkin kita mengharapkan sesuatu yang 
bernilai itu diberi secara percuma tanpa perlu berusaha untuk 
mendapatkannya!
Seringkali apabila kita diberikan ujian dan didatangkan suatu insiden
 barulah ia berjaya membuka hati kita untuk berubah. Insiden tersebutlah
 yang akhirnya mengetuk pintu hati kita untuk bertaubat dan kembali 
kepada jalan Allah. Kita dikira bernasib baik jika nyawa masih dikandung
 badan tetapi apa akan terjadi jika kita sudah tidak diberi peluang 
untuk bernafas dan menebus segala dosa-dosa lalu?
HIDAYAH NALURI
Hidayah datang dalam pelbagai bentuk. Bentuk yang pertama ialah 
hidayah naluri (keinginan). Hidayah ini adalah sesuatu yang semula jadi 
ada pada diri kita sejak dilahirkan ke dunia sebagai contoh, bayi yang 
baru dilahirkan akan menangis apabila lapar. Nalurinya inginkan makanan 
bagi menghilangkan rasa lapar. Yang kedua ialah hidayah melalui 
pancaindera. Semasa kecil, kita dapat mengenali dan membezakan sesuatu 
perkara dengan menggunakan pancaindera seperti mendengar suara ibu dan 
ayah atau dapat mengenali sesuatu objek. Kemudiannya hidayah dalam 
bentuk akal fikiran yang mana ia dikurniakan oleh Allah supaya dapat 
memandu kita berfikir secara rasional sebelum bertindak.
HIDAYAH AGAMA
Seterusnya ialah hidayah agama. Hidayah inilah yang menyelamatkan 
diri kita daripada kesesatan dengan berpegang teguh kepada ajaran Islam 
dan beriman kepada Allah SWT. Ia dapat mendorong kita melakukan kebaikan
 dan meninggalkan larangan Allah sekali gus dapat membezakan antara 
perkara-perkara baik dengan perkara haram.
HIDAYAH TAUFIK
Yang terakhir ialah hidayah taufik yang mana merupakan tahap hidayah 
yang tertinggi kurniaan Allah kepada hambanya yang dikasihi. Tinggal 
sekarang, hidayah itu harus dijaga kerana nilainya tiada tara dan tidak 
dapat ditukar dengan apa pun. Ia menjaga kehidupan kita di dunia mahupun
 di akhirat kelak.
Hidayah pula diturunkan dalam dua cara iaitu hidayah pemberian 
makhluk sama ada dari kalangan para nabi, pendakwah ataupun sesiapa 
sahaja. Contohnya hidayah yang diturunkan melalui Nabi Muhammad agar 
membimbing umatnya beriman kepada Allah. Namun, hidayah taufik ini tidak
 mampu diberikan oleh makhluk tetapi hanya Allah yang berkuasa. Ia tiada
 pada Nabi Muhammad walaupun baginda adalah seorang Rasul sebagaimana 
firman Allah dalam surah al-Qashash ayat 56 yang bermaksud,
"Sesungguhnya engkau (ya
 Muhammad) tidak dapat memberi hidayah/petunjuk kepada orang yang engkau
 cintai, akan tetapi Allah lah yang memberi hidayah kepada siapa yang 
Dia kehendaki."
Adapun ciri-ciri orang yang sudah mendapat hidayah, mereka hebat 
beribadat seperti melakukan solat fardu dan sunat, mengeluarkan zakat 
dan rukun Islam yang lain, sentiasa memperuntukkan waktu untuk bertasbih
 dan bertahmid kepada Allah SWT selain mengerjakan keperluannya di 
dunia. Mereka ini tidak mampu melupakan Allah walau sesaat kerana begitu
 takut akan pembalasan di hari akhirat nanti. Mereka juga terlalu 
berhati-hati dalam setiap perlakuan agar tidak ditarik balik hidayah 
pemberian Allah.
Biarpun hidayah itu adalah pemberian Allah tetapi tidak bermakna kita
 hanya berpeluk tubuh dan menunggu ia datang kepada kita. Hidayah perlu 
dicari dan boleh diusahakan jika kita benar-benar inginkannya dengan 
memohon kepada Allah. InsyaAllah, kita pasti akan diberikan hidayah.
